Tuesday 23 August 2011

Hikmah Meninggalkan Cakap Bohong


Bismillahirrahmanirrahim..
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :

"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya."

Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahwa engkau sanggup meninggalkan bercakap bohong?"

"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya. Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah SAW, lelaki itu berkata di dalam hatinya :

"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu." Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.

"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah.

Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah SAW dan setiap kali pulalah hatinya berkata : 
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."

Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.

Thursday 18 August 2011

13 Kesilapan Semasa Puasa



Assalamualaikum..
Dalam setahun, ada satu bulan yang kedatangannya selalu dinantikan oleh orang-orang beriman. Ia adalah bulan Ramadhan Al-Mubarak. Alhamdulillah, bulan yang sangat kita rindukan itu kini telah tiba. Pada bulan ini Allah mencurahkan kebaikan-Nya untuk segenap hamba-hambaNya yang beriman. Di bulan ini, para sahabat dan As-Salafus Shalih terdahulu selalu berlumba-lumba melakukan kebaikan dan amal ibadah.

Namun kini, keadaan umat Islam sungguh memilukan. Majoriti mereka bukan saja lemah untuk diajak berfastabiqul khairat (berlumba-lumba dalam kebaikan) di bulan yang penuh kemuliaan ini, tetapi sebaliknya mereka sering pula melakukan berbagai kesilapan dan kesalahan ketika puasa. Antaranya:-

1. Berpuasa tetapi tidak solat
Sanggup berlapar dahaga tapi tidak sanggup menunaikan solat;anak disuruh berpuasa tapi dibiarkan tidak solat; juga ada orang yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika bulan Ramadhan saja. Orang semacam ini puasa dan sedekahnya tidak bermanfaat sebab solat adalah tiang utama agama Islam.

2. Tidak menjaga batas-batas agama
Aurat; lelaki memakai seluar pendek dan perempuan pula tidak bertudung.

3. Menghabiskan masa dengan menonton TV, Video dan CD.

4. Merebut peluang mencari duit dengan berniaga tapi meninggalkan peluang mendapat pahala berganda-ganda. 

5. Semakin cepat marah

Sepatutnya mengawal kemarahan di bulan yang menuntut kita supaya banyak bersabar.

6. Membazir ketika berbuka puasa
Mengikut hawa nafsu ketika menyediakan makanan untuk berbuka puasa.

7. Tidak mengeluarkan zakat fitrah

8. Membiarkan atau menggalakkan anak-anak bermain mercun

Yang menyedihkan, tindakan tersebut mengakibatkan gangguan kepada para jemaah yang menunaikan solat Tarawih di masjid dan surau yang berdekatan; dan sepatutnya digalakkan anak-anak menyambut bulan yang mulia ini dengan beribadah kepada Allah.

9. Hanya puasa makan dan minum sahaja
Tidak menjaga anggota pancaindera seperti mata, lidah, telinga dan yang lainnya;

Rasulullah SAW bersabda; "Barangsiapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

10. Tanpa persediaan mental dan emosi tentang matlamat, kelebihan dan kedudukan puasa Ramadhan 

Sepatutnya berbekal dengan ilmu dan gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak;

"Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui." (An-Nahl:43)

Dan Rasulullah SAW bersabda; "Barangsiapa dikehendaki baik oleh Allah, nescaya ia difahamkan dalam urusan agamanya." (Muttafaq Alaih).

11. Menang sorak, tarawih ala kadar
Solat secara 'ekspress'; dan juga melakukan gerakan-gerakan dalam solatnya dengan amat cepat, sehingga menghilangkan maksud solat itu sendiri. Mereka dengan cepat membaca ayat-ayat suci Al- Qur'an, padahal semestinya ia membaca secara tartil. Mereka tidak thuma'ninah (tenang) ketika ruku', sujud, bangun dari ruku' dan ketika duduk antara dua sujud. Ini menyebabkan solat menjadi tidak sempurna;

Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang tidak thuma'ninah dalam solatnya; "Kembalilah, lalu solatlah kerana sesungguhnya engkau belum solat." (Muttafaq Alaih) silap bacaan selawat;

Tidak istiqamah bertarawih. Hanya ramai di 10 malam pertama sahaja; dan juga saf solat Tarawih tidak dipenuhkan.

12. Tadarus Al-Qur'an hanya di bulan Ramadhan saja.

13. Tidak mahu bersahur


"Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat." (HR : Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah RA berkata, sabda Rasulullah SAW; "Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma." (HR : Ibnu Hibban dan Baihaqi)

Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Setan-setan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.

Amirul Mukminin k.w. berkata,: Aku berdiri dan berkata, "Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama dibulan ini?” Jawab Nabi : Ya abal Hasan!
Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah".

Di petik dari : "Puasa Bersama Rasulullah", karangan Ibnu Muhammad, Pustaka Al Bayan Mizan.


Minum Air Waktu Sahur Dari Perspektif Perubatan

Bismillahirrahmanirrahim..
Bersahur itu sangatlah dituntut kepada kita para Saim (orang-orang yang berpuasa). Di riwayatkan Ahmad dari Abu Sa’id bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bersahur itu adalah suatu keberkatan. Maka janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan hanya meneguk air seteguk, kerana Allah dan para Malaikat berselawat atas orang-orang yang bersahur.”


Sunnah bersahur ini membezakan puasa cara Islam dengan puasa agama dan bangsa lain di dunia ini. Diriwayatkan oleh Muslim dari Amer ibn 'Ash, bahawa Rasulullah sa..w bersabda yang bermaksud: "Yang menceraikan antara puasa kita dengan puasa Yahudi Nashara (ahli kitab) ialah makan sahur."

Begitu kuat penekanan dari Rasulullah s.a.w kepada kita agar bersahur sehingga kalau rasa tidak boleh makan kerana kenyang atau lain-lain sebab cukuplah dengan hanya seteguk air.

Apa Fungsi Air kepada kita?

Penekanan tegas Nabi agar seteguk air pun baik untuk bersahur jika kita rasa tidak hendak makan menunjukkan bahawa kehadiran air dalam tubuh kita telah diketahui sangat pentingnya oleh Rasulullah s.a.w.. Dan sains perubatan telah lama mencatitkan ini dalam buku-buku perubatan.

Air dan Fungsinya.

Air sangat penting kepada tubuh. Air boleh berfungsi sebagai pelarut dan juga sebagai 'pengakutan nutrien' tak organik. Air diperlukan dalam pembentukan struktur tisu seperti darah sempurna, otot dan tulang.

Penyejatan air dari kulit dan penghembusan keluar air ke udara dari peparu penting untuk pengawal aturan suhu tubuh.

Air memindahkan suhu dari satu bahagian tubuh kebahagian lain; di mana perpindahan air ini menstabilkan suhu tubuh.

Tubuh menggunakan air untuk membolehkan buah pinggang berfungsi secara normal. Kebanyakan bahan kumuhan tubuh dikumuhkan melalui buah pinggang. Cecair tubuh menjadi medium (pengantara) untuk enzim dalam keadaan larut, hormon dan koenzim.

Enzim ialah protein yang memulakan dan mencepatkan tindakbalas. Hormon ialah rembesan kelenjar yang bertindak sebagai pengutus kepada organ tubuh dengan merangsangkan beberapa proses kehidupan dan merencatkan yang lain.

Koenzim ialah sebahagian enzim yang diperlukan untuk pengaktifan molekul protein untuk membentuk satu enzim yang sempurna. Air juga menolong menyelenggarakan imbangan elektrolit dan juga bertindak sebagai pelincir dalam pencernaan serta proses-proses lain dalam tubuh.

Air Liur

Air liur memudahkan pengunyahan dan penelanan. Kadar air liur sentiasa mesti cukup. Kadar pengaliran air liur yang rendah (kadar air liur rehat secara purata ialah 0.208 ml/minit, dapat meningkatkan kejadian karies (caries) kerana ia mengganggu pembuangan sisa-sisa makanan kariogenik di dalam mulut. (karies kebusukan dan luluhan bahan pada gigi).

Air liur yang dirembeskan dalam keadaan biasa sedikit sahaja mengandungi glukosa dan tidak ada sukrosa. Apabila makanan yang kaya dengan gula dimakan kepekatan gula dalam air liur meningkat lebih daripada 1 mg/ml sehingga menghasilkan pH yang cukup rendah untuk memulakan pendemineralan gigi.

Dengan itu, pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan kadar pengaliran air liur yang rendah membuatkan gula menjadi tersedia ada kepada mikroorganisma dalam jangka masa yang panjang sehingga dapat menghasilkan asid yang cukup untuk membolehkan karies gigi berkembang. Disinilah saranan Rasulullah s.a.w. agar kita berbuka dengan sedikit juadah manis seperti kurma adalah satu saranan yang baik untuk kesihatan tubuh sekaligus merupakan saranan yang saintifik.!

Minum Air Waktu Sahur

Memandangkan betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia, tidaklah hairan mengapa tanpa air dalam beberapa hari boleh menyebabkan maut. Kita mungkin sudah terbaca berita bagaimana beberapa orang mangsa gempa bumi di Turki baru-baru ini ditemui masih hidup walaupun sudah tertimbus dalam tanah dan runtuhan bangunan lebih sepuluh hari - mereka itu masih hidup kerana dapat minum air sedikit dari pengaliran dan titisan air hujan yang ada.

Malah di Taiwan mangsa gempa bumi yang ditemui masih hidup dalam keadaan yang sama menceritakan bagaimana mereka terpaksa minum air kencing sendiri selain dari titisan air dalam bumi.

Ini menunjukkan bahawa manusia boleh bertahan hidup tanpa makan tapi mesti ada air.

Dalam keadaan normal, sebanyak tiga liter air hilang daripada tubuh setiap hari. Sebahagiannya dikeluarkan sebagai air kencing, ada melalui kulit,paru-paru dan najis.

Oleh itu, kira-kira tiga liter perlu diambil setiap hari untuk menggantikan apa yang telah dikumuhkan. Sumber air adalah daripada minuman, hasil pengoksidaan makanan dan makanan basah. Air daripada pengoksidaan makanan dan bahan makanan basah dirujukkan sebagai air metabolik.

Minum Air Sihatkan Tubuh- Jauhkan Penyakit.

Kajian sains menunjukkan bahwa walaupun satu daripada sebab sesuatu penyakit dalam tubuh kita adalah kerana kehadiran kuman, bakteria dan lain-lain unsur luar.

Tapi punca akar umbinya ialah kerana sistem perparitan dalam tubuh yakni sistem aliran darah dan lain-lain sistem perkumuhan telah tersumbat dengan banyaknya bahan toksid dan lain-lain bahan kotor yang wujud kerana makan terlalu banyak sehingga tidak sempat dihazamkan; kurang minum air, kurang makan sayur dan buah-buahan.

Cara yang paling baik ialah minum air bersih setiap hari dan minum jus buah-buahan (buat sendiri di rumah untuk elakkan campuran bahan lain di kedai.)

Meminum air yang banyak boleh menyebabkan sistem yang tersumbat dalam tubuh dibersihkan dan terkeluarnya bahan yang tidak diperlukan termasuk bahan
toksid.

Orang yang puasa hendaklah banyak minum air ketika sahur dan berbuka. Kurangnya air dalam tubuh boleh menyebabkan dehaidrasi (dehyration)-kekeringan tubuh.

Inilah sebabnya kita disuruh berbuka dengan minum air dan makan bahan makanan manis sedikit. Dan inilah juga yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa bangsa-bangsa lain.

Berpuasalah sebagaimana Nabi kita berpuasa. Pasti kita selamat dan sihat.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Siapa yang menjurusi satu jalan untuk mencari ilmu nescaya Allah akan mempermudahkan padanya jalan ke syurga.” (HR : Muslim )


Sunday 7 August 2011

AMALAN HARIAN DI BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan pastinya menjadi bulan untuk umat Islam memperbanyakkan ibadat dan amalan harian. Bukan sahaja pahala amalan dilipatgandakan, bahkan segala dosa-dosa kita yang lalu mudah untuk diampunkan Allah selama mana kita tidak melakukan dosa besar. Di sini kami ingin berkongsi beberapa amalan yang sepatutnya dilakukan oleh kita sebagai umat Islam,dibulan Ramadhan yang mulia ini, seiring dengan sunah Rasulullah SAW yang amat kita cintai.

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari(sebelum tidur).


2) Bersahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana).

Nabi SAW bersabda :

“Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.” ( HR : Muslim)

“Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya.” ( HR : Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. ( HR : Ahmad)

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan Solat Sunat Tahajjud, Solat Sunat Witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan Solat Subuh berjemaah (bagi lelaki). Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh baginda SAW.


3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca Al-Quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadis dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail a.s. Hal ini disebut di dalam hadis al-Bukhari.


4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi SAW :-

Ertinya : “Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang” (Riwayat Al-Bazaar)

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

Ertinya : “Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi” ( HR : Tirmizi)


5) Memperbanyakan doa ketika hampir berbuka.

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadis Nabi SAW :-

Ertinya : “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak.” ( HR : Ibn Majah)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas pasti masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadis Nabi SAW :-

Ertinya : “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka”. ( HR : Bukhari)

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan Solat Maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar perlu agar kelaparan tidak mengganggu Solat Magrhib kita. Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan Solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air.
(Abu Ya’la dan al-Bazzar)

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab (kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air. Ertinya : “Rasulullah SAW berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air”.

8.) Amat disunatkan untuk sedekah harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Nabi SAW bersabda :-

Ertinya : “Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun” ( HR :Tirmidzi)

Disebut dalam sebuah hadis lain, Ertinya : “Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga” ( HR : Baihaqi)


9) Menunaikan Solat Sunat Terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Ia berdasarkan hadis riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.


10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sahih dari Nabi SAW dari Riwayat al-Bukhari.


11) Amaran bagi berbuka di siang Ramadhan tanpa uzur.

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : “Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Bulan Ramadhan, maka ia tidak mampu menggantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya” ( HR : Abu Daud, Ibn Majah)


Demikian antara amalan-amalan yang perlu kita kerjakan dibulan Ramadhan. Semoga segala kebaikan dapat kita perolehi ganjarannya di dunia dan akhirat. Insya Allah..



Disediakan,
1. Abu Iqbal Al-Qaireen,22 Ogos 2010.
2. Ahmad Bukhari Al-Husni,Ramadhan 1432,2011.

Saturday 6 August 2011

GOLONGAN YANG DIBOLEHKAN MENINGGALKAN PUASA


Puasa di bulan Ramadhan adalah ibadah yang wajib dilakukan oleh orang Islam yang mukalaf. Ianya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 183:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa,sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu,agar kamu bertakwa”.  (Al-Baqarah : 183)

Hukum meninggalkan puasa adalah haram dan berdosa besar. Puasa sehari yang ditinggalkan secara sengaja tidak akan dapat diganti walaupun ia berpuasa selama setahun berturut-turut. Disebutkan dalam sebuah hadis,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa rukhsah dan tidak kerana sakit, maka puasa yang ditinggalkan itu tidak dapat diganti walaupun ia menggantikannya selama setahun”. 
(HR : Bukhari & Muslim)

Namun begitu,Islam telah menetapkan beberapa golongan yang dibolehkan meninggalkan puasa. Islam tidak terlepas pandang pada golongan-golongan ini dan memberikan rukhsah kepada mereka. Ini turut membuktikan bahawa Islam adalah sebuah agama yang syumul. Golongan yang diberikan rukhsah tersebut adalah :


1.       Wanita haid dan nifas

Wanita yang datang haid atau nifas pada bulan Ramadhan tidak boleh berpuasa. Malah haram hukumnya jika mereka berpuasa. Rasulullah SAW memerintahkan puasa yang ditinggalkan kerana haid dan nifas diganti pada bulan-bulan lain. Ianya berdasarkan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim,daripada Saidatina Aisyah ra. Aisyah berkata :

Kami mengalami haid(di bulan Ramadhan) pada masa Rasulullah SAW,lalu kami diperintahkan untuk menggantikan puasa,tetapi kami tidak diperintahkan menggantikan solat”. 
(HR: Bukhari & Muslim)

Daripada hadis tersebut dapat diketahui dengan jelas bahawa wanita yang tidak boleh berpuasa Ramadhan kerana haid atau nifas wajid menggantikannya. Akan tetapi berlainan pula jika ia meninggalkan solat kerana haid atau nifas,gugur kewajipan solat itu terus tanpa perlu menggantikannya. Sungguh ia adalah anugerah Allah kepada para wanita.


  1. Wanita hamil dan menyusukan anak
Allah SWT berfirman :

Dan bagi orang-orang yang tidak sanggup melakukannya(puasa), maka ia wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin”.  ( Al-Baqarah : 184 )

Dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir disebutkan tentang penjelasan para sahabat  bahawa apa yang dikategorikan sebagai orang-orang yang tidak sanggup berpuasa adalah wanita yang hamil atau menyusui bila mereka takut dirinya dan bayinya akan mendapat kemudharatan akibat dari puasa tersebut. Untuk menjaga keselamatan ibu dan bayi tersebut, maka dibenarkan bagi mereka untuk tidak berpuasa Ramadhan. Akan tetapi ia wajib membayar fidyah sebagai gantinya. Jumlah fidyah sesuai dengan jumlah belanja yang dikeluarkan untuk makan dan minum si pembayar selama satu hari. Jika masih juga tidak mampu, maka dibolehkan untuk dia menggantikan puasanya apabila kesihatan dirinya dan bayi tidak lagi akan terjejas atas sebab berpuasa.


  1. Orang tua yang uzur
Disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, bahawa orang tua diberi keringanan untuk meninggalkan puasa:

“Diberi keringanan bagi orang tua yang lanjut umurnya supaya ia berbuka,tetapi wajib ia memberi makan seorang miskin untuk tiap-tiap hari(yang ditinggalkan puasa), dan tidak ada kewajipan qadha’ ke atasnya”. (HR : Daruquthni & Hakim )

Orang tua yang tidak lagi sanggup untuk berpuasa dibolehkan meninggalkan puasa tersebut. Akan tetapi ia wajib memberi makan seorang miskin sama dengan jumlah yang ia makan sehari-harinya.
Dalam hal ini, hanya orang tua itu sendiri yang boleh mengukur kesanggupannya untuk berpuasa atau tidak. Jika ia tetap memilih untuk tetap berpuasa dengan segenap kemampuan yang ada pada dirinya, maka hal itu lebih baik bagi dirinya kerana pahala yang diterimanya lebih besar.


  1. Orang yang sakit kronik dan orang yang bermusafir
Dalam kitab Al-Quran, Allah SWT telah berfirman :

Maka barangsiapa diantara kamu sakit atau mengadakan perjalanan(lalu tidak berpuasa),maka hendaklah dia hitung(hari-hari tidak berpuasa itu) untuk diganti pada hari lain..”.  ( Al-Baqarah : 184)

Orang yang sakit kronik dan yang sedang bermusafir wajib menggantikan puasanya sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan semasa ia sedang sakit atau sedang bermusafir. Jika ia meninggalkan puasa selama 10 hari kerana sakit pada 10 hari tersebut,maka wajib baginya menggantikan puasanya sebanyak 10 hari juga, begitu juga halnya jika meninggalkan puasa kerana musafir.
Akan tetapi, bila ia menderita penyakit kronik yang berterusan dan tiada harapan untuk sembuh, maka ia tidak perlu menggantikan puasa tersebut,sebaliknya ia perlu membayar fidyah seperti yang dilakukan wanita hamil dan menyusui.


BERDOSA MEMAKSA DIRI BERPUASA JIKA TIDAK MAMPU

Golongan yang diberi rukhsah untuk meninggalkan puasa tidak perlu memaksa diri untuk tetap berpuasa. Malah para ulama’ mengatakan berdosa jika ia terus memaksa diri kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa. Malah mungkin juga membahayakan bayi yang tidak berdosa kerana kedegilan untuk tetap meneruskan puasa. Orang sakit,musafir dan orang tua yang memaksa dirinya untuk terus berpuasa bererti telah menzalimi diri dan nyawanya sendiri. Nyawa yang dianugerahkan Allah boleh digunakan untuk ibadah yang lain. Atas sebab itu jumhur ulama’ berpendapat adalah berdosa jika memaksa diri berpuasa bagi mereka yang diberi rukhsah tersebut. Pendapat ini berdasarkan sebuah hadis sahih :

Dari Jabir bin Abdullah,sesungguhnya pada tahun kemenangan Mekah,Rasulullah datang ke Mekah pada bulan Ramadhan dan baginda berpuasa hingga sampai ke sebuah kampung bernama Kura’al Ghamim dan para sahabat pun ikut berpuasa. Kemudian di tempat ini baginda meminta sekendi air,dan diangkatnya tinggi-tinggi sehingga orang ramai dapat melihatnya, lalu baginda minum. Kemudian ada yang berkata kepada baginda sesudah itu bahawa ada sebahagian orang yang masih tetap meneruskan puasanya. Lalu baginda bersabda : “Mereka itu derhaka,mereka itu derhaka.”.” . (HR : Bukhari & Muslim)

Semoga kita dijauhkan dari murka Allah,dan semoga kita tidak melakukan perderhakaan kepada agama Islam. Waallahua’lam.

Mutiara bahasa
Mukalaf = Orang yang telah cukup syarat untuk diberikan taklif syarak,perbuatan dan perlakuan  terlakluk kepada hukum wajib,sunat,harus,makruh dan haram.
Syumul = Menyeluruh.
Rukhsah = Keringanan dan kemudahan yang diberi Allah.
Jumhur = Pendapat majoriti.


Disediakan oleh:
  1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Ramadhan 1432,2011
  2. Damia Zahra,Ramadhan 1432,2011
  3. Nur Qistina,Ramadhan 1432,2011

Wednesday 3 August 2011

ANDA PUASA,TETAPI MENINGGALKAN SOLAT,MENDEDAHKAN AURAT??

SOLAT,ianya RUKUN ISLAM yang mesti dilakukan

Pada zaman yang ketandusan iman dan takwa ini, terdapat ramai dikalangan umat Islam yang memandang ringan tentang kepentingan solat.  Mereka ini menganggap bahawa solat itu hanya perbuatan yang hanya membuang masa dan tenaga. Malah ada juga yang hanya mengerjakan solat seminggu sekali(solat Jumaat) dan ada pula yang mengerjakan solat setahun sekali(solat Eid). Tidak kurang juga mereka yang tidak lansung mengenal apa itu solat dan bagaimana mengerjakannya. Islam mereka hanyalah pada nama semata-mata. Sedangkan solat adalah ibadah terpenting dan yang mula-mula sekali dihisab di Hari Pengadilan kelak. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah ra,beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda :

Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah SWT berfirman:" Lihatlah ( hai para malaikat ) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?”.Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardhu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu". ( HR : Tirmidzi & Ibnu Majah )

Dalam sebuah hadis yang lain,Rasulullah menyatakan bahawa asas Islam itu terbina atas lima perkara.
Sabda Rasulullah SAW:  

Islam itu terbina atas lima perkara, naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah,mendirikan solat,menunaikan zakat,berpuasa di bulan Ramadhan,dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan”.  ( HR : Bukhari & Muslim )

Solat adalah Rukun Islam kedua yang mesti dilakukan oleh seorang yang beragama Islam.  Apabila solat telah termasuk dalam perkara Rukun, maka adakah sah Islam seseorang itu tanpa mengerjakan solat???.  Allahuakbar,Waallahua’lam….Hanya Dia sebaik-baik penilai dan kepada Dia jugalah kita berserah diri.


PUASA vs SOLAT

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ramai sekali orang yang berlumba-lumba untuk berpuasa dan berterawih di masjid-masjid dan surau-surau. Alhamdulillah, alangkah baik perbuatan ini. Tetapi bagaimana pula ibadah fardhu yang lain seperti solat fardhu yang lima?. Dan jika ianya masih terjaga dibulan Ramadhan yang mulia ini, bagaimana pula dibulan-bulan yang lain?. Ada dikalangan umat Islam yang sekadar berpuasa di bulan Ramadhan,sedangkan mereka meninggalkan solat.  Mereka ini diibaratkan seperti cuba membina sebuah rumah tanpa TIANG. Bagaimana hendak ditegakkan dinding dan atap rumah itu tanpa tiang yang kukuh??. Solat adalah tiang agama, barangsiapa merobohkan ia, bererti dia merobohkan agamanya. Alangkah binasanya mereka yang sengaja meninggalkan solat.

Rasulullah SAW bersabda : Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama”. ( HR : Bukhari & Muslim )


SOLAT dan KEMUNGKARAN di bulan RAMADHAN

Firman Allah SWT :  Sesungguhnya solat itu mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar”.              (Al-Ankabut : 45 )

Tidak diragui lagi,jika solat ditinggalkan sudah pasti banyak kemungkaran yang berlaku. Kemungkaran ini dilakukan oleh individu atau kumpulan yang meninggalkan solat, kerana jika mereka benar-benar mendirikan solat dengan penuh keimanan dan keyakinan pada Allah,tentu sekali mereka tidak akan sanggup melakukan kemungkaran kerana takutkan azab Allah.  Maka tidak hairan lagi banyak kemungkaran dan perkara maksiat yang berlaku dalam masyarakat masa kini,tanpa mengira bulan Ramadhan atau tidak. Malah disesetengah tempat, semakin banyak kes KECURIAN yang berlaku apabila masuk bulan Ramadhan. Mungkin mereka yang melakukannya mahu mendapatkan keperluan untuk menyambut Aidilfitri sehingga terdesak melakukan perbuatan mungkar itu. Ketika orang lain sibuk beribadah di masjid dan surau, dia pula mengambil kesempatan untuk memecah masuk ke rumah-rumah untuk MEROMPAK dan sebagainya. Alangkah buruknya perbuatan ini.

PENDEDAHAN AURAT juga menjadi masalah yang sukar dibendung,walaupun di bulan Ramadhan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka yang mendedahkan aurat ini semakin menjadi-jadi di bulan yang mulia ini. Mana tidaknya, mereka ini bergerak bebas di pasaraya-pasaraya mahupun di bazaar Ramadhan. Dengan rambut yang terdedah dan baju yang ketat, mereka berjalan seolah-olah bidadari yang tidak melakukan kesalahan. Padahal mereka tidak sedar bahawa mereka bukan sahaja melakukan kesalahan pada Allah, malah mereka juga melakukan kesalahan pada orang lain kerana perbuatan mereka itu mungkin mengganggu puasa orang lain dan menjejaskan keimanan orang lain yang baru sahaja hendak bertapak. Semoga mereka yang mendedahkan aurat ini diberi hidayah oleh Allah.

Di bulan Ramadhan yang mulia juga, tidak kurang terdapat juga mereka yang berpuasa tetapi tanpa segan silu masuk ke pusat-pusat perJUDIan,menulis NOMBOR EKOR dan sebagainya yang berkaitan dengan JUDI. Apalah erti puasa bagi mereka ini selain menahan diri dari lapar dan dahaga. Lebih dasyat lagi, ada pula orang yang berpuasa dengan gigihnya di siang hari, namun apabila masuk waktu berbuka mereka pergi berbuka di pub-pub yang menyediakan ARAK dan MINUMAN KERAS lain. Lebih menyedihkan lagi,mereka ini kadang-kadang tersasar dan turut berbuka puasa dengan ARAK.  Maka sia-sialah puasa mereka ini kerana setiap perkara yang halal akan menjadi haram jika bercampur dengan perkara haram.  Sabda Rasulullah SAW :

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya”. ( HR : Bukhari & Muslim )


Adakah PUASA ahli MAKSIAT diterima?

Menurut salah satu pendapat dalam mazhab Syafi’e, puasa dan amalan soleh seseorang itu masih diterima Allah selama mana dia beriktikad dengan kalimah tauhid ilallah. Tiada Tuhan selain Allah dam Muhammad utusan Allah. Pendapat ini turut disokong oleh ulama-ulama fiqh dari beberapa mazhab lain. Mereka berhujah berdasarkan nas al-Quran dari surah Az-Zalzalah :

Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah,nescaya ia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah,nescaya dia akan melihat balasannya pula”.  (Az-Zalzalah : 7-8 )

Jadi jelaslah menurut pendapat ini bahawa orang yang berpuasa dan melakukan amalan soleh lain, tetapi meninggalkan solat, akan tetap akan masuk ke syurga Allah. Akan tetapi , pastinya golongan ini akan dimasukkan terlebih dahulu ke dalam neraka. Mereka akan menerima balasan di atas kemungkaran yang mereka telah lakukan,sama ada meninggalkan solat,mendedahkan aurat,mencuri atau perkara-perkara mungkar yang lain.

Semoga kita dijauhkan dari azab neraka. Jadikan bulan Ramadhan ini satu titik permulaan untuk memperbaiki diri, gunakan kesempatan ini sebaiknya. Ketahuilah, Allah tidak memandang harta,kedudukan,rupa atau sesedap mana juadah berbuka kita,akan tetapi Allah melihat ke dalam hati-hati kita. Waallahua’lam.


Disediakan,
  1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Ramadhan 1432,2011
  2. Damia Zahra,Ramadhan 1432,2011

Tuesday 2 August 2011

RAMADHAN AL-MUBARAK (bahagian 2)

Bulan Ramadhan adalah bulan mulia yang perlu digunakan sebaiknya oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Ramadhan adalah bulan rahmat,pengampunan dan pelepasan dari api neraka. Dalam bulan Ramadhan juga Allah akan membuka pintu-pintu syurga seluasnya dan menutup pintu neraka serapatnya, syaitan-syaitan juga akan diikat dan dipasung. Tiada satu pun yang akan terlepas dari takdir Allah.

Sabda Rasulullah SAW :
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan”. ( HR : Bukhari & Muslim )

Rasulullah SAW bersabda lagi :
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah semua pintu syurga dan tidak ditutup satu pun darinya. Maka datanglah seruan, ‘Wahai orang-orang yang melakukan kebaikan, hampirlah kamu. Wahai orang-orang yang melakukan kejahatan, berundurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan yang demikian itu berlaku pada setiap malam di bulan Ramadhan.”.  ( HR : Tirmidzi & Ibnu Majah, dari Abu Hurairah )

Kedua-dua hadis di atas jelas sahih dan membuktikan bahawa bulan Ramadhan memiliki keistimewaan tersendiri, yang mana ia adalah bulan yang penuh dengan rahmat,bulan keampunan dan bulan pelepasan dari api neraka.


Solat sunat Tarawih

Ibadah yang paling besar pahalanya selain pahala puasa Ramadhan ialah menghayati setiap malamnya dengan solat sunat Tarawih.  Erti tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan penuh rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih, sebelum disambung semula.

Solat Sunat Tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan. Hukum solat Tarawih adalah sunat muakkad(sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW, solat sunat Tarawih boleh dilakukan dengan bersendirian ataupun secara berjemaah di masjid atau surau. Telah sepakat pendapat ulama’ bahawa solat Tarawih itu adalah lebih afdhal dilakukan secara berjemaah. Disebutkan dalam sebuah hadis :

Dari Abu Dzar berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa solat bersama Imam sampai selesai, maka akan ditulis baginya solat semalaman penuh.”. ( HR : Ahmad,Abu Daud,Tirmidzi, Nasa’I & Ibnu Majah )

Solat berjemaah sangat dianjurkan , baik dalam solat wajib mahupun solat sunat. Solat tarawih dilakukan secara berjemaah oleh Rasulullah  pada masa hayat baginda hanya tiga kali. Rasulullah bimbang ada dikalangan umatnya yang tersalah sangka bahawa solat terawih itu memang wajib dilakukan berjemaah. Oleh sebab itu baginda lebih senang mengerjakan solat Tarawih di rumah. Akan tetapi, Rasulullah SAW membenarkan para sahabat mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah.


Lailatul Qadr

Satu lagi keistimewaan bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat satu malam yang sangat istimewa dipanggil sebagai malam Lailatul Qadar.  Mengenai malam Lailatul Qadar ini disebutkan dalam firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar”.   ( Al- Qadr : 1-5 )

Malam Lailatul Qadar adalah malam ketika Allah menurunkan Al-Quran ke langit dunia sekaligus. Al-Quran sebelum itu disimpan di Lauh Mahfuz sebelum diturunkan ke langit dunia(Sidratul Muntaha). Hal ini berbeza pengertiannya dengan malam nuzulul Quran, kerana nuzulul Quran ialah saat pertama Al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’ yang terjadi pada 17 Ramadhan saat Rasulullah berusia 40 tahun. Tentang malam Lailatul Qadar, Allah tidak menerangkan waktunya secara terperinci. Yang diterangkan adalah nilai keutamaannya, iaitu menyamai seribu bulan. Akan tetapi, angka seribu dalam ayat ini bukanlah angka matematik,melainkan sebagai lambang yang pengertiannya ialah jumlah yang tidak terbatas.
Adapun saat tepatnya malam Lailatul Qadar ini adalah masalah ghaib, yang hanya Allah sendiri mengetahuinya. Kita tidak dapat mengetahui secara pasti bilakah malam Lailatul Qadar itu akan berlaku. Rasulullah SAW tidak menerangkan secara terperinci bila tibanya mala mini, tetapi baginda memberi perkiraan bahawa kemungkinan besar terjadi pada malam 27 Ramadhan. Dalam sebuah hadis yang berasal dari Muawiyah bin Abu Sufyan, Rasulullah SAW bersabda :
“Tentang Lailatul Qadar, Iaitu pada malam ke 27(Ramadhan)”. ( HR : Abu Daud )
Walaibagaimanapun,para ahli hadis menyebut bahawa hadis ini mauquf, yang bermasud ialah bukan datang dari Rasulullah,sebaliknya adalah merupakan pernyataan Muawiyah sendiri atau penafsirannya. Oleh itu,penetapan malam ke 27 tidak dinilai sebagai ketetapan mutlak, tetapi sebagai kemungkinan sahaja. Kemungkinan Muawiyah pernah bertemu malam Lailatul Qadar pada malam ke 27 tersebut. Akan tetapi ianya bukanlah waktu yang tetap dan tepat. Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ada pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan.

Dari Abdullah bin Samid,bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Lailatul Qadar itu ada pada bulan Ramadhan. Hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir. Sesunggunya ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam ke 21, atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29,atau malam terakhir”.  ( HR : Ahmad )

Hadis ini bertaraf hasan dan dinilai oleh ahli hadis sebagai boleh diterima pakai. Hadis ini juga disokong oleh sebuah hadis lain yang juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Dari Abu Dzar berkata,beliau bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah,beritahulah kepadaku tentang Lailatul Qadar,apakah ada pada bulan Ramadhan atau pada bulan lain?”. Rasulullah bersabda : “Ianya hanya pada bulan Ramadhan”. Aku bertanya: “Apakah hanya terjadi pada para Nabi,sehingga saat mereka telah wafat,lalu lenyap. Ataukah tetap ada hingga hari kiamat?”. Sabda baginda : “Bahkan ia tetap ada sehingga hari kiamat”. Lalu aku bertanya lagi: “Hari apa pada bulan Ramadhan?”. Baginda bersabda : “ Carilah malam tersebut pada sepuluh hari terakhir, dan janganlah kamu bertanya kepadaku lagi tentang sesuatu yang lain sesudah ini”.   ( HR : Ahmad )

Hadis ini hasan dan dinilai sahih pada lafaz dan maknanya. Oleh sebab itu hendaklah kita berusaha menghidupkan malam pada bulan Ramadhan,terutamanya pada 10 malam terakhir untuk sama-sama mencari keberkatan seribu bulan yang telah dijanjikan Allah SWT. Selayaknya kita berusaha untuk mencari Lailatul Qadar yang sangat mulia ini agar tidak tertinggal dalam melipatgandakan pahala di sisi Allah. Insya’Allah.

Disediakan oleh:
  1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Ramadhan 1432,2011
  2. Hj Johari Hj. Alias,Kelebihan Amalan Bulan Rejab,Sya’ban,Ramadhan,1998.