Friday 28 October 2011

NIKAH dan PERKAHWINAN


Nikah atau perkahwinan adalah sesuatu yang dikatakan sebagai ikatan untuk menyatukan sepasang lelaki dan perempuan, dan seterusnya dapat hidup bersama. Adapun nikah juga dibahagikan kepada dua maksud iaitu maksud dari segi bahasa, dan maksud dari segi istilah syarak.

Maksud dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.

Maksud dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

Nikah atau perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW dan digalakkan dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :


Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golongan umatku". ( HR : Ibnu Majah )

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mengeluarkan belanja pernikahan(memberi nafkah untuk isteri dan anak-anak), maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa tidak mampu menikah maka berpuasalah, kerana hal itu baginya adalah pelemah syahwat.” .
( HR : Bukhari & Muslim )

Justeru daripada kedua-dua hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa nikah atau perkahwinan adalah satu perkara yang amat dituntut oleh syarak. Ini demi menjaga maruah diri dan Islam, disamping menambahkan bilangan umat dengan lahirnya anak-anak kelak. Bahkan Allah SWT menjamin kebahagiaan hidup untuk mereka yang bernikah kerana mengikut perintah-Nya dan memenuhi sunnah Rasul-Nya.


Firman Allah SWT :

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki, dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An-Nuur, 24: 32)

Imam Ibnu Khatsir rahimahullah memetik perkataan Ali bin Abi Thalib ra. ke dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa:
“Allah memberi galakkan kepada manusia untuk bernikah. Allah memerintahkan nikah kepada orang-orang yang berstatus merdeka mahu pun hamba sahaya. Allah berjanji kepada mereka akan memberikan kecukupan atau kemampuan untuk menikah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Khatsir)

Bahkah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. , Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka, iaitu orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya, hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya (kerana Allah), orang yang berperang di jalan Allah.”
( HR : Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

HIKMAH PERNIKAHAN

Pernikahan yang amat dituntut oleh syarak semestinya mempunyai banyak hikmah, sama ada kepada individu, keluarga mahupun masyarakat. Antara hikmah-hikmah pernikahan adalah :

1. Dapat menyalurkan naluri seksual dengan cara sah dan terpuji. Bagi manusia, naluri tersebut sangat kuat dan keras, serta menuntut adanya penyaluran yang baik. Jika tidak, dapat mengakibatkan kegoncangan dalam kehidupannya. Dengan perkahwinan, kehidupan manusia menjadi segar dan tenteram serta terpelihara dari perbuatan keji dan zina.


2. Memelihara dan memperbanyak keturunan dengan terhormat, sehingga dapat menjaga kelestarian hidup umat manusia.

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
 ( Surah An-Nisa' : 1)

“Allah menjadikan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?".
 ( Surah An-Nahl : 72)


3. Naluri keibuan dan kebapaan akan saling melengkapi dalam kehidupan rumahtangga bersama anak-anak. Hubungan itu akan menumbuhkan rasa kasih sayang, sikap jujur, dan keterbukaan, serta saling menghargai satu sama lain sehingga akan meningkatkan kualiti hidup seorang manusia. 


4. Melahirkan organisasi (team) yang mantap dengan pembahagian tugas/tanggungjawab tertentu, serta melatih kemampuan bekerjasama. Tugas mengatur rumahtangga termasuk memelihara dan mendidik anak yang umumnya menjadi tugas utama suami dan tentunya harus bekerjasama dengan isteri. Mencari nafkah yang menjadi kewajiban suami juga dapat dibantu oleh isterinya, pengelolaan kewangan yang sebaiknya menjadi bahagian dari isteri, namun dengan izin suami dalam pembelanjaannya. Ini semua meningkatkan sikap disiplin, rajin, kerja keras, syukur, sabar, dan tawakal. 


5. Terbentuknya tali kekeluargaan dan silaturahim antara keluarga, sehingga memupuk rasa tanggungjawab sosial dan dapat membentuk masyarakat yang kuat serta bahagia. 



Rujukan, 

1. Aimi Bin Hamzah, Mohd Haidir Bin Haji Mohd Isa, Mohd Shah Bin Ujang, Buku Teks Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 5, KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Iqbal Al-Qaireen, Taubat, Oktober 2011.

No comments: