Friday 28 October 2011

NIKAH dan PERKAHWINAN(3)


Syarat bakal suami
* Islam
* Lelaki yang tertentu
* Bukan lelaki mahram dengan bakal isteri
* Mengetahui wali yang sebenar bagi akad nikah tersebut
* Bukan dalam ihram haji atau umrah
* Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
* Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa
* Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri

Syarat bakal isteri
* Islam
* Perempuan yang tertentu
* Bukan perempuan mahram dengan bakal suami
* Bukan seorang khunsa
* Bukan dalam ihram haji atau umrah
* Tidak dalam idah
* Bukan isteri orang

Syarat wali
* Islam, bukan kafir dan murtad
* Lelaki dan bukannya perempuan
* Baligh
* Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan
* Bukan dalam ihram haji atau umrah
* Tidak fasik
* Tidak cacat akal fikiran, terlalu tua dan sebagainya
* Merdeka
* Tidak ditahan kuasanya daripada membelanjakan hartanya
Sebaiknya bakal isteri perlulah menyetujui perkahwinannya dengan bakal suami agar tidak timbul sebarang masalah selepas menjalani kehidupan sebagai suami isteri.Ini juga bertujuan untuk menjaga hak asasi kaum wanita itu sendiri.Sebab itu juga,sebelum akad nikah(lafaz ijab qabul berlangsung antara Wali/wakil Wali).Wali/wakil Wali perlu mendapatkan pengesahan/kepastian sebenar dari bakal isteri/wanita yang hendak dikahwinkan tentang status kerelaannya untuk disatukan.

Jenis-jenis wali
* Wali mujbir: Wali dari bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak(sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan)
* Wali aqrab: Wali terdekat mengikut susunan yang layak dan berhak menjadi wali
* Wali ab’ad: Wali yang jauh sedikit mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susuna tersebut jika tiada yang terdekat lagi.
* Wali raja/hakim: Wali yang diberi kuasa atau ditauliahkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa negeri kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas ini dengan sebab-sebab tertentu.

Syarat-syarat saksi
* Sekurang-kurangya dua orang
* Islam
* Berakal
* Baligh
* Lelaki
* Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul
* Boleh mendengar, melihat dan bercakap
* Adil (Tidak melakukan dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)
* Merdeka

Syarat ijab
* Pernikahan nikah hendaklah tepat
* Tidak boleh menggunakan perkataan sindiran
* Diucapkan oleh wali atau wakilnya
* Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(nikah kontrak e.g.perkahwinan(ikatan suami isteri) yang sah dalam tempoh tertentu seperti yang dijanjikan dalam persetujuan nikah muataah)
* Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab dilafazkan)
Contoh bacaan Ijab:Wali/wakil Wali berkata kepada bakal suami:”Aku nikahkan/kahwinkan engkau dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai”.

Syarat qabul
* Ucapan mestilah sesuai dengan ucapan ijab
* Tiada perkataan sindiran
* Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)
* Tidak diikatkan dengan tempoh waktu seperti mutaah(seperti nikah kontrak)
* Tidak secara taklik(tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)
* Menyebut nama bakal isteri
* Tidak diselangi dengan perkataan lain
Contoh sebuatan qabul(akan dilafazkan oleh bakal suami):”Aku terima nikah/perkahwinanku dengan Diana Binti Daniel dengan mas kahwinnya/bayaran perkahwinannya sebanyak RM 3000 tunai” ATAU “Aku terima Diana Binti Daniel sebagai isteriku”.
Selepas qabul dilafazkan Wali/wakil Wali akan mendapatkan pengikhtirafan/kesaksian dari para hadirin khususnya dari saksi perkahwinan dengan cara meminta saksi mengatakan lafaz “Sah” atau perkataan lain yang sama maksud dengan perkataan itu.
Selanjutnya Wali/wakil Wali akan membaca doa selamat agar perkahwinan suami isteri itu berkekalan dan berbahagia sepanjang kehidupan mereka serta doa itu akan diAmeenkan oleh para hadirin
Sejurus itu,mas kahwan/bayaran perkawinan/mahar akan diserahkan kepada pihak isteri dan selalunya sebentuk cincin akan disarungkan kepada jari manis isteri oleh suami sebagai tanda permulaan ikatan kekeluargaan atau simbol pertalian kebahagian suami isteri.Aktiviti ini diteruskan dengan suami mengucup/mencium isteri.Aktiviti ini disebut sebagai “Pembatalan Wuduk”.Ini kerana sebelum akad nikah dijalankan suami dan isteri itu diminta untuk berwuduk terlebih dahulu.
Suami isteri juga diminta untuk solat sunat nikah sebagai tanda kesyukuran selepas perkahwinan berlangsung.Perkahwinan Islam sememangnya mudah kerana ia tidak perlu mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak aset-aset perkahwinan disamping mas kahwin,hantaran atau majlis keramaian(walimatul urus)yang tidak perlu membebankan atau membazir.Jadi mengapa perlu menyusahkan dalam hal berkaitan perkahwinan dan mengapakah perlu melakukan zina?.

Wakil Wali/ Qadi
Wakil wali/Qadi adalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh institusi Masjid atau jabatan/pusat Islam untuk menerima tuntutan para Wali untuk menikahkan/mengahwinkan bakal isteri dengan bakal suami.Segala urusan perkahwinan,penyedian aset perkahwian seperti mas kahwin,barangan hantaran(hadiah),penyedian tempat berkahwin,jamuan makanan kepada para hadirin dan lain-lain adalah tanggungan pihak suami isteri itu. Qadi hanya perlu memastikan aset-aset itu telah disediakan supaya urusan perkahwinan berjalan lancar.Disamping tanggungjawabnya mengahwinkan suami isteri berjalan dengan dengan sempurna,Qadi perlu menyempurnakan dokumen-dokumen berkaitan perkahwinan seperti sijil perkahwinan dan pengesahan suami isteri di pihak tertinggi seperti jabatan Islam dan jabatan pendaftaran negara.Ini bagi memastikan status resume suami isteri itu sentiasa sulit dan terpelihara.Qadi selalunya dilantik dari kalangan orang-orang alim(yang mempunyai pengetahuan dalam agama Islam dengan luas) seperti Ustaz,Muallim,Mufti,Sheikh ulIslam dan sebagainya.Qadi juga mesti merupakan seorang lelaki Islam yang sudah merdeka dan akhil baligh.

Mahar
Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan surah an-Nisa: ayat 4. Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Malah ia boleh dibayar secara tunai, bertangguh atau berhutang. Jika mahar berhutang, suami wajib membayarnya setelah melakukan persetubuhan atau persetubuhan secara syubhah atau salah seorang mati. Jika suaminya mati, waris suami wajib membayarnya kepada ahli waris isterinya. Jika diceraikan sebelum bersetubuh, hutang mahar wajib dibayar separuh daripada nilainya kepada bekas isterinya, jika sudah dibayar tetapi belum bersetubuh, maka isteri wajib memulangkan separuh daripadanya. Jika isteri meminta fasakh, mereka belum bersetubuh, dan mahar masih berhutang, suaminya tidak wajib membayarnya. Jika sudah dibayar, bekas isteri wajib memulangkan kesemua jumlah mahar tersebut.

Jenis mahar
* Mahar misil : mahar yang dinilai berdasarkan mahar saudara perempuan yang telah berkahwin sebelumnya
* Mahar muthamma : mahar yang dinilai berdasarkan keadaan, kedudukan, atau ditentukan oleh perempuan atau walinya.

Walimatulurus
Walimatulurus atau kenduri kahwin sunat(seperti majlis santapan makanan)diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat). Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka. Terdapat beberapa adab dalam walimatulurus seperti dilakukan selepas akad nikah; menjemput jemputan mengikut keutamaan seperti didahulukan saudara-mara, kaum kerabat dari kedua-dua pihak, jiran dan rakan kenalan; bagi pengantin wanita hendaklah mengikut sunah Nabi MuhammadSAW dengan cara bersederhana dan tidak unsur mehah, maksiat dan kemungkaran; dilarang sama sekali berhutang yang membebankan.Dalam menganjurkan agenda berkaitan Walimatulurus,etika berbudaya mengikut adat resam bangsa masing-masing adalah dibolehkan,namun perlu diingat agar penganjurannya perlulah selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam tanpa mempunyai rasa gharar(was-was)dalamnya.Juga tidak mempunyai pengaruh adat berunsur keagamaan dan kepercayaan yang dicedok dari agama lain.Islammelarang aktiviti persandingan seperti yang menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat melayu khususnya kerana perbuatan tersebut telah menampakkan pengaruh Hindu-Buddha seperti aktiviti merenjis dan menepung tawar,selain memperlihatkan pasangan pengantin yang bergaya dan bersolek secara terus kepada hadirin.Hal ini akan pasti akan menimbulkan rasa bangga oleh pasangan pengantin dan menimbulkan rasa(seperti cemburu,gersang dan was-was)dari kalangan hadirin yang melihat aktiviti persandingan tersebut.
Konsep yang diharamkan dalam Islam
Konsep rahbaniyah
Perkataan rahbaniyah bermasud kerahiban atau kependetaan, atau kehidupan paderi. Di dalam Islam, membujang tidak dianggap sebagi satu etika atau cara bagi mendekatkan diri dengan Tuhan seperti yang dilakukan oleh agama Kristian, Buddha, Jain dan sebagainya. Sebagai contoh, agama Buddha ada menyebut tiga aspek yang perlu dimiliki oleh seorang sami iaitu kefakiran, ketabahan dan kelanjangan (membujang). Mengikut agama Buddha, jika seseorang mahu membebaskan dirinya dari nafsu duniawi dan keperluan jasmaniah maka ia akan sampai kepada hakikat diri yang sebenarnya dan dapatlah ia masuk ke dalam Nirwana
Dalam agama Kristian ada ajaran yang menggalakkan penganutnya mengamalkan hidup membujang. Sejak abad ke-5 lagi, orang begitu kagum dengan golongan paderi yang hidup membujang dan sekiranya golongan paderi mahu dihormati dan mengekalkan kuasa mereka, amatlah berfaedah sekiranya mereka memisahkan diri mereka dari orang biasa dengan cara menjauhkan diri dari perkahwinan. Mereka juga berpendapat bahawa paderi yang berkahwin lebih rendah tarafnya dari paderi yang terus membujang kerana perkahwinan bererti tunduk kepada nafsu. Saint Paul berkata, “Sekiranya mereka tidak boleh tahan, biarlah mereka berkahwin akan tetapi seseorang yang benar-benar suci mesti sanggup menahan diri dari berkahwin.” Oleh yang demikian, taraf membujang di kalangan paderi dianggap memelihara moral gereja .
Selain itu, perkahwinan juga ditolak oleh golongan bukan paderi mahupun sami seperti golongan yang terlalu sibuk mengejar kekayaan material dan memberi alasan kesibukan bekerja sebagai penghalang membina rumahtangga.
Konsep ibahiyah
Istilah ibahiyah diambil dari perkataan yang bermaksud membolehkan. Selain itu, ibahiyah membawa maksud membolehkan atau membebaskan tanpa batas seperti pergaulan seks bebas, homoseksual, lesbian dan sebagainya. Gejala sebegini wujud kerana sikap mereka yang menolak konsep institusi perkahwinan.
Pergaulan bebas: Pendirian Islam dalam pertemuan antara lelaki dan perempuan adalah tidak diharamkan sebaliknya ia diharuskan atau dituntut jika ia menjurus kepada matlamat yang mulia seperti mencari ilmu yang bermanfaat, amal ibadat, perkara kebajikan, jihad dan perkara-perkara lain yang memerlukan pengembelingan tenaga antara kedua-duanya. Namun setelah meluaskan arus pemikiran Barat dan seruan kebebasan wanita, pergaulan bebas telah digariskan oleh al-Qardhawi sebagai
* keruntuhan akhlak
* wujudnya anak-anak yang tidak sah tarafnya (anak luar nikah)
* Merebaknya pelbagai penyakit membahaya
* Banyaknya terdapat andartu serta lelaki yang terus membujang
* Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh

Rujukan

NIKAH dan PERKAHWINAN(2)

Jenis-jenis perkahwinan
* Poligami adalah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita. Ia diamalkan oleh hampir kesemua bangsa di dunia ini. Mereka mengamalkan poligami tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di negara China yang membolehkan perkahwinan sehingga 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, poligami dibenarkan tanpa batas dan menurut Islam, poligami hanya dibenarkan sehingga empat orang isteri dengan syarat-syarat yang tertentu.

* Poliandri merupakah perkahwinan yang berlaku antara seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki (konsep songsang dari poligami). Perkahwinan ini sangat jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan masyarakat jahiliah Arab. Contohnya masyarakat Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, wanita itu menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini merujuk kepada kitab Mahabhrata.

* Monogami merupakan cara perkahwinan tunggal iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja. Sesetengah agama seperti Kristian mengamalkan perkahwinan jenis ini kerana menganggap perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah untuk sepanjang zaman. Oleh kerana itulah penceraian tidak diiktiraf sama sekali (seperti mazhab Katolik).

Pernikahan yang sah menurut syarak adalah pernikahan yang cukup rukun dan syaratnya. Rukun nikah terbahagi kepada lima perkara iaitu :
1.     Suami
2.     Isteri
3.     Wali
4.     Dua orang saksi (lelaki yang adil )
5.     Akad ( Ijab dan Qabul )

Syarat akad nikah pula ialah :
1.     Ijab dan qabul berlaku dalam satu majlis.
2.     Ucapan qabul tidak menyalahi ijab.
3.     Bahasa yang digunakan jelas maksudnya dan difahami oleh wali, bakal suami dan dua orang saksi.
4.     Di antara ijab dan qabul tidak diselangi dengan kata-kata yang lain.
Hukum Berkahwin


Hukum berkahwin atau nikah boleh berubah-ubah demi menjaga maslahah tertentu. Hukum berkahwin ini terbahagi kepada lima iaitu :

* Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

* Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

* Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

* Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, samaada ia kaya atai tiada nafsu yang kuat.

* Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.


Rujukan, 

1. Aimi Bin Hamzah, Mohd Haidir Bin Haji Mohd Isa, Mohd Shah Bin Ujang, Buku Teks Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 5, KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Iqbal Al-Qaireen, Taubat, Oktober 2011.

NIKAH dan PERKAHWINAN


Nikah atau perkahwinan adalah sesuatu yang dikatakan sebagai ikatan untuk menyatukan sepasang lelaki dan perempuan, dan seterusnya dapat hidup bersama. Adapun nikah juga dibahagikan kepada dua maksud iaitu maksud dari segi bahasa, dan maksud dari segi istilah syarak.

Maksud dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.

Maksud dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

Nikah atau perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW dan digalakkan dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :


Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golongan umatku". ( HR : Ibnu Majah )

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mengeluarkan belanja pernikahan(memberi nafkah untuk isteri dan anak-anak), maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa tidak mampu menikah maka berpuasalah, kerana hal itu baginya adalah pelemah syahwat.” .
( HR : Bukhari & Muslim )

Justeru daripada kedua-dua hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa nikah atau perkahwinan adalah satu perkara yang amat dituntut oleh syarak. Ini demi menjaga maruah diri dan Islam, disamping menambahkan bilangan umat dengan lahirnya anak-anak kelak. Bahkan Allah SWT menjamin kebahagiaan hidup untuk mereka yang bernikah kerana mengikut perintah-Nya dan memenuhi sunnah Rasul-Nya.


Firman Allah SWT :

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki, dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An-Nuur, 24: 32)

Imam Ibnu Khatsir rahimahullah memetik perkataan Ali bin Abi Thalib ra. ke dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa:
“Allah memberi galakkan kepada manusia untuk bernikah. Allah memerintahkan nikah kepada orang-orang yang berstatus merdeka mahu pun hamba sahaya. Allah berjanji kepada mereka akan memberikan kecukupan atau kemampuan untuk menikah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Khatsir)

Bahkah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. , Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka, iaitu orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya, hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya (kerana Allah), orang yang berperang di jalan Allah.”
( HR : Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

HIKMAH PERNIKAHAN

Pernikahan yang amat dituntut oleh syarak semestinya mempunyai banyak hikmah, sama ada kepada individu, keluarga mahupun masyarakat. Antara hikmah-hikmah pernikahan adalah :

1. Dapat menyalurkan naluri seksual dengan cara sah dan terpuji. Bagi manusia, naluri tersebut sangat kuat dan keras, serta menuntut adanya penyaluran yang baik. Jika tidak, dapat mengakibatkan kegoncangan dalam kehidupannya. Dengan perkahwinan, kehidupan manusia menjadi segar dan tenteram serta terpelihara dari perbuatan keji dan zina.


2. Memelihara dan memperbanyak keturunan dengan terhormat, sehingga dapat menjaga kelestarian hidup umat manusia.

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
 ( Surah An-Nisa' : 1)

“Allah menjadikan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?".
 ( Surah An-Nahl : 72)


3. Naluri keibuan dan kebapaan akan saling melengkapi dalam kehidupan rumahtangga bersama anak-anak. Hubungan itu akan menumbuhkan rasa kasih sayang, sikap jujur, dan keterbukaan, serta saling menghargai satu sama lain sehingga akan meningkatkan kualiti hidup seorang manusia. 


4. Melahirkan organisasi (team) yang mantap dengan pembahagian tugas/tanggungjawab tertentu, serta melatih kemampuan bekerjasama. Tugas mengatur rumahtangga termasuk memelihara dan mendidik anak yang umumnya menjadi tugas utama suami dan tentunya harus bekerjasama dengan isteri. Mencari nafkah yang menjadi kewajiban suami juga dapat dibantu oleh isterinya, pengelolaan kewangan yang sebaiknya menjadi bahagian dari isteri, namun dengan izin suami dalam pembelanjaannya. Ini semua meningkatkan sikap disiplin, rajin, kerja keras, syukur, sabar, dan tawakal. 


5. Terbentuknya tali kekeluargaan dan silaturahim antara keluarga, sehingga memupuk rasa tanggungjawab sosial dan dapat membentuk masyarakat yang kuat serta bahagia. 



Rujukan, 

1. Aimi Bin Hamzah, Mohd Haidir Bin Haji Mohd Isa, Mohd Shah Bin Ujang, Buku Teks Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 5, KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Iqbal Al-Qaireen, Taubat, Oktober 2011.

Wednesday 26 October 2011

Wajah Mayat Menjadi Himar

"Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi. "Hai saudara," tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. "Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja."

"Saya ada alasan tersendiri," jawab pemuda itu. "Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?

"Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, "Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?" "Maka saya menjawab, "Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?"

"Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama. "Engkau siapa?" tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu. "Saya yang terpilih (Muhammad)." "Saya lantas memegang jarinya dan berkata, "Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh terjadi?"

"Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat. "Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu."

Sumber :
Kisah teladan

Sunday 23 October 2011

SAJAK : Jantung Agama

Tuhan,
Kau ciptakan jantungku dan jantungnya sebegini.,
Kau jadikan jantungku dan jantungnya sebegini,
Kau biarkan jantungku dan jantungnya sebegini..,

Tuhan,
Kau biarkan ia berdegup lemah,
Membawa darah yang mengandung beribu hikmah,
Sebagai daie yang menjunjung amanah...,

Tuhan,
Jangan biarkan kami,
Jangan biarkan kami,
Jangan biarkan kami......,
Berikan kami kekuatan,
Berikan kami kasih sayang,
Berikan kami halawah iman..

Ya Tuhan, Ya Tuhan, Ya Tuhan...,
Rintihan hamba penyejuk jiwa,
Melupakan seketika hati yang lara,
Hamba ini banyak berdosa,
Hamba ini banyak berdosa,
Hamba ini banyak berdosa,
Kelak hamba akan binasa...
Allah, Allah, Allah....,
Selamatkanlah hamba...

Allah....,
Aku ini sangatlah lemah,
Tidak mampu memikul amanah,
Lalu Kau bawa aku ke makam Hamzah,
Yang jantungnya habis dilapah,
Dek Hindun si musuh ummah,
Demi menegakkan kalimah Allah!!

Rabbi, Rabbi, Rabbi...,
Jangan biarkan aku sebegini,
Lemah lagi, lagi dan lagi,
Bekalkan hamba kekuatan diri,
Buat menempuh hari demi hari,
Hingga bertemu pada-Mu Ilahi...

(Abu Al-Qaireen, Uhud, Madinah, 23 Ramadhan 1432H, 0430)

Thursday 13 October 2011

ZIKRULLAH

Apa maksud Zikrullah?

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Antara perkara yang termasuk di dalam Zikrullah ialah : 

1. Menuntut ilmu, untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah, mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan, makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.

Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.

Faedah Zikrullah (mengingati Allah)

Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;

“Maka ingatlah kepada-Ku nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. ( Al-Baqarah: 152 )

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan;

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. ( HR : Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah SWT berfirman,maksudnya :

“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. ( Ar-Ra’d : 28 )

Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis : 

مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. ( HR : Bukhari, dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Kerana pentingnya mengingati Allah, maka Al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah : 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. ( Al-Munafiqun: 9 )

Kesan zikrullah terhadap hati

Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah :


 “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. 


Maksud beliau ialah, ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati, hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata : 


“Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)

Berkata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepada-Nya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaan-Nya. Hati selamanya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).





Disediakan,
1. Abu Iqbal Al-Qaireen daripada Syeikh Ahmad Adnan, Taubat, Oktober 2011.