Monday 18 July 2011

RAMADHAN AL-MUBARAK

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.. Alhamdulillah,segala puja dan puji hanya untuk Allah,Tuhan Pentadbir sekalian alam. Dikesempatan yang diberikan Allah kepada saya pada hari ini,saya ingin menulis tentang bulan Ramadhan,bulan kesembilan dalam kalendar Hijriah.

Pada bulan Ramadhan,seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah,ayat ke 183.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa,sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu,agar kamu bertakwa”. (Al-Baqarah : 183)

Puasa dari segi istilahnya ialah, menahan diri dari lapar dan dahaga,serta perkara-perkara yang membatalkan puasa,bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Namun begitu,puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi umat Islam dituntut untuk turut menjaga akhlak dan tingkah laku mereka. Bulan Ramadhan juga disebut sebagai bulan tarbiyah kerana pada bulan ini,umat Islam berpeluang memperbaiki diri dengan menjaga mata,percakapan mahupun perbuatan dalam seharian. Malah setiap amalan yang dilakukan akan dilipat gandakan pahala mereka.



Melihat Anak Bulan Ramadhan(Hilal)

Ada dua cara untuk menentukan kedatangan Ramadhan,ianya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda “Berpuasalah kamu dengan melihat hilal dan berbukalah kamu dengan melihatnya. Jika awan menutup kamu, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban 30 hari”. 
( HR : Bukhari & Muslim )


Daripada hadis di atas, dapat difahami dengan jelas bahawa cara menentukan ketibaan Ramadhan adalah :
1)Melihat anak bulan
2)Hisab (kiraan hari)

Setiap Muslim diperintahkan untuk mengetahui masuknya bulan Ramadhan secara pasti. Diantara cara mengetahuinya ialah dengan melihat masuknya hilal. Hilal ialah anak bulan Ramadhan yang terlihat di kaki langit seperti alis mata. Kadangkala hilal ini tidak dapat dilihat dengan mata atau dengan alat teropong kerana tertutup oleh awan atau hujan yang terlalu lebat. Jika terjadi perkara seperti ini, maka kaum Muslimin yang mana di tempat mereka tidak dapat melihat hilal itu diperintahkan untuk menggenapkan bilangan bulan Sya’ban(bulan sebelum bulan Ramadhan) menjadi 30 hari.

Cara lain untuk mengetahui masuknya bulan Ramadhan adalah dengan hisab. Hisab ialah menghitung peredaran bulan dan mengetahui posisi bulan pada setiap awal dan akhir bulan, sehingga dapat diketahui tibanya awal bulan Ramadhan. Cara hisab ini lebih mudah untuk mengetahui masuknya awal bulan Ramadhan daripada dengan melihat hilal.

Kedua cara tersebut boleh dipakai. Akan tetapi, cara dengan melihat hilal lebih diutamakan. Jika menurut perhitungan hisab tibanya awal Ramadhan lebih kemudian daripada terlihatnya hilal, maka kita wajib mengawali puasa berdasarkan kelihatan anak bulan. Misalnya,jika menurut perhitungan hisab awal Ramadhan untuk tahun 1998 jatuh pada 20 Disember, sedangkan pada malam hari 18 Disember hilal sudah dapat terlihat, maka kita wajib mengawali Ramadhan pada 19 Disember. Pemerintah perlu mengisytiharkan 1 Ramadhan bermula pada 19 Disember. Demikianlah,kerana yang menjadi dasar ukurannya adalah nampaknya hilal. Hilal sangat penting untuk memastikan dengan tepat waktu masuknya bulan Ramadhan. Ia untuk mengelakkan keraguan kerana kita dilarang untuk berpuasa pada hari yang masih diragukan.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis : “Barangsiapa berpuasa pada hari yang masih diragukan,maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Abu Qasim SAW(Rasulullah SAW)”. (HR : Ahmad,Nasa’I,Tirmidzi,Abu Daud & Ibnu Majah)

Hadis ini disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban. Yang dimaksudkan dengan hari yang diragukan ialah hari yang belum diketahui apakah masih dalam bulan Sya’ban atau sudah masuk bulan Ramadhan ketika anak bulan tidak kelihatan kerana hujan ataupun ditutupi awan. Bila keadaan seperti itu berlaku, maka hari tersebut dikatakan sebagai hari yang diragukan dan kita dilarang mengawali Ramadhan pada hari seperti itu.



Puasa dan Niat

Sebagaimana ibadah atau amalan-amalan yang lain, puasa juga wajib dimulakan dengan niat,iaitu sebelum terbitnya fajar,atau dalam erti kata lain sebelum masuknya waktu subuh.


Dari Hafshah,sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar(Subuh), maka tidak ada puasa baginya”. (HR: Ahmad,Nasa’i,Tirmidzi,Abu Daud & Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan bahawa setiap orang yang melakukan puasa Ramadhan wajib mendahuluinya dengan niat sebelum datangnya waktu Subuh. Hadis ini berisikan dua pengertian,iaitu:
1)Pada setiap malam sebelum waktu Subuh tiba,seseorang yang hendak melakukan puasa wajib menyatakan niatnya.
2)Pada awal Ramadhan sebelum datangnya Subuh,orang yang hendak berpuasa wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.
Dari dua pengertian ini, pengertian kedua lebih tepat,ringan dan mudah dilakukan. Islam berprinsip pada kemudahan dan keringanan. Oleh sebab itu,seseorang yang akan berpuasa selama satu bulan Ramadhan cukup menyatakan niatnya satu kali pada malam pertama Ramadhan sahaja. Namun perbuatan menyatakan niat pada setiap malam adalah sunat,digalakkan juga untuk melakukannya.



Sahur dan keberkatannya

Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sahurlah kamu, kerana dalam sahur itu ada berkah(keberkatan)”. (HR: Bukhari & Muslim)

Orang yang berpuasa disunatkan makan sahur. Makan sahur ini dinyatakan oleh Rasulullah sebagai makan yang membawa kebaikan dan keutamaan bagi yang melakukannya. Bagi orang yang makan sahur, ia mendapat keuntungan berlipat ganda, iaitu kenyang dan mendapat berkat yang akan Allah turunkan kepada dirinya sepanjang hari ia melaksanakan puasa.
Bahan makanan untuk sahur yang paling besar berkahnya dan paling baik adalah buah kurma. Buah kurma bukan sahaja untuk berbuka,tetapi juga sangat baik untuk bersahur. Bersahur dengan buah kurma adalah sunah Rasulullah, dan jika diamalkan sudah tentu sahaja akan beroleh pahala.

Dari Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma”. ( HR : Ibnu Hibban & Baihaqi )



Waktu sahur

Waktu sahur adalah waktu dimana umat Islam dibenarkan makan atau minum atau melakukan perkara-perkara lain yang tidak boleh dilakukan semasa berpuasa. Waktu sahur bermula selepas kita berbuka puasa, sehingga menjelang waktu Subuh keesokan harinya.


Dari Zaid bin Tsabit berkata : Kami sahur bersama Rasulullah SAW,kemudian kami berdiri solat(solat Subuh). Saya bertanya: “Berapa lama jarak antara keduanya itu?”. Baginda bersabda : “Lima puluh ayat Al-Quran”. (HR : Bukhari )

Waktu sahur yang paling baik dan afdhal ialah ketika menjelang Subuh,kira-kira sama dengan orang membaca 50 ayat Al-Quran. Lama seseorang membaca ayat Al-Quran sebanyak 50 ayat dengan baik dan ucapannya jelas dan tartil adalah lebih kurang 10 minit atau 15 minit. Maka, saat sahur yang paling baik adalah 10 atau 15 minit sebelum waktu Subuh. Waktu sahur juga disebut sebagai waktu imsak.



Puasa-Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga

Seperti yang kita semua ketahui, ibadah puasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, malahan ia menuntut lebih daripada itu. Kesabaran umat Islam dalam menunaikan ibadah puasa ini sangat diperlukan. Segala perbuatan,pandangan mahupun percakapan perlulah dijaga dengan sebaiknya. Jika tidak, puasa yang dilakukan akan menjadi sia-sia sahaja.

Dari Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan curang, maka Allah sama sekali tidak memerlukan amalannya meninggalkan makan dan minum(puasa)”. 
( HR : Bukhari )

Perkataan dusta yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah terikat kepada berbohong atau menipu semata-mata,malah ianya turut memberi maksud mengucapkan ‘perkataan sia-sia’ seperti mengumpat,memaki orang lain ataupun berbual kosong. Dan perbuatan curang pula membawa maksud segala perbuatan keji yang tidak disukai Allah yang mana ia membawa hukum haram dan berdosa. Sebagai contohnya, orang yang berpuasa itu mencuri harta orang lain, atau orang yang berpuasa tetapi meninggalkan solat. Kedua-dua perbuatan mencuri dan meninggalkan solat adalah perbuatan haram. Puasa yang semacam ini sama sekali tidak diredhai dan sia-sia sahaja di sisi Allah. Adapun puasa yang diredhai oleh Allah iaitu yang dilakukan dengan akhlak yang baik dan ucapan yang terpuji. Contoh ucapan yang tidak baik ialah melawak agar ditertawakan oleh orang lain. Melawak seperti ini adalah perbuatan sia-sia. Kerana itu,pahala puasanya menjadi hilang walaupun puasanya tidak batal. Jadi, alangkah ruginya kita berpuasa tanpa mendapat pahala dari Allah, malah mungkin akan menanggung dosa pula. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di atas adalah sahih dan sangat kuat hujahnya. Hadis ini turut disokong oleh sebuah hadis yang lain :

Dari Abu Hurairah berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Tidaklah dikatakan berpuasa kerana tidak makan dan tidak minum. Akan tetapi, yang dikatakan berpuasa adalah kerana meninggalkan ucapan sia-sia dan perbuatan yang buruk. Kerana itu,jika ada yang memakimu atau berlaku jahil kepadamu,katakanlah(kepadanya) : “Aku sedang berpuasa, Aku sedang berpuasa.”. (HR : Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban & Hakim )

Orang yang sedang berpuasa tidak boleh melayani pertengkaran atau cercaan orang terhadap dirinya. Bahkan ia diperintahkan oleh agama agar mengatakan kepada orang tersebut bahawa ia sedang berpuasa. Tentangan atau cercaan orang jahil kepadanya janganlah dilayani agar puasanya terpelihara dari gangguan yang menghilangkan pahala puasa.



Berbuka

Waktu berpuasa yang ditetapkan oleh Islam bermula sejak tibanya waktu Subuh sampai terbenamnya matahari iaitu masuknya waktu Maghrib. Bila waktu Maghrib sudah tiba, disunatkan untuk menyegerakan berbuka. Dengan demikian, orang yang segera berbuka mendapat pahala lebih baik daripada orang yang menundanya. Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim :

Dari Sahl bin Sa’ad,sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Manusia sentiasa akan berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka”. 
 ( HR : Bukhari & Muslim )

Bila tiba saat berbuka puasa, hendaklah orang yang berpuasa mendahulukan berbuka daripada solat Maghrib. Dalam berbuka janganlah tergesa-gesa,tetapi hendaklah makan dengan tertib dan wajar dan dengan tempoh yang wajar pula, sehingga tidak menghabiskan waktu Maghrib. Bagi orang yang berbuka, sangat dianjurkan memakan hidangan yang telah tersedia daripada mendahulukan solat Maghrib. Hal ini juga disebutkan Rasulullah dalam sebuah hadis :

Dari Anas berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan sebelum solat Maghrib, dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan kamu”. ( HR : Bukhari & Muslim )



Berbuka dengan kurma

Sebaik-baik makanan yang dimakan ketika berbuka adalah kurma. Jika tidak ada kurma, maka hendaklah seseorang memulai berbuka dengan meminum air putih, kerana air putih atau air masak ini menjadi penawar dan sekaligus ubat bagi orang yang berpuasa. Kerana itu, orang yang berbuka dengan kurma atau air putih akanb mendapat pahala kerana melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : “Bila seseorang diantara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air, kerana air itu adalah pembersih”. (HR : Abu Daud & Tirmidzi ) 

Islam tidak melarang orang berbuka dengan makan nasi,kuih muih atau apa sahaja makanan yang halal. Akan tetapi, perbuatan ini tidak memdapat pahala tambahan seperti halnya kalau makan kurma dan minum air putih. Jadi, adalah lebih baik jika kita mendahulukan berbuka puasa dengan makan kurma atau minum air putih, kerana ianya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.


1.Abu Iqbal Al-Qaireen,Julai 2011,Taubat
2.Muhammad Thalib, 1999,Amalan Bulan Ramadhan,Darul Nu’man

No comments: