Saturday 6 August 2011

GOLONGAN YANG DIBOLEHKAN MENINGGALKAN PUASA


Puasa di bulan Ramadhan adalah ibadah yang wajib dilakukan oleh orang Islam yang mukalaf. Ianya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 183:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa,sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu,agar kamu bertakwa”.  (Al-Baqarah : 183)

Hukum meninggalkan puasa adalah haram dan berdosa besar. Puasa sehari yang ditinggalkan secara sengaja tidak akan dapat diganti walaupun ia berpuasa selama setahun berturut-turut. Disebutkan dalam sebuah hadis,bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa rukhsah dan tidak kerana sakit, maka puasa yang ditinggalkan itu tidak dapat diganti walaupun ia menggantikannya selama setahun”. 
(HR : Bukhari & Muslim)

Namun begitu,Islam telah menetapkan beberapa golongan yang dibolehkan meninggalkan puasa. Islam tidak terlepas pandang pada golongan-golongan ini dan memberikan rukhsah kepada mereka. Ini turut membuktikan bahawa Islam adalah sebuah agama yang syumul. Golongan yang diberikan rukhsah tersebut adalah :


1.       Wanita haid dan nifas

Wanita yang datang haid atau nifas pada bulan Ramadhan tidak boleh berpuasa. Malah haram hukumnya jika mereka berpuasa. Rasulullah SAW memerintahkan puasa yang ditinggalkan kerana haid dan nifas diganti pada bulan-bulan lain. Ianya berdasarkan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim,daripada Saidatina Aisyah ra. Aisyah berkata :

Kami mengalami haid(di bulan Ramadhan) pada masa Rasulullah SAW,lalu kami diperintahkan untuk menggantikan puasa,tetapi kami tidak diperintahkan menggantikan solat”. 
(HR: Bukhari & Muslim)

Daripada hadis tersebut dapat diketahui dengan jelas bahawa wanita yang tidak boleh berpuasa Ramadhan kerana haid atau nifas wajid menggantikannya. Akan tetapi berlainan pula jika ia meninggalkan solat kerana haid atau nifas,gugur kewajipan solat itu terus tanpa perlu menggantikannya. Sungguh ia adalah anugerah Allah kepada para wanita.


  1. Wanita hamil dan menyusukan anak
Allah SWT berfirman :

Dan bagi orang-orang yang tidak sanggup melakukannya(puasa), maka ia wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin”.  ( Al-Baqarah : 184 )

Dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir disebutkan tentang penjelasan para sahabat  bahawa apa yang dikategorikan sebagai orang-orang yang tidak sanggup berpuasa adalah wanita yang hamil atau menyusui bila mereka takut dirinya dan bayinya akan mendapat kemudharatan akibat dari puasa tersebut. Untuk menjaga keselamatan ibu dan bayi tersebut, maka dibenarkan bagi mereka untuk tidak berpuasa Ramadhan. Akan tetapi ia wajib membayar fidyah sebagai gantinya. Jumlah fidyah sesuai dengan jumlah belanja yang dikeluarkan untuk makan dan minum si pembayar selama satu hari. Jika masih juga tidak mampu, maka dibolehkan untuk dia menggantikan puasanya apabila kesihatan dirinya dan bayi tidak lagi akan terjejas atas sebab berpuasa.


  1. Orang tua yang uzur
Disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, bahawa orang tua diberi keringanan untuk meninggalkan puasa:

“Diberi keringanan bagi orang tua yang lanjut umurnya supaya ia berbuka,tetapi wajib ia memberi makan seorang miskin untuk tiap-tiap hari(yang ditinggalkan puasa), dan tidak ada kewajipan qadha’ ke atasnya”. (HR : Daruquthni & Hakim )

Orang tua yang tidak lagi sanggup untuk berpuasa dibolehkan meninggalkan puasa tersebut. Akan tetapi ia wajib memberi makan seorang miskin sama dengan jumlah yang ia makan sehari-harinya.
Dalam hal ini, hanya orang tua itu sendiri yang boleh mengukur kesanggupannya untuk berpuasa atau tidak. Jika ia tetap memilih untuk tetap berpuasa dengan segenap kemampuan yang ada pada dirinya, maka hal itu lebih baik bagi dirinya kerana pahala yang diterimanya lebih besar.


  1. Orang yang sakit kronik dan orang yang bermusafir
Dalam kitab Al-Quran, Allah SWT telah berfirman :

Maka barangsiapa diantara kamu sakit atau mengadakan perjalanan(lalu tidak berpuasa),maka hendaklah dia hitung(hari-hari tidak berpuasa itu) untuk diganti pada hari lain..”.  ( Al-Baqarah : 184)

Orang yang sakit kronik dan yang sedang bermusafir wajib menggantikan puasanya sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan semasa ia sedang sakit atau sedang bermusafir. Jika ia meninggalkan puasa selama 10 hari kerana sakit pada 10 hari tersebut,maka wajib baginya menggantikan puasanya sebanyak 10 hari juga, begitu juga halnya jika meninggalkan puasa kerana musafir.
Akan tetapi, bila ia menderita penyakit kronik yang berterusan dan tiada harapan untuk sembuh, maka ia tidak perlu menggantikan puasa tersebut,sebaliknya ia perlu membayar fidyah seperti yang dilakukan wanita hamil dan menyusui.


BERDOSA MEMAKSA DIRI BERPUASA JIKA TIDAK MAMPU

Golongan yang diberi rukhsah untuk meninggalkan puasa tidak perlu memaksa diri untuk tetap berpuasa. Malah para ulama’ mengatakan berdosa jika ia terus memaksa diri kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa. Malah mungkin juga membahayakan bayi yang tidak berdosa kerana kedegilan untuk tetap meneruskan puasa. Orang sakit,musafir dan orang tua yang memaksa dirinya untuk terus berpuasa bererti telah menzalimi diri dan nyawanya sendiri. Nyawa yang dianugerahkan Allah boleh digunakan untuk ibadah yang lain. Atas sebab itu jumhur ulama’ berpendapat adalah berdosa jika memaksa diri berpuasa bagi mereka yang diberi rukhsah tersebut. Pendapat ini berdasarkan sebuah hadis sahih :

Dari Jabir bin Abdullah,sesungguhnya pada tahun kemenangan Mekah,Rasulullah datang ke Mekah pada bulan Ramadhan dan baginda berpuasa hingga sampai ke sebuah kampung bernama Kura’al Ghamim dan para sahabat pun ikut berpuasa. Kemudian di tempat ini baginda meminta sekendi air,dan diangkatnya tinggi-tinggi sehingga orang ramai dapat melihatnya, lalu baginda minum. Kemudian ada yang berkata kepada baginda sesudah itu bahawa ada sebahagian orang yang masih tetap meneruskan puasanya. Lalu baginda bersabda : “Mereka itu derhaka,mereka itu derhaka.”.” . (HR : Bukhari & Muslim)

Semoga kita dijauhkan dari murka Allah,dan semoga kita tidak melakukan perderhakaan kepada agama Islam. Waallahua’lam.

Mutiara bahasa
Mukalaf = Orang yang telah cukup syarat untuk diberikan taklif syarak,perbuatan dan perlakuan  terlakluk kepada hukum wajib,sunat,harus,makruh dan haram.
Syumul = Menyeluruh.
Rukhsah = Keringanan dan kemudahan yang diberi Allah.
Jumhur = Pendapat majoriti.


Disediakan oleh:
  1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Ramadhan 1432,2011
  2. Damia Zahra,Ramadhan 1432,2011
  3. Nur Qistina,Ramadhan 1432,2011

1 comment:

Anonymous said...

salam, bagaimana keadaan org yg meniggalkan puasa dengan sengaja.. apakah terampun.. sedang dia tahu..