Tuesday 2 August 2011

RAMADHAN AL-MUBARAK (bahagian 2)

Bulan Ramadhan adalah bulan mulia yang perlu digunakan sebaiknya oleh seluruh umat Islam di dunia ini. Ramadhan adalah bulan rahmat,pengampunan dan pelepasan dari api neraka. Dalam bulan Ramadhan juga Allah akan membuka pintu-pintu syurga seluasnya dan menutup pintu neraka serapatnya, syaitan-syaitan juga akan diikat dan dipasung. Tiada satu pun yang akan terlepas dari takdir Allah.

Sabda Rasulullah SAW :
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan”. ( HR : Bukhari & Muslim )

Rasulullah SAW bersabda lagi :
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah semua pintu syurga dan tidak ditutup satu pun darinya. Maka datanglah seruan, ‘Wahai orang-orang yang melakukan kebaikan, hampirlah kamu. Wahai orang-orang yang melakukan kejahatan, berundurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan yang demikian itu berlaku pada setiap malam di bulan Ramadhan.”.  ( HR : Tirmidzi & Ibnu Majah, dari Abu Hurairah )

Kedua-dua hadis di atas jelas sahih dan membuktikan bahawa bulan Ramadhan memiliki keistimewaan tersendiri, yang mana ia adalah bulan yang penuh dengan rahmat,bulan keampunan dan bulan pelepasan dari api neraka.


Solat sunat Tarawih

Ibadah yang paling besar pahalanya selain pahala puasa Ramadhan ialah menghayati setiap malamnya dengan solat sunat Tarawih.  Erti tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat. Solat Tarawih bererti solat dengan penuh rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya’. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih, sebelum disambung semula.

Solat Sunat Tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan. Hukum solat Tarawih adalah sunat muakkad(sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan. Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW, solat sunat Tarawih boleh dilakukan dengan bersendirian ataupun secara berjemaah di masjid atau surau. Telah sepakat pendapat ulama’ bahawa solat Tarawih itu adalah lebih afdhal dilakukan secara berjemaah. Disebutkan dalam sebuah hadis :

Dari Abu Dzar berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa solat bersama Imam sampai selesai, maka akan ditulis baginya solat semalaman penuh.”. ( HR : Ahmad,Abu Daud,Tirmidzi, Nasa’I & Ibnu Majah )

Solat berjemaah sangat dianjurkan , baik dalam solat wajib mahupun solat sunat. Solat tarawih dilakukan secara berjemaah oleh Rasulullah  pada masa hayat baginda hanya tiga kali. Rasulullah bimbang ada dikalangan umatnya yang tersalah sangka bahawa solat terawih itu memang wajib dilakukan berjemaah. Oleh sebab itu baginda lebih senang mengerjakan solat Tarawih di rumah. Akan tetapi, Rasulullah SAW membenarkan para sahabat mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah.


Lailatul Qadr

Satu lagi keistimewaan bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat satu malam yang sangat istimewa dipanggil sebagai malam Lailatul Qadar.  Mengenai malam Lailatul Qadar ini disebutkan dalam firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar”.   ( Al- Qadr : 1-5 )

Malam Lailatul Qadar adalah malam ketika Allah menurunkan Al-Quran ke langit dunia sekaligus. Al-Quran sebelum itu disimpan di Lauh Mahfuz sebelum diturunkan ke langit dunia(Sidratul Muntaha). Hal ini berbeza pengertiannya dengan malam nuzulul Quran, kerana nuzulul Quran ialah saat pertama Al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’ yang terjadi pada 17 Ramadhan saat Rasulullah berusia 40 tahun. Tentang malam Lailatul Qadar, Allah tidak menerangkan waktunya secara terperinci. Yang diterangkan adalah nilai keutamaannya, iaitu menyamai seribu bulan. Akan tetapi, angka seribu dalam ayat ini bukanlah angka matematik,melainkan sebagai lambang yang pengertiannya ialah jumlah yang tidak terbatas.
Adapun saat tepatnya malam Lailatul Qadar ini adalah masalah ghaib, yang hanya Allah sendiri mengetahuinya. Kita tidak dapat mengetahui secara pasti bilakah malam Lailatul Qadar itu akan berlaku. Rasulullah SAW tidak menerangkan secara terperinci bila tibanya mala mini, tetapi baginda memberi perkiraan bahawa kemungkinan besar terjadi pada malam 27 Ramadhan. Dalam sebuah hadis yang berasal dari Muawiyah bin Abu Sufyan, Rasulullah SAW bersabda :
“Tentang Lailatul Qadar, Iaitu pada malam ke 27(Ramadhan)”. ( HR : Abu Daud )
Walaibagaimanapun,para ahli hadis menyebut bahawa hadis ini mauquf, yang bermasud ialah bukan datang dari Rasulullah,sebaliknya adalah merupakan pernyataan Muawiyah sendiri atau penafsirannya. Oleh itu,penetapan malam ke 27 tidak dinilai sebagai ketetapan mutlak, tetapi sebagai kemungkinan sahaja. Kemungkinan Muawiyah pernah bertemu malam Lailatul Qadar pada malam ke 27 tersebut. Akan tetapi ianya bukanlah waktu yang tetap dan tepat. Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ada pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan.

Dari Abdullah bin Samid,bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Lailatul Qadar itu ada pada bulan Ramadhan. Hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir. Sesunggunya ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam ke 21, atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29,atau malam terakhir”.  ( HR : Ahmad )

Hadis ini bertaraf hasan dan dinilai oleh ahli hadis sebagai boleh diterima pakai. Hadis ini juga disokong oleh sebuah hadis lain yang juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Dari Abu Dzar berkata,beliau bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah,beritahulah kepadaku tentang Lailatul Qadar,apakah ada pada bulan Ramadhan atau pada bulan lain?”. Rasulullah bersabda : “Ianya hanya pada bulan Ramadhan”. Aku bertanya: “Apakah hanya terjadi pada para Nabi,sehingga saat mereka telah wafat,lalu lenyap. Ataukah tetap ada hingga hari kiamat?”. Sabda baginda : “Bahkan ia tetap ada sehingga hari kiamat”. Lalu aku bertanya lagi: “Hari apa pada bulan Ramadhan?”. Baginda bersabda : “ Carilah malam tersebut pada sepuluh hari terakhir, dan janganlah kamu bertanya kepadaku lagi tentang sesuatu yang lain sesudah ini”.   ( HR : Ahmad )

Hadis ini hasan dan dinilai sahih pada lafaz dan maknanya. Oleh sebab itu hendaklah kita berusaha menghidupkan malam pada bulan Ramadhan,terutamanya pada 10 malam terakhir untuk sama-sama mencari keberkatan seribu bulan yang telah dijanjikan Allah SWT. Selayaknya kita berusaha untuk mencari Lailatul Qadar yang sangat mulia ini agar tidak tertinggal dalam melipatgandakan pahala di sisi Allah. Insya’Allah.

Disediakan oleh:
  1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Ramadhan 1432,2011
  2. Hj Johari Hj. Alias,Kelebihan Amalan Bulan Rejab,Sya’ban,Ramadhan,1998.

No comments: