Wednesday 3 August 2011

ANDA PUASA,TETAPI MENINGGALKAN SOLAT,MENDEDAHKAN AURAT??

SOLAT,ianya RUKUN ISLAM yang mesti dilakukan

Pada zaman yang ketandusan iman dan takwa ini, terdapat ramai dikalangan umat Islam yang memandang ringan tentang kepentingan solat.  Mereka ini menganggap bahawa solat itu hanya perbuatan yang hanya membuang masa dan tenaga. Malah ada juga yang hanya mengerjakan solat seminggu sekali(solat Jumaat) dan ada pula yang mengerjakan solat setahun sekali(solat Eid). Tidak kurang juga mereka yang tidak lansung mengenal apa itu solat dan bagaimana mengerjakannya. Islam mereka hanyalah pada nama semata-mata. Sedangkan solat adalah ibadah terpenting dan yang mula-mula sekali dihisab di Hari Pengadilan kelak. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah ra,beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda :

Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah SWT berfirman:" Lihatlah ( hai para malaikat ) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?”.Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardhu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu". ( HR : Tirmidzi & Ibnu Majah )

Dalam sebuah hadis yang lain,Rasulullah menyatakan bahawa asas Islam itu terbina atas lima perkara.
Sabda Rasulullah SAW:  

Islam itu terbina atas lima perkara, naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah,mendirikan solat,menunaikan zakat,berpuasa di bulan Ramadhan,dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan”.  ( HR : Bukhari & Muslim )

Solat adalah Rukun Islam kedua yang mesti dilakukan oleh seorang yang beragama Islam.  Apabila solat telah termasuk dalam perkara Rukun, maka adakah sah Islam seseorang itu tanpa mengerjakan solat???.  Allahuakbar,Waallahua’lam….Hanya Dia sebaik-baik penilai dan kepada Dia jugalah kita berserah diri.


PUASA vs SOLAT

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ramai sekali orang yang berlumba-lumba untuk berpuasa dan berterawih di masjid-masjid dan surau-surau. Alhamdulillah, alangkah baik perbuatan ini. Tetapi bagaimana pula ibadah fardhu yang lain seperti solat fardhu yang lima?. Dan jika ianya masih terjaga dibulan Ramadhan yang mulia ini, bagaimana pula dibulan-bulan yang lain?. Ada dikalangan umat Islam yang sekadar berpuasa di bulan Ramadhan,sedangkan mereka meninggalkan solat.  Mereka ini diibaratkan seperti cuba membina sebuah rumah tanpa TIANG. Bagaimana hendak ditegakkan dinding dan atap rumah itu tanpa tiang yang kukuh??. Solat adalah tiang agama, barangsiapa merobohkan ia, bererti dia merobohkan agamanya. Alangkah binasanya mereka yang sengaja meninggalkan solat.

Rasulullah SAW bersabda : Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama”. ( HR : Bukhari & Muslim )


SOLAT dan KEMUNGKARAN di bulan RAMADHAN

Firman Allah SWT :  Sesungguhnya solat itu mencegah diri dari perbuatan keji dan mungkar”.              (Al-Ankabut : 45 )

Tidak diragui lagi,jika solat ditinggalkan sudah pasti banyak kemungkaran yang berlaku. Kemungkaran ini dilakukan oleh individu atau kumpulan yang meninggalkan solat, kerana jika mereka benar-benar mendirikan solat dengan penuh keimanan dan keyakinan pada Allah,tentu sekali mereka tidak akan sanggup melakukan kemungkaran kerana takutkan azab Allah.  Maka tidak hairan lagi banyak kemungkaran dan perkara maksiat yang berlaku dalam masyarakat masa kini,tanpa mengira bulan Ramadhan atau tidak. Malah disesetengah tempat, semakin banyak kes KECURIAN yang berlaku apabila masuk bulan Ramadhan. Mungkin mereka yang melakukannya mahu mendapatkan keperluan untuk menyambut Aidilfitri sehingga terdesak melakukan perbuatan mungkar itu. Ketika orang lain sibuk beribadah di masjid dan surau, dia pula mengambil kesempatan untuk memecah masuk ke rumah-rumah untuk MEROMPAK dan sebagainya. Alangkah buruknya perbuatan ini.

PENDEDAHAN AURAT juga menjadi masalah yang sukar dibendung,walaupun di bulan Ramadhan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka yang mendedahkan aurat ini semakin menjadi-jadi di bulan yang mulia ini. Mana tidaknya, mereka ini bergerak bebas di pasaraya-pasaraya mahupun di bazaar Ramadhan. Dengan rambut yang terdedah dan baju yang ketat, mereka berjalan seolah-olah bidadari yang tidak melakukan kesalahan. Padahal mereka tidak sedar bahawa mereka bukan sahaja melakukan kesalahan pada Allah, malah mereka juga melakukan kesalahan pada orang lain kerana perbuatan mereka itu mungkin mengganggu puasa orang lain dan menjejaskan keimanan orang lain yang baru sahaja hendak bertapak. Semoga mereka yang mendedahkan aurat ini diberi hidayah oleh Allah.

Di bulan Ramadhan yang mulia juga, tidak kurang terdapat juga mereka yang berpuasa tetapi tanpa segan silu masuk ke pusat-pusat perJUDIan,menulis NOMBOR EKOR dan sebagainya yang berkaitan dengan JUDI. Apalah erti puasa bagi mereka ini selain menahan diri dari lapar dan dahaga. Lebih dasyat lagi, ada pula orang yang berpuasa dengan gigihnya di siang hari, namun apabila masuk waktu berbuka mereka pergi berbuka di pub-pub yang menyediakan ARAK dan MINUMAN KERAS lain. Lebih menyedihkan lagi,mereka ini kadang-kadang tersasar dan turut berbuka puasa dengan ARAK.  Maka sia-sialah puasa mereka ini kerana setiap perkara yang halal akan menjadi haram jika bercampur dengan perkara haram.  Sabda Rasulullah SAW :

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkaraperkara yang diharamkanNya”. ( HR : Bukhari & Muslim )


Adakah PUASA ahli MAKSIAT diterima?

Menurut salah satu pendapat dalam mazhab Syafi’e, puasa dan amalan soleh seseorang itu masih diterima Allah selama mana dia beriktikad dengan kalimah tauhid ilallah. Tiada Tuhan selain Allah dam Muhammad utusan Allah. Pendapat ini turut disokong oleh ulama-ulama fiqh dari beberapa mazhab lain. Mereka berhujah berdasarkan nas al-Quran dari surah Az-Zalzalah :

Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah,nescaya ia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah,nescaya dia akan melihat balasannya pula”.  (Az-Zalzalah : 7-8 )

Jadi jelaslah menurut pendapat ini bahawa orang yang berpuasa dan melakukan amalan soleh lain, tetapi meninggalkan solat, akan tetap akan masuk ke syurga Allah. Akan tetapi , pastinya golongan ini akan dimasukkan terlebih dahulu ke dalam neraka. Mereka akan menerima balasan di atas kemungkaran yang mereka telah lakukan,sama ada meninggalkan solat,mendedahkan aurat,mencuri atau perkara-perkara mungkar yang lain.

Semoga kita dijauhkan dari azab neraka. Jadikan bulan Ramadhan ini satu titik permulaan untuk memperbaiki diri, gunakan kesempatan ini sebaiknya. Ketahuilah, Allah tidak memandang harta,kedudukan,rupa atau sesedap mana juadah berbuka kita,akan tetapi Allah melihat ke dalam hati-hati kita. Waallahua’lam.


Disediakan,
  1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Ramadhan 1432,2011
  2. Damia Zahra,Ramadhan 1432,2011

No comments: