Thursday 13 October 2011

ZIKRULLAH

Apa maksud Zikrullah?

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Antara perkara yang termasuk di dalam Zikrullah ialah : 

1. Menuntut ilmu, untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah, mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan, makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.

Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.

Faedah Zikrullah (mengingati Allah)

Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;

“Maka ingatlah kepada-Ku nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. ( Al-Baqarah: 152 )

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan;

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. ( HR : Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah SWT berfirman,maksudnya :

“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. ( Ar-Ra’d : 28 )

Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis : 

مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. ( HR : Bukhari, dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Kerana pentingnya mengingati Allah, maka Al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah : 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. ( Al-Munafiqun: 9 )

Kesan zikrullah terhadap hati

Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah :


 “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. 


Maksud beliau ialah, ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati, hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata : 


“Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)

Berkata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepada-Nya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaan-Nya. Hati selamanya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).





Disediakan,
1. Abu Iqbal Al-Qaireen daripada Syeikh Ahmad Adnan, Taubat, Oktober 2011.

No comments: