Tuesday 12 July 2011

Tanda-Tanda Taubat Diterima

Assalamualaikum..

Petanda seseorang itu bertaubat dan telah diterima taubatnya telah dijelaskan oleh Ibnu Qayyim rahimahullah. Antara tanda-tanda tersebut ialah:

1. Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

2. Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

3. Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

4 Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan.[1]

Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

اَلتَّآئِبُوْنَ الْعَابِدُوْنَ الْحَامِدُوْنَ السَّآئِحُوْنَ الرَّاكِعُوْنَ السَّاجِدُوْنَ اْلآمِرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ والنَّاهُوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُوْنَ لِحُدُوْدِ اللهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِيْنَ.
“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin”.[2]

فَاِنْ تَابُوْا وَاَقَامُوْا الصَّلاَةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَاِخْوَانُكُمْ فِالدِّيْنِ.
“Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama”.

Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

اِلاَّ مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَاُوْلَئِكَ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُوْنَ شَيْئًا.
“Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun”.[3]

اِلاَّ الَّذِيْنَ تَابُوْا وَاَصْلَحُوْا واعْتَصَمُوْابِاللهِ وَاَخْلَصُوْا دِيْنَهُمْ للهِ فَاُوْلَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَسَوْفَ يُؤْتِ اللهُ الْمُؤْمِنِيْنَ اَجْرًا عَظِيْمًا.
“Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”.[4]

[1] - Lihat: Madarajus Salikin. Jilid 1.
[2] - At-Taubah, 9:112.
[3] - Maryam, 19:60.
[4] - An-Nisa, 4:146.

No comments: