Monday 12 December 2011

Lima Syarat Untuk Melakukan Maksiat!!


Suatu hari ada seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak ! selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.” Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima 5 syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat”. Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya “Apakah syarat-syarat itu wahai Aba Ishak?”. Ibrahim bin Adham berkata……..

Syarat pertama

“Jika kamu mahu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.” Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?” “Ya”! tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

Syarat kedua

“Yang kedua” kata Ibrahim. “kalau kamu mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya ! syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”. “Ya, anda benar” kata lelaki itu.

Syarat ketiga

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “kalau kamu masih mahu bermaksiat, cari lah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat olehNya!”. Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”. “Ya, kalau kamu yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Syarat keempat

Ibrahim melanjutkan. “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya. “ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh”. Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”

“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari daripada kemurkaan Allah?”

Syarat kelima

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.

Firman Allah swt,
"Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." 
( Al-Jumu'ah : 7-8 )


Sumber : 

  1. Petikan dari buku “Kenapa Allah Murka”.
  2. Ummul Farish, TAUBAT 2011, Muharram 1433H.


Wednesday 7 December 2011

Persoalan Mengenai Menggauli Isteri Pada Malam Jumaat

Adakah terdapat dalil dari Al-Quran atau pun Hadis Rasulullah SAW berkenaan mengauli isteri pada malam Jumaat?

Alhamdulillah , Segala Puja–Puji hanyalah milik Allah Taala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Taala dan seluruh muslimin. Ameen.

Tidak ada sebarang keterangan yang kuat lagi sahih (daripada Al-Quran Al-Karim , mahupun As-Sunnah) yang menetapkan tatacara menggauli isteri di hari-hari tertentu seperti malam Jumaat itu . Ini disebabkan setiap masa dan ketika boleh dilakukan padanya majlis perkahwinan , dan begitulah juga dengan menggauli isteri (berjimak dengannya) , kecualilah pada masa-masa yang telah maklum akan larangannya seperti di dalam keadaan berihram , di dalam keadaan haidh (wanita tidak suci) dan sebagainya.

Kalaulah disebabkan Baginda Rasulullah SAW sendiri mengahwini / “ menggauli “ seseorang isterinya daripada isteri-isterinya pada hari-hari tertentu menunjukkan sunat hukumnya , maka sudah tentu semua waktu dan ketika yang pernah Baginda Rasulullah SAW berkahwin / berjimak dihukum sunat juga , kerana Baginda Rasulullah SAW mempunyai isteri yang ramai . Sudah tentulah hukum dan kiasan seperti ini tidak dapat diterima .

Oleh itu kenapa pula timbul kepercayaan sesetengah umat Islam bahawa sunat dilakukan perkahwinan @ “ pergaulan suami-isteri “ di malam Jumaat ? .

SEBAB-SEBABNYA :

1 – Disebabkan malam tersebut merupakan malam bagi hari Jumaat . Dan ia pula dianggap sebagai penghulu segala hari (sebagai mana di dalam hadis-hadis sahih) . Selain itu , Hari Jumaat juga sebagai mana di dalam hadis-hadis sahih adalah salah-satu daripada hari-hari kebesaran dan perayaan umat Islam .

2 – Disebabkan sunat melakukan Mandi Hari Jumaat . Oleh itu , sebahagian ulama’ kita telah menyatakan bahawa jika kita “ tidur @ mencampuri @ berjimak “ dengan isteri kita pada malam tersebut lalu kita tidur , maka pada paginya – sebelum solat Subuh – kita pun bangun untuk menunaikan mandi junub @ janabah @ wajib . Dalam masa yang sama , kita pun berniat untuk mandi sunat hari Jumaat . Daripada sinilah sebahagian ulama’ mengatakan sunat berjimak dengan isteri di malam Jumaat.

3 – Biasanya kitab-kitab klasik yang menerangkan kelebihan berjimak dengan isteri di Malam Jumaat ditulis di masa sesebuah negara umat Islam itu mendaulatkan hukum-hukum Islam sebagai Perundangan Negara . Oleh itu sudah pasti juga mereka menjadikan Hari Jumaat itu sebagai HARI CUTI MINGGUAN (sebagai mana yang masih berlaku di beberapa negara/negeri seperti Arab Saudi , Mesir , Kelantan dan Terengganu)

Oleh kerana pada Hari Jumaat mereka bercuti dan berehat , maka sudah tentulah sangat-sangat sesuai dilakukan upacara akad-nikah @ berjimak dengan isteri pada malam sebelumnya (Malam Jumaat) . Sayangnya kelebihan bercuti pada Hari Jumaat ini telah dilenyapkan sendiri oleh mereka yang “ bermati-matian “ mewar-warkan bahawa merekalah pemimpin parti Islam ketiga terbesar di dunia . Dan yang sayang seribu kali sayang pula , adanya golongan ulama’ upahan yang bermati-matian menentang Hari Jumaat dijadikan “ Hari Cuti Mingguan “ dengan mengatakan bahawa perkara itu tiada dalilnya daripada sumber-sumber perundangan Islam . Tapi yang amat malangnya pula , golongan ini tidak pula mahu menunjukkan dalil-dalil yang sahih lagi kuat untuk mereka menjadikan Hari Ahad sebagai “ Hari Cuti Umum @ Mingguan “ !!! .

Namun bagi kebanyakan kita yang tidak tinggal di Kelantan ataupun di Terengganu dan tidak pula bercuti pada Hari Jumaat , maka tidaklah menjadi halangan untuk melakukan sesebuah majlis pernikahan (dan begitulah juga untuk “ bergaul beberapa pusingan “ dengan isteri) pada Malam Ahad , memandangkan keesokan harinya kita mempunyai masa rehat yang lebih (cuti) berbanding dengan hari-hari selainnya .

KESIMPULANNYA :

Tiada hari khusus dan cara yang khusus untuk kita melakukan jimak ataupun majlis perkahwinan melainkan apa yang telah dimaklumi daripada sumber-sumber perundangan Islam yang sahih . Adapun kalam-kalam yang mengatakan “ sunat dilakukan pada Malam Jumaat “ hanyalah berdasarkan keluasan masa rehat dan kelebihan yang ada pada hari keesokannya (Jumaat) .

Sekian . Wallahua’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

RUJUKAN
1 – Petikan daripada jalanakhirat , berdasarkan rujukan yang thiqah dan dipercayai, YASALUNAKA FID DIN WAL HAYAH ( Jilid II , ms 160 )
Oleh : Al-‘Allamah Dr. Ahmad Asy-Syarbasi – Pensyarah Univeristi Al-Azhar , Mesir .
Cetakan : Darul Jil , Beirut .

Monday 5 December 2011

MUHARAM dan KEISTIMEWAANNYA

Muharam adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib (sebelum namanya ditukar menjadi Madinah), kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Bagaimanapun kalendar hijrah yang sempurna mengikut bilangan hari dalam setiap bulan hanya mula diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab semasa beliau menjadi khalifah. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwah dan syiar Islam itu sendiri. Oleh itu, ianya dijadikan sebagai detik permulaan bagi memulakan ‘episod’ baru bagi perjuangan Islam ketika itu. Bulan Muharram merupakan salah satu dari empat bulan haram yang telah Allah muliakan. Secara khusus Allah melarangan berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya.

Allah Taala berfirman :
“Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.
( At-Taubah: 36 )

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah. Firman Allah :

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kepada Al-Quran yang diturunkan Allah". Mereka berkata: "Kami hanya beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami". Dan mereka kafir kepada Al-Quran yang diturunkan sesudahnya, sedang Al-Quran itu (Kitab) yang hak; yang membenarkan (peperangan) apa yang ada pada mereka.
( Al-Baqarah : 91 )

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Sebab wurud hadis tentang Puasa Asyura

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Abbas, sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Yathrib, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharam. Rasulullah SAW lalu bertanya kepada mereka:

“Berpuasa apakah kamu ini?”.

Jawab mereka,

“Hari ini hari besar, pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil serta menenggelamkan Firaun dengan tentera-tenteranya. Maka Nabi Musa telah berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah, kerana itu kami pun berpuasa.”

Sabda Nabi SAW:
“Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu.”

Dari itu Nabi berpuasa dan menyuruh sahabat-sahabatnya berpuasa pada hari itu. ( HR : Muslim dari Ibnu Abbas r.a)

Walaubagaimanapun, umat Islam digalakkan berpuasa sehari sebelum atau selepas berpuasa Asyura. Puasa Asyura sebaiknya didahului dengan berpuasa pada Hari Tasu’a (9 Muharam) agar tidak menyerupai amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Abdullah Ibnu Abbas r.anhuma berkata :
“Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa padanya, mereka menyampaikan; ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nashrani.’ Lalu baginda SAW bersabda; ‘Kalau begitu, pada tahun depan insya Allah kita berpuasa pada hari kesembilan’. Dan belum tiba tahun yang akan datang, namun Nabi SAW sudah wafat.”
( HR : Muslim )

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda :
"Berpuasalah kamu pada hari ke-9 dan 10 Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi."( HR : Baihaqi )

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
Puasalah kamu pada hari Asyura dan berbezalah dengan orang-orang Yahudi iaitu puasalah sehari sebelumnya dan sehari setelahnya.” ( HR : Ahmad & Baihaqi )

Kelebihan Puasa Asyura

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., puasa pada bulan Muharam adalah sangat digalakkan. Rasulullah SAW bersabda :
“Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram, dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat (sunat) pada malam hari.”
( HR : Muslim )

Daripada Abu Qatadah r.a. berkata :
“Bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Baginda menjawab: “Akan dapat mengampunkan dosa setahun yang lalu.”
( HR :  Muslim )

Kata Ibnu Abbas r.a. :
“Tidak pernah aku melihat Nabi SAW menanti-nanti puasa pada suatu hari yang diutamakan lebih daripada hari lain kecuali hari ini, iaitu hari Asyura (10 Muharam), dan bulan puasa iaitu bulan Ramadhan.” ( HR : Bukhari & Muslim )

Daripada hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sesungguhnya puasa Asyura sangat dituntut dalam Islam. Rasulullah amat menantikan puasa dibulan Muharam. Begitu juga para sahabat dan tabi’in serta alim ulama’. Kita sebagai umat Islam perlu meneruskan sunnah ini demi mencapai keampunan dan keredhaan Allah Taala.
Waallahua’lam.

Abu Izzah, TAUBAT 2011, Muharram 1433H.