Wednesday 15 May 2013

Makruh Memegang Kemaluan Dengan Tangan Kanan Ketika Membuang Air


Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ

“Apabila salah seorang di antara kamu kencing, maka janganlah memegang kemaluannya dengan tangan kanannya, janganlah beristinja’ dengan tangan kanannya, dan jangan ia bernafas di dalam bekas air.” (Hadis Riwayat Bukhari, no.154)

لا يُمْسِكَنَّ أحدُكُم ذَكَرَهُ بيمينه وهو يبول، ولا يَتَمَسَّحْ من الخلاء بيمينه، ولا يَتَنَفَّسْ في الإِناء

“Janganlah sesekali salah seorang di antara kamu menyentuh zakarnya (kemaluannya) dengan tangan kanannya ketika dia sedang kencing. Jangan bersuci dengan tangan kanannya, dan jangan bernafas di dalam bekas air.” (Hadis Riwayat Muslim, no.267)

Kata Syaikh Muhammad B. Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H):
“Sesiapa yang meneliti hadis ini maka ia akan mendapati Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membataskan dengan waktu ketika kencing sahaja. Perkataan “sedang kencing” merujuk kepada perbuatan “orang yang menyentuh kemaluan.”

Para ulama (semoga Allah merahmati mereka) berbeza pendapat tentang batasan sama ada yang dimaksudkan dari larangan tersebut hanya pada ketika kencing sahaja, kerana mungkin kencing akan mengotori tangannya. Manakala jika selain waktu kencing, maka anggota tubuh tersebut adalah sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ

“Sesungguhnya ia (zakar) adalah sebahagian dari bahagian tubuh-mu.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 16286)
Hadis ini adalah apabila beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) ditanya oleh seorang lelaki yang menyentuh kemaluannya ketika sedang solat. Adakah ia wajib mengulang wudhu’nya? Apabila dzakar tersebut dinyatakan sebagai sebahagian dari tubuhnya, maka tiadalah lagi beza antara menyentuhnya dengan tangan kanan atau dengan tangan kiri.

Sebahagian ulama mengatakan, “Bahawasanya apabila menyentuh kemaluan dengan tangan kanan ketika kencing itu dilarang, sudah tentu menyentuhnya pada selain waktu itu lebih dilarang lagi. Kerana ketika kencing adakalanya seseorang memiliki keperluan untuk menyentuhnya. Maka jika ia dilarang pada saat-saat diperlukan untuk menyentuhnya, maka larangan pada waktu selainnya tentu lebih utama (aula).” (Fathul Bari, 1/254. Al-Inshaf, 1/209)

Kedua-dua bentuk istidlal (pengambilan dalil) tersebut memiliki maksud dan memiliki dua kemungkinan. Dan sikap yang paling berhati-hati adalah dengan tidak menyentuhnya secara mutlak (dengan tangan kanan). Walau bagaimanapun, yang lebih tepat (pasti) adalah makruh (tidak disukai perbuatan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan) hanya ketika kencing berdasarkan hadis tersebut.

Manakala pada ketika selain waktu kencing, ada beberapa kemungkinan. Jika tiada keperluan (untuk menyentuhnya dengan tangan kanan), maka cukuplah ia menyentuhnya dengan tangan kiri (jika perlu).
Alasan yang memakruhkannya adalah perkara tersebut dilihat dari sisi memuliakan anggota tubuh sebelah kanan.” (Syarhul Mumti’ ‘ala Zaadil Mustaqni’ karya Syaikh Muhammad B. Soleh Al-‘Utsaimin, 1/121-122 – Daar Ibnul Jauzi)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:
Thalq B. ‘Ali ketika beliau bertanya kepada Rasulullah tentang hukum menyentuh kemaluannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا هُوَ بَضْعَةٌ مِنْكَ

“Sesungguhnya ia (zakar) adalah sebahagian dari bahagian tubuh-mu.”

“Ini menunjukkan berdasarkan hukum asalnya adalah dibolehkan menyentuh kemaluan dengan tangan kanan dalam keadaan apa pun. Tetapi kemudian terdapat satu pengecualian dalam perkara ini iaitu ketika sedang kencing berdasarkan hadis sahih tersebut. Maksudnya, selain ketika sedang kencing, maka seseorang boleh memegang kemaluannya dengan tangan kanan.” (Fathul Bari, 1/254)

Demikian juga dengan hukum beristinja’ dengan tangan kanan. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengatakan:

“Jumhur ulama berpendapat bahawa beristinja’ dengan tangan kanan hukumnya makruh (dibenci), manakala mazhab zahiri berpendapat bahawa beristinja’ dengan tangan kanan hukumnya adalah haram dan demikian juga pendapat sebahagian ulama bermazhab asy-Syafi’i.” (Fathul Bari, 1/253)

Wallahu A’lam.