Friday 30 September 2011

ADAB-ADAB PERSAHABATAN DALAM ISLAM

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menutup cela saudaranya, maka Allah akan menutup celanya di dunia dan di akhirat”. ( HR : Ibnu Majah )

Hubungan silaturrahim dan persabatan harus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Dengan adanya rasa timbang rasa dan harga menghargai antara satu sama lain,maka dapatlah dielakkan perkara yang tidak diingini dan perkara-perkara yang boleh melanggar batas-batas agama.
Setiap Muslim harus menjaga saudaranya seperti ia menjaga dirinya sendiri. Dalam persahabatan mesti ada sifat-sifat berikut :

1. Jujur

Sahabat yang paling menguntungkan adalah sahabat yang jujur, suka berterus terang dan tidak menyembunyikan sesuatu daripada anda, apatah lagi perkara itu boleh mendatangkan keburukan kepada diri anda. Dalam Islam memang dituntut setiap orang itu memuliakan saudaranya, lebih dari dirinya sendiri. Begitu jugalah dengan kepentingan diri anda sendiri. Anda harus mementingkan sahabat anda seperti anda lakukan terhadap diri anda juga. Seperti firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud :

Sudahpastilah kecintaan-Ku itu untuk orang-orang yang saling ziarah-menziarahi kerana Aku. Sudah pasti pula kecintaan-Ku untuk orang-orang yang saling cinta-menyintai kerana Aku, sudah asti pula kecintaan-Ku kepada orang-orang yang saling bantu-membantu kerana Aku. Juga sudah pastilah kecintaan-Ku untuk orang-orang yang tolong-menolong kerana Aku”. ( HR : Ahmad & Hakim )


2. Ikhlas

Sifat ikhlas akan memberikan kesegaran pada jiwa, ikhlas member dan menerima dalam apa jua bentuk pertolongan atau pemberian dari setiap individu Muslim itu. Setiap remaja harus menyemaikan sifat itu sejak awal lagi, kerana keikhlasan itu membuatkan hati kita gembira dan tenang dalam menghadapi sesuatu keadaan. Tiadanya sifat ikhlas akan membuatkan jiwa kita menjadi rosak dan berdendam. Keikhlasan bukan sahaja member kesegaran kepada jiwa, malahan akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Kebersihan hati boleh dicapai dengan iman dan takwa kepada Allah, secara lansung keikhlasan akan terbit dalam jiwa kita,dan akan lahir di setiap perbuatan kita. Lakukanlah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, berilah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, bukan dengan sebab lain.

3. Saling Memahami

Sifat faham-memahami adalah sifat yang terpuji yang harus ada pada setiap individu. Jika kawan-kawan anda berada dalam kesusahan atau masalah,bantulah mereka dengan ikhlas. Cubalah memahami masalah yang mereka lalui dan bantulah sedaya yang mampu. Jangan pula kita menekan mereka atau menjauhkan diri dari kawan-kawan yang mempunyai masalah, sebaliknya cubalah memahami mereka dan berilah keyakinan kepada mereka untuk menghadapi masalah yang mereka lalui. Sahabat sejati adalah sahabat yang akan bersama susah dan senang.

4. Saling Menghargai

Dalam apa jua keadaan anda harus menghargai sahabat anda, anda perlu menghormatinya sebagai individu yang harus diberi tempat di kalangan anda dan rakan-rakan anda yang lain. Jangan sesekali kita tak ambil kisah tentang kehadiran mereka, terutama jika ia berhadapan dengan anda, walaupun anda fikirkan kedudukan dirinya jauh lebih rendah daripada anda. Dalam Islam tidak ada insan yang lebih rendah atau tinggi kedudukannya,melainkan ketakwaannya kepada Allah. Mulianya seseorang itu bukan kerana sanjungan orang ramai, tetapi mulianya kerana dia lebih hamper dan takwa kepada Allah yang menjadikannya.


5. Bertimbang rasa


Bertimbang rasa terhadap teman, jika dia inginkan sesuatu dari anda, bantulah seberapa yang boleh. Jika dia berhutang dengan anda dan belum mampu membayarnya,berilah dia tempoh. Meringankan beban saudara anda bererti anda meringankan beban anda sendiri juga, saudara seagama itu adalah saudara anda dunia dan akhirat. Jangan anda bersikap tidak peduli dan bakhil terhadap mereka. Sifat ini akan merosakkan hubungan anda dengan saudara seagama anda sendiri. Lebih buruk lagi jika ia turut mengundang murka daripada Allah kerana sikap kita yang pentingkan diri sendiri.

6. Tolong-menolong

Tolong-menolong dalam soal agama memang digalakkan dalam Islam,jangan hendaknya anda tolong menolong dalam perkara-perkara yang mungkar. Dalam hal ini anda hendaklah segera member pertolongan kepada sahabat anda jika mereka memerlukan pertolongan tanpa menanti sahabat anda itu merayu meminta pertolongan. Barangkali sahabat anda itu malu atau segan untuk meminta pertolongan anda. Adalah lebih baik jika anda yang menawarkan diri untuk membantunya. Anda bukan sahaja dikasihi oleh sahabat anda itu, malah anda juga akan mendapat redha daripada Allah jika anda melakukannya dengan ikhlas.

7. Menghargai Perasaan Orang Lain

Jika sahabat anda berada dalam kesempitan atau ditimpa kemalangan segeralah anda menziarahinya. Kerana anda patut memberinya semangat atau bantuan yang perlu untuk sahabat anda itu. Memberinya nasihat dan menyuruh ia bersabar,jika ia kelihatan tidak tenteram ketika ditimpa kemalangan atau kematian orang-orang yang dikasihinya, berilah ia kata-kata yang menghiburkan hatinya, dengan mengatakan semua itu adalh proses hidup yang perlu diterima oleh setiap insan. Semuanya sudah ditakdirkan, dan kita yang hidup perlu meneruskan perjuangan dengan lebih matang dan bersemangat. Memang kita tahu bahawa saudara seagama itu seperti diri kita juga. Bagaimana jika anda berada dalam kesedihan sebegitu? Tentu anda juga perlukan teman yang boleh meredakahn kesedihan anda.

8. Jangan Prasangka Buruk dan Mencurigai

Setiap persahabatan yang terjalin hendaklah dengan ikatan tulus ikhlas. Anda harus menganggap baik setiap gerak geri sahabat anda itu. Jika ada sesuatu yang kurang menyenangkan, anda perlulah menegurnya dengan cara yang berhikmah dan berdiplomasi agar tidak menyinggung perasaannya. Tegur menegur adalah perkara yang dituntut agar sahabat kita dan diri kita sendiri tidak terjerumus dalam lembah kemurkaan. Lebih baik jika anda berterus terang daripada anda terus curiga dengan sikap sahabat anda, yang mungkin menimbulkan prasangka yang berpanjangan yang akhirnya merosakkan perasaan anda sendiri terhadap sahabat anda itu.


“Demi masa.Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
( Surah Al-Ashr : 1-3 )



  1. Al-Husni,Taubat, September 2011.
  2. Amina Hj. Noor, Remaja B3,1999.
  3. Al-Qaireen, Taubat, September 2011.

Saturday 17 September 2011

CARA MEMILIH SUAMI YANG SOLEH

Islam memberikan jaminan kebahagiaan bagi kaum wanita. Wanita juga berhak memilih haluan hidup yang berlandaskan syariat Islam. Agar beroleh kebahagian di dunia dan di akhirat. Begitu juga dalam memilih suami. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan sama ada menerima atau menolak calon suaminya. Kerana kehidupan berumahtangga tidak boleh didirikan atas paksaan.

Allah SWT akan mengurniakan rasa kasih sayang dan rahmat dalam setiap perkahwinan. Akan tetapi sudah tentu sahaja kasih sayang,cinta dan rahmat tidak akan ada jika perkahwinan itu dilaksanakan dengan paksaan. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW bersabda :

Mintalah pendapat kaum wanita dalam masalah mereka sendiri, janda menentukan dirinya sendiri, sedang diamnya gadis menandakan persetujuannya”.    ( HR : Thabrani )

Cara yang paling baik adalah dengan memerhatikan diri kita sendiri. Berusaha menjadi wanita yang solehah dan sentiasa cuba memperbaiki diri. Ini adalah perkara yang amat penting sekali untuk mendapatkan suami yang soleh. Bagaimana kita akan mendapat suami yang soleh jika kita sendiri terlalu buruk dalam akhlak dan segala aspek kehidupan.  Allah S.W.T berfirman :

 “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”        ( An-Nur':26)

Jadi kita harus berusaha untuk menjadi wanita yang baik dan solehah, bukan sahaja untuk mendapatkan suami yang soleh, malah juga mendapat redha daripada Allah.

Selain itu, cara yang tepat untuk memilih suami yang baik ialah dengan mengetahui latar belakang kehidupannya.  Sebab itu dalam Islam dibolehkan bertunang terlebih dahulu supaya memberi masa untuk saling mengenali, tapi bukan dengan cara yang salah seperti berdua-duaan dan sebagainya.  Hantarlah seseorang yang boleh dipercayai untuk menyelidiki serba sedikit tentang calon suami kita. Perhatikanlah aspek keimanan dan ketaqwaan yang dimiliki oleh calon suami kita. Jangan terlalu mengutamakan kedudukan dan harta, walaupun tidak dinafikan harta itu penting untuk menyara isteri dan keluarga. Kedudukan dan harta boleh lenyap bila-bila masa sahaja. Allah menjamin kebahagiaan hidup sesuatu keluarga di dunia ini jika mereka orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT :

Sesiapa yang melakukan amalan soleh baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan mereka beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan mereka kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” ( An-Nahl : 97 )

Cita-cita untuk memilih suami mithali atau suami teladan semestinya ada pada setiap wanita. Sama ada yang sudah berkahwin ataupun yang bakal berkahwin. Kerana kebahagiaan dan ketenangan dalam rumahtangga hanya dapat dirasakan bagi meraka yang mempunyai pemimpin rumahtangga yang baik. Kecemerlangan sesebuah masyarakat bergantung kepada kecemerlangan sesebuah keluarga, khususnya suami sebagai ketua keluarga. Untuk memperoleh keluarga yang cemerlang, calon isteri hendaklah memilih calon suami yang berwawasan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Pilihlah suami yang bertanggungjawab serta mampu mencurahkan rasa cinta kepada keluarga.

Impian untuk mempunyai suami yang baik itu tidak pernah padam daripada hati setiap wanita. Tentunya ada ciri-ciri tertentu yang harus menjadi pedoman bagi setiap wanita yang ingin menentukan pasangan hidupnya. Antara ciri-ciri tersebut iaitu :

  • 1.       Berakal, berilmu, beriman dan beramal soleh.
  • 2.       Mempunyai watak kepimpinan dan bertanggungjawab.
  • 3.       Tinggi akhlak dan keperibadiannya.
  • 4.       Lemah lembut dengan isteri.
  • 5.       Mempunyai pekerjaan yang halal bagi menjamin nafkah yang halal.
  • 6.       Sentiasa berlapang dada,rasional dan panjang pertimbangan.
  • 7.       Sanggup membimbing isteri dan keluarga.
  • 8.       Mampu mengawasi keselamatan dan keselesaan isteri dan keluarga.
  • 9.       Peribadi yang baik dan berakhlak mulia.
  • 10.   Pemaaf dan mudah meminta maaf serta tidak ego
  • 11.   Bersangka baik dengan pasangan hidupnya.
  • 12.   Berterima kasih atas setiap pengorbanan isteri.
  • 13.   Istiqomah dalam melayani karenah isteri/ tak mudah jemu.
  • 14.   Bertolak ansur dengan isteri.
  • 15.   Dihormati isteri,bukan ditakuti isteri.
  • 16.   Pandai bergurau serta pandai mengambil hati isteri.

Disediakan/Rujukan,
1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Taubat, Sept 2011.
2. Damia Zahra Zainuddin,Taubat,Sept 2011.
3. Habsah Md. Nor, Isteri Teladan, 1994.

Monday 12 September 2011

KAEDAH DAN SUMBER HUKUM DALAM ISLAM

Pembahagian Dan Penjenisan Sumber Perundangan Islam
Ada dua kumpulan sumber perundangan Islam. iaitu :
  1. Sumber-sumber asas
    • Al Quranul Karim
    • As Sunnatun Nabawiyah
  2. Sumber-Sumber tafsiran.
    • Yang disepakati oleh sebahagian ulamak Islam. iaitu
      • Al Ijma'
      • Al Qiyas
    • Yang dipertikai oleh sebahagian ulamak, iaitu :
      • Al Istihsan
      • Al Masolehul Mursalah
      • Al 'urf
      • Syariat yang terdahulu
      • Mazhab sahabat Rasulullah s.a.w.
      • Al istishab
      • Az Zara-i'
Dalil sumber-sumber asas
Di antara dalil mengenai sumber-sumber asas tersebut adalah sebagai berikut :
  •  [Surah An Nisa' : 59]
    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
    "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka hendaklah kamu kembalikannya kepada Allah ( Al Quran ) dan Rasul (Sunnah); jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kiamat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik bagi akibatnya."

  • [Surah Al hasyr:7]
    مَّا أَفَاء اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاء مِنكُمْ
     وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
    "Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah ia. Dan apa yang terlarang bagimu maka tinggalkanlah ; dan bertaqwalah kepada Allah. sesungguhnya Allah amat keras hukumannya."
  • "Ku lihat untuk dua perkara, tidaklah kamu akan tersesat selamanya selagi kamu masih berpegang kepada kedua-duanya; iaitu kitabullah dan sunnahnya (rasulnya)." [Al-Hadith]

Maksud Al-Quran
Al-Quran ialah : 'Kalamullah yang merupakan mu'jizat, yang diwahyukan kepada Rasulnya Muhammad S.A.W yang dimaktubkn ke dalam mushaf, yang dipindahkan secara mutawatir kepada seluruh manusia dengan lafaz serta makna melalui bahasa 'Arab dan pembacaan dijadikan 'ibadah'.

Huraian Ringkas
Diantara perkara perkara yang penting yang diperolehi daripada maksud Al Quran tadi ialah :
  • Al-Quran ialah kalamullah kepada Rasulnya Muhammad S.A.W.
  • Al-Quran ialah kalamullah yang dimaktubkan ke dalam mushaf melalui bahasa 'Arab. Sebarang bentuk penafsiran dan perterjemahan walau dalam apa jua bahasa bukanlah Al-Quran,
  • Al-Quran ial;ah yang dijadikan ibadah bila dibaca.
  • Al-Quran adalah suatu mu'jizat yang tidak dapat ditiru dan dicabar oleh mana-mana jua kuasa yang terdahulu mahupun yang kemudian.
Peringkat Al-Quran diturunkan
Ada tiga peringkat Al-Quran diturunkan, iaitu :
  • Dari Allah S.W.T ke Lauhil Mahfuz. Peringkat ini Al-Quran diturunkan sekaligus kesemua ayat dan surah.
  • Dari lauhil mahfuz ke Baitil 'Izzah. Peringkat ini juga Al-Quran diturunkan sekaligus kesemua ayat dan surah.
  • Dari Baitil 'Izzah kepada Rasulullah yang bermula pada 17 Ramadhan ketika baginda berada dalam gua Hirak.Pada peringkat ini Al-quran diturunkan sedikit sedikit selama 22 tahun 2 bulab 22 hari. Di antara hikmah diturunkan begitu ialah;
    • Agar mudah dimergertikan dan dilaksanakan oleh manusia ketika itu.
    • Untuk menyesuaikan dengan peristiwa yang berlaku
    • Untuk memudahkan penghafalan
    • Untuk menatapkan hati Rasulullah S.A.W
Keadaan Rasullulah ketika menerima wahyu
Ada bermacam keadaan Rasulullah menerima wahyu. Antaranya :
  • Malaikat memasukkan wahyu itu kedalam hati baginda. Keadaan begini, Rasulullah tidak melihat suatu apapun. Baginda hanya terus merasakan bahawa wahyu itu telahpun berada dalam hatinya.
  • Malaikat menampakkan dirinya dalam bentuk yang asal di hadapan Rasulullah.
  • Malaikat menampakkan dirinya sebagai seorang lelaki dan mengucapkan wahyu kepada Rasulullah sehingga baginda mengetahui, memahami dan menghafaznya.
  • Wahyu disampaikan bagai gemercingan loceng. Keadaan beginilah yang paling berat dirasakan baginda, sehingga keningnya berpeluh kasar walaupun dimusin dingin. Kadangkala baginda merasai ditimpa gering yang tersangatan. Dan kadang kala unta yang sedang dinaikinya terpaksa berhenti dan duduk kerana turut merasakan beratnya.
Pembahagian dan Perbezaan
Ayat ayat suci Al-Quran
Ada dua kumpulan ayat-ayat surah-surah Al-Quran, iaitu :
  • Makkiyah :Ayat ayat yang diturunkan semasa baginda belum berhijrah ke Madinah.
  • Madaniyah : Ayat-ayat yang diturunkan semasa baginda telah berpindah ke Madinah.
Perbezaan antara kedua kumpulan tersebut amat sukar dikesani secara sambil lalu saja. Namun, panduan berikut adalah diantara cara mengenalinya :
  • Ayat ayat Makkiyah selalunya pendek pendek. Manakala ayat Madaniyah biasanya panjang-panjang.
  • Ayat Makkiyah umunnya mengenai aqiqah, akhlaq, kesan kesan umat yang terdahulu dan ancaman dosa serta ganjaran pahala.
  • Ungkapan bahasa Makkiyah kadangkala terdapat rangkaiankata 'Ya aiyuhannas' dan ' Ya bani Adam'. manakala ayat Madaniyah sering disertai ungkapan 'Ya aiyuhalazina ammanu' dan tidak 'Ya aiyu hannas' kecuali dalam tujuh ayat sahaja, iaitu :
    • Dua ayat dalam Al-Baqarah ( ayat : 21 dan 168)
    • Empat ayat dalam An-Nisa' (ayat : 1, 133, 170 dan 174)
    • Satu ayat dalam Al-Hujarat (ayat : 13 ).
  • Setiap surah yang ada sajdah adalah Makkiyah, kecuali yang dalam surah Al-Hajj.
  • Setiap surah yang ada disebutkan adalah Makkiyah.
Penulisan dan pengumpulan Ayat-Ayat Al-Quran .
Semasa hayat Rasulullah, ayat ayat Al-Quran tidak dikumpulkan dalam satu mushaf seperti hari ini. Sungguhpun begitu, ianya dipelihara melalui :
  • Hafalan Rasulullah S.A.W.
  • Hafalan para sahabat.
  • Catatan para penulis diatas kepingan batu, kekulit binatang, keketulan tulang dan pelepah tamar.
Diantara penulis penulis itu ialah :
  • 'Ali bin Abi Talib.
  • Uthman al Affan.
  • Zaid bin Thabit.
Pengumpulan peringkat pertama
Pengumpulan kali pertama dibuat pada zaman Khalifah Abu Bakar ra, iaitu hasil cadangan dari Saidina Umar Al-Khattab. Ini disebabkan ramainya para huffaz yang terkorban dalam peperangan Yamamah. Menurut riwayat, tidak kurang dari 70 huffaz yang terbunuh.Orang yang ditugaskan untuk mengumpulkan ayat ayat Al-Quran itu ialah Zaid bin Thabit. Setelah selesai pengumpulannya, lalu diikat dengan benang dan diserahkan kepada Saidina Abu bakar r.a untuk dijaga. Mushaf pertama dipelihara oleh Saidina Abu Bakar hingga wafatnya. Kemudian kepada jagaan Saidina Umar dan apabila beliau wafat ia berpindah kepada jagaan puterinya Hafsah (isteri Rasulullah)

Pengumpulan peringkat kedua
Dimasa pemarintahan Usman bin Affan, berlaku perselisihan dalam cara pembacaan Al-Quran dikalangan orang Islam dinegeri Syam dan Iraq .Orang pertama yang mengambil perhatian itu ialah sahabat Huzaifah Al-Yamani, Beliau telah mencadangkan agar mushaf yang ada pada Saidatina Hafsah itu dipinjamkan dan disalin hingga beberapa naskah dan kemudian dihantar kesetiap ibu negeri wilayah Islam ketika itu. Lalu Saidina Usman memerintahkan perlaksanaannya kepada :
  • Zaid ibnu Thabit r.a
  • Abdullah ibnu Zubair r.a
  • Sa'id bin 'Ash r.a
  • Abdur Rahman bin Harith r.a.
Pengumpulan kali ini memakan masa sekira enam tahun, iaitu antara tahun 24-30 hijrah (650-655 M). Bila selesai penyalinan dan pengumpulannya maka empat naskah dikirimkan ke Mekah,Syria, Bashrah dan Kufah. Manakala senaskah diserahkan kepada Saidina Usman sebagai jagaan, panduan dan rujukan. Inilah yang dikenali sebagai Mushaful Iman. Selepas dari tarikh itu semua naskah persendirian dibakar untuk mengelakkan dari perselisihan.
Naskah Mushaful Iman adalah dijaga oleh Saidina Usman dan sepenuhnya hingga sewaktu sewaktu beliau dibunuh darahnya mengalir / membasahi ayat yang sedang dibacanya:
( Al-Baqarah : 137)


فَإِنْ آمَنُواْ بِمِثْلِ مَا آمَنتُم بِهِ فَقَدِ اهْتَدَواْ وَّإِن تَوَلَّوْاْ فَإِنَّمَا هُمْ فِي شِقَاقٍ فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللّهُ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Menurut ahli sejarah bahawa naskah ini berpindah kepada raja-raja bani Umaiyah, kemudian ke Andalus, ke Masjid Jame' Cordova. ke Fez (ibu negeri Moroko), Ke Bashra dan ke Tiberiz. Khabarnya dalam tahun 1904 orang-orang Islam di Rusia pernah menemui naskah tersebut dalam longgokan buku-buku Islam dari Bukhara. Ada juga yang mendakwa, bahawa ianya tetap berada di salah sebuah perpustakaan di India.

Pemeliharaan ayat ayat Al-quran.
Sungguhpun ayat ayat Al-Quran dikumpulkan sedemikian cara, tetapiianya tetap tulin dan asli. Sebarang usaha pemalsuannya tetap diketahui oleh orang orang Islam, kerana ianya;
  • Dipelihara oleh para huffaz yang ramai bilangannya didunia ini.
  • Mu'jizat yang tidak dapat ditiru, diroboh dan dicabar oleh sesi apa, apa-apa, dimana dan bila bila juapun.
  • Dibawah pemeliharaan yang Empunya, iaitu Allah S.W.T
(Al Hijr : 9)


إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ


Kandungan Al-Quran
Al-quran adalah sumber pertunjuk bagi seluruh manusia untuk semua bidang kehidupan dan keperluan mereka. Samada untuk hidup didunia ini atau bekalan akhirat kelak. Maka itulah Al-quran mengandungi serbanika pengajaran dan pelajaran melalui sejarah lampau , peristiwa semasa dan keadaan akan berlaku. Al-Quran juga mengandungi berita baik, ancaman dosa, tawaran pahala, sindiran, kutukan dan sebagainya. Bila dilihat dari sudut ilmu pula, Al-Quran mengandungi berbagai prinsip ilmu; samada yang telah diketahui manusia mahupun yang belum pernah diketahui.
Sebagai contoh mengenai prinsip-prinsip ilmu :
  • Ilmu jiwa : Diantara firman Allah mengenainya :
"Demi bumi Kami bentangkan apa yang menyempurnakannya, maka diilhamkan Allah kepadanya (jalan ) yang salah dan yang benar. Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan (jiwa)nya dan rugilah orang yang mengotorinya."
( Asy Yams : 7-10)
  • Ilmu bumi dan ilmu alam, diantara firmannya ialah :
"Dan bumi Kami bentangkan dan Kami letakkan diatasnya gunung gunung dan Kami tumbuhkan diatasnya segala macam (tanaman ) yang indah permai."
(Qaaf : 7-8)
"Dan Kami jadikan antara mereka dengan negeri yang Kami berkati padanya, iaitu beberapa kota yang mudah kelihatannya, dan kami buatkan disana (batas batas) perjalanan."
(Sabak : 18)
  • Ilmu haiwan : , diantara firman-Nya ialah:
"Dan sesungguhnya bagi kamu tentang kehidupan haiwan ternak itu menjadi pelajaran. Kami beri minum kamu dengan apa yang ada dalam perutnya, diantara tahi dan darah ; dan didapati susu yang bersih dan sedap bagi mereka yang meminumnya ."
(An Nahl : 66)
  • Ilmu tumbuh tumbuhan : diantara firman-Nya :
(Yaasin : 38-40)


وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ
وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّى عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ
لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
"Dan diatas bumi ini terdapat beberapa bahagian (negeri) yang berdekatan, kebun anggur, tanam tanaman dan pohon korma yang berumpun dan tidak berumpun, disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buahnya dari yang lain. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda tanda (kekuasaan) Allah bagi kaum yang berfikir."

Bidang hukum dalam Al-Quran
Dari sudut hukum yang berhubung dengan perlakuan manusia, Al-Quran mengandungi tiga kumpulan hukum yang terpenting:
  • Kumpulan I : Hukum-hukum Aqidah
  • Kumpulan II : Hukum-hukum Akhlaq dan
  • Kumpulan III : Hukum -hukum 'Amaliyah yang merangkumi :
    • 'Ibadat - ibadat Khassoh dan
    • Mu'amalat yang mencakupi pelbagai jenis :-
      • Hukum hukum kekeluargaan
      • Hukum hukum keharataan dan ekonomi
      • Hukum hukum acara dan keadilan
      • Hukum hukum jenayah
      • Hukum hukum kenegaraan dan pentadbiran
      • Hukum hukum politik dan hal semasa antarabangsa
      • Hukum hukum yang lain-lainnya.
Jenis jenis lafaz dan nas Al-Quran
Lafaz dan nas Al Quran dapat dibahagikan kepada beberapa jenis yang dipandang dari beberapa sudut tertentu. Antaranya :
  • Sudut kandungan makna
  • Sudut kandungan hukum
Dari sudut kekuatan hukum
Dari sudut ini, lafaz Al-Quran terbahagi kepada dua:
  • Qath'ie : Nas yang menunjukkan ke atas satu makna tertentu yang difahami dan tiada sedikitpun kemungkinan yang menunjukkan keatas makna lain.
  • Dzannie : Nas yang menunjukkan keatas satu makna yang difahami maknanya tetapi berkemunkinan jua menunjukkan kepada satu makna yang lain. Contohnya ialah : Setiap nas yang am, nas yang mutlaq dan lafaz yang musytrak.
Dari sudut kandungan makna
Dari sudut ini, lafaz Al-Quran terbahagi kepada dua jenis
  • Lafaz yang am : Lafaz yang menunjukkan ke atas sesuatu yang merangkumi seluruh kandungan yang tidak terbatas. Jenis ini terbahagi pula kepada tiga :
    • Am yang memang dimaksudkan
    • Am yang dikehendaki pengkhususannya
    • Am yang dikhususkan
  • Lafaz yang khas : Lafaz yang menunjukkan ke atas satu atau lebih tetapi terhad. Jenis ini terbahagi kepada empat kumpulan :
    • Mutlaq : Yang menunjukkan ke atas satu tertentu tanpa pembatasan secara lafaz.
    • Muqaiyad : Yang menunjukkan keatas satu yang tertentu dengan pembatasan secara lafaz.
    • Amar : Suruhan agar melakukan sesuatu yang tertentu.
    • Nahy : Larangan dari melakukan sesuatu yang tertentu.
Pengertian dan pembahagian As Sunnatun Nabawiyah
As Sunnatun Nabawiyah ialah setiap perkataan dan pengakuan yang lahir daripada Rasulullah S.A. W ianya terbahagi kepada tiga:
  • Sunnah Qauliyah @ Hadith
  • Sunnah Fi'liyah dan
  • Sunnah Taqririah (pengakuan)
Perjenisan Sunnah Qualiyah
Ianya terbahagi kepada tiga :
  • Mutawir : Yang diriwayatkan dari Rasulullah oleh sekumpulan ramai yang tidak diragui tentang kebenaran, kejujuran dan keluruhan peribadi mereka. Dan diriwayatkan pula dari mereka ini oleh sekumpulan ramai yang lain yang keadaan mereka jua sama dengan keadaan kumpulan ramai yang pertama. Kemudian diriwayatkan pula dari kumpulan ramai yang akhir ini oleh sekumpulan yang ramai yang lain yang mempunyai keadaan sama.
  • Masyur : Yang diriwayatkan dari rasulullah oleh seorang atau dua orang atau kumpulan yang tidak ramai, yang diriwayatkan pula darinya atau dari mereka oleh sekumpulan yang ramai yang diriwayatkan pula dari kumpulan ini oleh sekumpulan yang lain.
  • Aahad : Yang diriwayatkan dari Rasulullah oleh seorang atau dua orang atau sekumpulan yang tidak ramai, yang diriwayatkan pula darinya atau dari mereka ini oleh sekumpulan yang tidak ramai, yang diriwayatkan pula darinya atau dari mereka ini oleh kumpulan yang ramai atau seorang yang tidak ramai atau seorang atau dua orang dan begitu seterusnya.
Dari segi sanad jua disebutkan hadith hadith yang tertarap :
  • Soheh
  • Hasan
  • Dho'if
  • Mauquf
  • Mutashil
  • Maqthu'
  • Mursal
  • Mu'Adhdhal
Penjenisan ini adalah berdasarkan kepada sudut tertentu yang perbahasanya ada didalam ilmu musthalahul hadith.
Pembahagian dan penjenisan Sunnah Fi'liyah
Sunnah Fi'liyah terbahagi dua bahagian. Iaitu:
  • Perbuatan melakukan sesuatu
  • Perbuatan tidak melakukan sesuatu
Perbuatan melakukan sesuatu ada tiga jenis
  • Jenis Tabi'iy : Hukum perbuatan ini adal;ah harus. Tetapi sesetengah setengah perbuatan itu adalah sumber hukum.
  • Jenis kekhususan : Setengah dari perbuatan jenis ini menjadi sumber hukum.
  • Jenis Tasyri' : Kesemua perbuatan ini adalah menjadi sumber hukum.
Perbuatan tidak melakukan sesuatu ada dua jenis:
  • Semata-mat tidak melakukan. Samada :
    • Ada dorongan untuk dilakukan, tetapi baginda tidak melakukan, atau
    • Tiada dorongan untuk melakukannya semasa hayat baginda, tetapi ada dorongan selepas baginda wafat.
  • Tidak melakukan sesuatu kerana sesuatu sebab atau sesuatu halangan tertentu. Samada :
    • Khas bagi Rasulullah S.A.W sahaja
    • Tabi'iy baginda, atau
    • Pertimbagan tertentu.
Pembahgian Sunnah Taqririyah
Sunnah Taqririyah terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:
  • Mengiakan sesuatu perkataan
  • Mangiakan sesuatu perbuatan, dan
  • Mendiamkan diri mengenai sesuatu.
Pengumpulan dan pembukaan Hadith
Semasa hayat Rasulullah S.A.W, baginda melarang penulisan hadith-hadith kerana dikhuatiri bercampur dengan ayat ayat Al-Quran yang masih dalam proses penurunannya. Oleh itu, apa yang disabdakan oleh baginda, hanya dihafal dan diingati dikepala sahaja.
Tetapi setelah baginda wafat, maka keperluan untuk mengumpulkan dan membukukan hadith-hadith amatlah mendesak. Diantara sebab-sebabnya ialah :
  • Ayat ayat Al-Quran telah sempurna diturunkan. Maka wahyu tidak akan diturunkan lagi buat selama-lamanya.
  • Rasulullah S.A.Wsebagai tempat rujuk hukum telah pun wafat.
  • Hadith-hadith baginda sendiri adalah sumber kedua ajaran dan hukum hukum Islam.
  • Berlaku gerakan mencipta palsukan Hadith hadith oleh golongan jahat, terutamanya oleh orang orang Yahudi.
Oleh yang demikian, 'Umar bin Abd Aziz selaku ketua negara dan umat Islam (99-111H @ 717-720 M), telah mengarahkan gabenornya di Madinah, iaitu Abu Bkar 'Umru B. Hazam supaya menulis hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Tetapi setelah beliau menulis beberapa buku hadith dan belum sempat menyerahkannya kepada baginda, Khalifah Umar B. Abdul Aziz telah wafat.
Dari semenjak itulah muncul pengumpul-pengumpul hadith, seperti :
  • Ibnu Juraij di Mekah (wafat 772M)
  • Muhammad B. Ishaq di Madinah (wafat 773M)
  • Malik B. Anas di Madinah (wafat 179M)
  • Rabi' B. Shubaih di Basrah (wafat 728M)
  • Sa'id B. Abi Urubah di Basrah (wafat 778M)
  • Himad B. Salamah di Basrah (wafat 798M)
  • Sufyan Ats-Tsauri di Kufah (wafat 798M)
  • Abu Umru Abdur Rahman B. Umru Asy-Syami yang lebih dikenali sebagai Iman Az-Auza'iy di Syam (88-157H)
  • Qasim Abi Bakar (wafat 740M)
  • Muhammad B. MuslimAz-Zuhri (wafat 746M)
Pada peringkat awal pengumpulan hadith ini, masih bercampur dengan fatwa-fatwa sahabat. Oleh itu, tampillah penulis yang menulis hadith dari riwayat-riwayat atau musanid, iaitu:
  • Abdullah B. Musa Al-Abasiy di Kufah
  • Musaddad B. Musarhad di Basrah
  • Naim B. Hamad Al-Khuza'iy di Mesir
  • Ahmad B. Hambal.
Penulisan dari segi masaniq ini ialah dengan meletakkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tiap-tiap sahabat secara berasingan tanpa menurut bahagian-bahagian tertentu.

Kitab kitab Hadith Soheh
Diantara kitab kitab hadith yang ditulis, ada enam buah yang paling terkenal dikalangan semua ulamak, yang disebut olehumat Islam Sunan Sittah. Iaitu:
  • Shoheh Bukhari : Ditulis oleh Abu Abdillah Muhammad B. Ismail Al-Bukhari Al- Jusfi @ Imam Bukhari (wafat256H)
  • Shoheh Muslim : Ditulis oleh Muslim B. Al - Hajjaj Al- Qusyariy An-Nisaburi @ Imam Muslim (wafat 261H)
  • Sunan Abi Daud : Ditulis oleh Abu Daud Sulaiman B. Al-Asy'Ats As-Sajastaniy (wafat 275H)
  • Sunan Tarmizi ; Ditulis oleh Abu Isa Muhammad B. Isa As-Salami At- Tarmizi (wafat 279H)
  • Sunan Ibni Majah : Ditulis oleh Abu Abdillah Muhammad B. Yazid Al- Qazawain @ Ibni Majah (wafat 273H)
  • Sunan Nasaiy : Ditulis oleh Abu Abdir Rahman Ahmad B. Syunil An-Nasaiy ( wafat 303 H)
Selain daripada mereka yang tersebut diatas tadi, ada banyak lagi ahli-ahli yang terkenal juga dikalangan Ulama' Islam. Antaranya :
  • Ibnu Hibban : Iaitu Muhammad B. Hibba Al-Bastiy
  • Dar Qathiy : Iaitu Abul - Hasan Ali B. Umar.
  • Al-Haakim : Iaitu Muhammad B. Abdillah Na'im Adh - Dhabi An- Nisaburiy.
Hadith Qudsi
Hadith ialah yang diriwayatkan oleh Rasulullah S.A.W.mengenai sesuatu dari Allah S.W.T. Ianya diilhamkan kepada baginda semasa tidur atau ketika jaga secara makna sahaja, sedangkan lafaz disusun sendiri oleh rasulullah S.A.W dan bukan mukjizat.
Hadith Qudsi ini mengenai sesuatu yang biasanya menyentuh perasaan perasaan manusia, galakan galakan agar berakhlak mulia, bersifat dengan sifat sifat utama lagi terpuji, rindukan Allah S.W.T dan takutkan azabnya yang amat dasyat.

Maksud dan Dalil Ijma'
Ijma' ialah suatu persefakatan para mujtahidin umat Muhammad S.A.W didalam suatu masa tertentu selepas kewafatan baginda mengenai sesuatu hukum syarak.
Diantara dalil-dalil sumber ini ialah :
  • "Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu,maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya ), jika kamu benar benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (baginda) dan lebih baik akibatnya "- maksud An-Nisa' :59
Ayat diatas menunjukkan, jika berlainan pendapat maka hendaklah kembali pada Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi jika berlainan pendapat, maka bererti Ijma'.
  • "Umat takkan bersefakat dalam yang salah" Dan "Ummatku takkan bersefakat dalam kesesatan ". - maksud Al-Hadith.

Ketentuan Ijma'
Dari pengertian Ijma' diatas, dapatlah kita fahamkan bahawa ketentuannya ialah :
  • Ijma' Mestilah persefakatan semua mujtahidin semasa.
  • Persefakatan tersebut mestilah berlaku dikalangan para mujtahidin sahaja.
  • Umat Muhammad S.A.W. yang dimaksudkan ialah mukmin, muslim dan mukallaf.
  • Persefakatan yang dimaksudkan ialah yang mengenai hukum-hukum syara' dan bukannya hukum-hukum hissiyat dan aqliyat atau seumpamanya.
  • Persefakatan mujtahidin itu mestilah berlaku selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.
Mazhab Sahabat
Mazhab sahabat ialah perkataan atau perbuatan seseorang yang sempat bertemu dengan Rasulullah S.A.W sedangkan ia beriman dan mati didalam Islam yang tidak bertentangan dengan maksud syara'.
Dalil dalil Dari Sumber ini.
Diantara dalil dalil mengenai mazhab sahabat Rasulullah S.A.W sebagai sumber hukum ialah :
  • "Sebaik - baik kurun yang aku didalamnya"
  • "Sahabat sahabat ku adalah laksana bintang bintang. Apa jua yang engkau ikutinya nescaya mendapat petunjuk."
  • "Hendaklah engkau ikut Sunnahku dan Sunnah Khulafa-Ur-Rasyidin selepasku"
    Maksud-maksud Hadith
Maksud Istishhab
Istishhab ialah menghukum dengan ada atau tiadanya sesuatu itu pada masa kini atau masa akan datang, berdasarkan kepada ada atau tiadanya sesuatu itu pada masa yang lalu, kerana tiada bukti yang menunjukkan bahawa sesuatu itu telah berubah keadaan.
Dalil-dalil sumber ini
Diantara dalil dalil yang menujukkan Istishhab sebagai sumber sumber hukum ialah :-
"Sesuatu yang telah ada atau telah tiada pada masa yang lalu dan tiasa nyata perubahannya pada masa kini, adalah sesuatu yang didzankan. Sedangkan sesuatu yang didzankan itu wajib diamalkan. Sekiranya tiada, berlakulah tiga perkara yang pasti batal dan tidak boleh diterima, iaitu:
  • tiada hukum hukum yang disabit dizaman Rasulullah S.A.W itu tersabit dizaman kita ini, kerana mungkin telah dinasakkan.
  • tiadalah apa apa mukjizat pun, kerana mukjizat itu adalah sesuatu yang luar biasa yang mesti diyakini berkekalan, dan
  • samalah syak alaq dan syak nikah keduanya tiada dzan.
Maksud dan bahagian zara-i'
Zara-i' ialah apa jua boleh menyampaikan kepada sesuatu yang baik atau sesuatu yang buruk. Ianya terbahagi kepada :
  • Sadduz- zara-i' : menghindarkan daripada berlaku keburukan
  • Fathuz-zara-i' : menggunakan cara yang baik untuk kebaikan
Dalil dalil sumber ini.
Diantara dalil dalil mengenai az-zara-i' sebagai sumber hukum ialah
  • "Tinggalkan sesuatu yang meragukan kamu kepada sesuatu yang lain yang tidak meragukan"
  • Rasulullah S.A.W menceritakan cara seseorang menlaknat orang tuanya sendiri, iaitu :
"Ia memaki bapa orang lain pada mulanya, kemudian orang itu memaki bapa orang tadi, dan ia memaki ibu orang lain, kemudian orang itu memaki ibu orang tadi "- maksud Hadith.
Jenis jenis Ijma'
Ada dua jenis Ijma' sebagai sumber hukum, iaitu :
  • Ijma' Nuthqi @ Shoreh : persefakatan yang berbetuk pernyataan yang jelas dengan perkataan atau dengan perbuatan atau kedua-duanya sekali oleh para mujtahidin.
  • Ijma' Sukuti : Persefakatan yang terbentuk pernyataan dari sebahagian mujtahidin sahaja, sedangkan sebahagian yang lain tidak membantah pernyataan tersebut setelah mengkajinya dengan teliti.
Maksud dan Rukun Qiyas
Qiyas ialah menetapkan hukum sesuatu yang tertentu, pada masa yang lain kerana persamaan kedua-duanya dari segi 'illah.
Rukun Qiyas ada empat, iaitu:
  • Sesuatu yang tertentu / telah tertentu (asal)
  • hukum sesuatu yang telah tertentu.
  • 'llah
  • sesuatu yabg lain (far')
Dalil mengenai Qiyas
Diantara dalil-dalil mengenai sumber ini ialah :
  • "Maka ambillah (kejadian itu) untuk pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan"-maksud Al-Hasyr :2
  • perbuatan Rasulullah S.A.W. dengan hutang kepada manusia.
Bahagian Qiyas
Ada dua bahagian Qiyas, iaitu :
  • Qiyas Jaliy (yang amat ketara)
  • Qiyas Khafiy (yang tersembunyi)
Jenis-jenis Qiyas
Qiyas ada tiga jenis, iaitu:
  • Qiyas Aula (utama)
  • Qiyas Musawi ( yang amat ketara)
  • Qiyas Adna (rendah)
Pengertian Istihsan
Diantara dalil - dalil mengenai Istihsan. Istihsan ialah menterjemahkan Qiyas Khafi yang sukar difahami atau mengecualikan masalah juziyah daripada Qaidah 'ammah, berdasarkan kepada dalil tertentu serta kejelasan atau kekuatan kebaikannya.
Dalil Istihsan
Diantara dalil dalil Istihsan sebagai sumber hukum ialah :
  • "Iaitu orang orang yang mendengarkan kata, maka diturutinyalah mana yang baik (paling baik). Merekalah orang orang yang dipimpinlah oleh Allah, dan merekalah orang orang yang mengerti "-Az-Zumar: 18.
  • "Apa yang dipandang oleh orang orang Islam itu baik, maka ianya baik juga disisi Allah"
Jenis dan contoh Istihsan
Istihsan terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya;
  • Istihsan dengan Al-Quran ; seperti harusnya berwasiat.
  • Istihsan dengan Hadith : seperti sahnya puasa bagi yang makan secara terlupa.
  • Istihsan dengan 'Urf : seperti sah akad menyewa bilik mandi untuk mandi
  • Istihsan dengan darurat : seperti sah membersihkan telaga daripada najis dan membuang airnya sahaja.
  • Istihsan dengan Maslahat : seperti sah wasiat. mahjur'alaihi kerana bodah untuk kebaikan umum.
Syarat syarat mengamalkannya
Masoleh Mu'tabarah adalah menjadi sumber hukum, dan Masoleh Mulghah bukanlah sumber hukum. Manakala Masoleh Mursalah pula, ianya menjadi sumber hukum setelah memenuhi pensyarakan yang berikut:
  • Maslahat Mursalah itu tidak bertentangan dengan maksud syara'.
  • Maslahat Mursalah itu diterima oleh akal - akal yang matang dan yakin.
  • Maslahat Mursalah itu menyeluruh untuk kesemua atau kelayakan manusia.
Kewujudan Masoleh Mursalah
Masoleh Mursalah tidak wujud didalam semua jenis perlakuan atau kepentingan manusia.Oleh itu, hukum-hukum ta'abbudiy tidak terbabit dengan permasalahan Masoleh ini.
Dalil dalil Masoleh Mursalah
Diantara dalil dalil mengenai sumber ini ialah:
  • Hukum hukum yang disyariatkan melalui Al-Quran dan As Sunnah adalah untuk manusia.
  • Ijtihad para sahabat Rasulullah S.A.W khususnya Khualafa-Ir- Rasyidin adalah kesemuanya untuk kemaslahatan. Seperti Ijitihad Abu Bakar r.a. mengumpulkan Al-Quran, dan Ijtihad Umar B. Al-Khattab r.a menentukan Kharaj dan 'Usyur.
  • Maksud Uruf ('Urf)
  • 'Urf ialah sesuatu yang dibiasai oleh manusia, samada betbentuk perbuatan atau perkataan.
Pembahagian 'Urf
'Urf terbahagi kepada beberapa bahagian yang dipandang dari sudut sudut berikut :
  • Dari sudut kuatkuasanya : 'Urf terbahagi kepada :
    • 'Uruf am yang menyeluruh
    • 'Uruf khas yang tidak menyeluruh.
  • Dari sudut kebenarannya : Uruf terbahagi kepada:
    • Uruf Shoheh : iaitu kebiasaannya yang tidak nyata mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.
    • Uruf Fasid : Kebiasaan yang nyata mengharamkan yang haram atau kebiasaannya yang nyata tertentu dengan ajaran ajaran Al-Quran dan Sunnah.
Dalil dalil dari sumber ini
Diantara dalil dali mengenai sebahagian Uruf sebagai sumber hukum ialah :
  • "Hendaklah kamu pemaaf menyuruh agar mengerjakan yang baik, dan tinggalkan mereka yang jahil itu "
Al- A'raf:199
  • "Apa yang dipandang oleh orang orang Islam itu baik, maka ianya juga baik disisi Allah , dan dipandang oleh mereka itu buruk, maka ianya buruk juga disis Allah "
Maksud Hadith
Uruf yang menjadi sumber
Uruf yang menjadi sumber hukum ialah Uruf Am yang shoheh dizaman Rasulullah S.A.W dan zaman zaman selepasnya yang tidak bertentangan dengan maksud dan kaidah syari'iyah, seperti:
  • Uruf aqad Istishna'
  • Uruf Jual Mubatha.
Syariat yang terdahulu
Hukum hukum yang terkandung didalam syariat syariat bagi nabi nabi atau rasul rasul a.s yang terdahulu terbahagi kepada :
  • Hukum hukum yang tidak di Naskan oleh syariat Muhammad S.A.W
  • Hukum hukum yang di Naskah oleh syariat Muhammad S.A.W
  • Hukum hukum yang tidak disebut didalam syariat Muhammad S.A.W
  • Hukum hukum yang disebutkan sama dengan hukum hukum didalam syariat Muhammad S.A.W
  • Hukum hukum yang disebut didalam syariat Muhammad S.A.W. tetapi tidak dinyatakan samada dinaskan atau tidak dinaskan.
Dalil dalil mengenai sumber ini.
Diantara dalil dalil mengenai syariat yang terdahulu itu sebagai sumber hukum ialah :
  • Syariat yang terdahulu adalah syariat Allah S.W.T dan tidak ada bukti tentang penasakhnya yang menyeluruh.
  • Ulamak Islam mengambil dalil juga wujud tentang wajib daripada ayat yang menceritakan tentang syariat Musar.a.
  • Perkataan Rasulullah S.A.W merujuk didalam Taurat ketika hendak menghukum rejam keatas Yahudi yang bersalah kerana berzinaan.
Mazhab Hambali
Iman Ahmad B. Hanbal dilahirkan di Baghdad. Ada juga riwayat yang menyatakan di Maru, Farsi. Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Ahmad B. Muhammad B. Hanbal B. Hilal B. Asad b.Idris B. Abdillah B. Yayyan B. 'Abdillah B. Anas B. 'Auf B. Qasith B. Mazin B. Shaiban. Tarikh kelahirannya ialah dalam bulan Rabi'ul Awwal, 164 H. Ibunya Sofiyah Bt. Maimunah Bt. 'Abdil Malik Ash Shaibani.
Beliau pernah diikatkan dengan rantai kemudian diseret daripada Kota Baghdad hingga ke Tharthus dan dipenjarakan disana selama 28 bulan.Didalam penjara itulah beliau dipukul oleh kakitangan Khalifah Al Makmum kerana tidak mahu memperkatakan sesuatu yang bertentangan dengan fahamannya sendiri.
Disebabkan kemiskinan, beliau pernah bekerja sebagai tukang jahit, juru tulis dan pembawa barang. Semasa hayatnya Iman Ibnu Hanbal sempat menunaikan fardhu haji sebanyak lima kali. Tiga daripadanya dengan berjalan kaki sahaja, dan pernah tersesat jalan.
Mahaguru mahaguru Iman Ibnu Hanbal
Diantara guru guru beliau ialah :
  • Abu Yusof Ya'Aqub B. Ibrahim
  • Hushain B. Bashir B. Abi Hazim Al Wasithi.
  • 'Umair B. ' Abdillah B. Khalid.
  • Iman Syafi'i
  • sufyan B. 'Uyainah.
Kuliah yang disampaikan
Ada dua jenis kursus yang beliau sampaikan, iaitu :
  • Kursus secara umum yang disampaikan selepas 'Asar di Masjid Jami' Baghdad dan
  • Kursusu secara khusus dirumahnya sendiri.
Diantara penuntut beliau ialah:
  • Yahaya B. Adam
  • Iman Bukhari
  • Iman muslim
  • Iman Abu Daud.
Didalam sejarah juga ada menyatakan, bahaw penutut penutut yang menghadiri kursus umum beliau kira kira 5,000 orang pada satu satu masa.
Sumber Perundangan Mazhab
Sumber perundangan mazhab Hanbali ialah:
  • Al-Quranul Karim
  • As Sunnatun Nabawiyah
  • Perkataan perkataan & Fatwa fatwa sahabat Rasulullah S.A.W.
  • Al-Qiyas
  • Al Masoleh Al Mursalah
  • Al-Ijma'
  • Az Zarai'.
Kewafatannya
Iman Ibnu Hanbil wafat diwaktu Dhuha hariJumaat 12 Rabi'Ul Awwal, 241 H. Orang yang memandikan jenazah beliau ialah Abu Bakar Ahmad B. Muhammad B. Al Hajjaj Al Maruzi. Dan dikebumikan di Baghdad.

Permasalahan Taqlid
Taqlid ialah berpegang kepada orang lain didalam sesuatu hukum sebagai dalil. Taqlid boleh berlaku didalam tiga bentuk:
  • Orang awam bertaqlid kepada orang alim
  • Orang awam bertaqlid kepada kepada orang awam yang lain, dan
  • Orang alim bertaqlid kepada kepada orang alim yang lain.
Permasalahan Bid'ah
Bida'ah ialah sesuatu ciptaan yang ada bandingan (tidak menyerupai ) dengan yang sebelumnya. Ianya terbahagi kepada dua :

  • Bida'ah Hasanah : Sesuatu perkara yang baik,yang dilakukan tanpa ada dasar atau dalil yang jelas di dalam Al-Quran mahupun Hadith.Namun ianya masih bersandarkan kepada kebaikan dan tidak bertentangan pula dengan ajaran Islam.
  • Bida'ah Mazmumah : Sesuatu ciptaan yang tidak yang baik kerana ianya tidak bertentangan dengan ajaran ajaran yang terkandung didalam Al Quran dan As Sunnah. Bida'ah ini disebut juga sebagai Syar (jahat), Dhalal (sesat), Qabihah (buruk) dan Mazmumah (dikeji).
Dalil mengenai pembahagian Bida'ah
SabdaRasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Sesiapa yang mencipta sunnah yang baik, adalah baginya pahalanya sendiri dan pahala yang mengamalkan sunnah itu "
Dan sabda baginda lagi:
"Sesiapa yang mencipta sunnah yang buruk, adalah baginya dosanya sendiri dan dosa yang mengamalkan sunnah itu."
Dari sabda Rasulullah S.A.W tadi dapat difahami, bahawa perkataan "SUNNAH" itu bukanlah bererti SUNNAH Rasulullah S.A.W. tidak ada sunnah yang buruk.



Rujukan


1. Pendidikan Syariah Islamiah,Tingkatan 4 & 5,KBSM,Kementerian Pelajaran Malaysia.
2. Imam Nawawi,Riyadus Shalihin,Bab Musthalahul Hadis.