Di suatu
masa dahulu, terdapat seorang alim ulama' yang tersohor kerana ilmu dan
amalannya. Beliau adalah seorang penghafal Al-Quran dan juga penghafal beribu -
ribu hadith sahih semenjak kecil lagi. Dan semenjak kecil lagi,beliau telah di
hantar oleh kedua ibu dan bapanya untuk menuntut di Mekkah dan Madinah selama
berpuluh tahun lamanya. Bapanya juga adalah seorang alim ulama' yang pernah
mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam.
Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang
pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi
penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan
cerita, pada suatu masa, alim ulama' tersebut telah jatuh sakit lalu tidak
dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.
Maka tiba - tiba datanglah seorang yang
berpakaian buruk (seolah - olah kelihatan tidak siuman) sejurus sebelum solat
fardhu di laksanakan. Alim ulama' tersebut telah meminta supaya orang yang
berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat
fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk
mengundur diri.
Kelihatan senyuman terukir pada wajah
murid – murid alim ulama' tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang
yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain
dengan tajwid yang betul.
Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu
kerana guru mereka, yaitu alim ulama' tersebut, adalah seorang yang fasih dalam
berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali
(maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).
Maka alim ulama' tersebut telah bersalaman
dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang
berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulama' memanggil
keseluruh muridnya berkumpul di hadapannya lalu beliau telah bercerita :
Pernah berlaku di suatu kampung di timur
tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka
merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta
pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung di dalam
sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana
sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya.. Belilah sampai seratus
ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang,
yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti
sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!
Maka seluruh alim ulama' penduduk kampung
telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah
dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas
tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat dimasjid kerana mereka mahu
mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.
Hasrat mereka telah di persetujui oleh
pengembala kibas. Sembahyang pun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas
telah menjadi imam. Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah
berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya. Maka setelah selesai
sembahyang, seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing - masing
sambil ketawa terbahak - bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka
terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia' Allah telah jauh meleset.
Pada malam tersebut, seluruh alim ulama'
penduduk kampung telah bermimpi, dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang
seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut
telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali
pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan! Subhanallah!
Keesokan harinya, kesemua alim ulama'
penduduk kampung berkumpul dimasjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan
setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala
kibas. Malangnya, pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnya pun telah
tiada. Bekas kandang pun tiada, seolah – olah kandang kibas tidak pernah wujud!
Setelah selesai menceritakan kisah
pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka
tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahalui Allah dengan
merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu
akan kedudukan mereka di sisi Allah.
Allah Ta'ala telah berfirman yang
bermaksud :
"(Iaitu) orang-orang yang menjauhi
dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang
kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan).
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui akan keadaan
kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa
anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka
janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa).
Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa."
(Surah An-Najm : 32)
"Dan janganlah engkau memalingkan
mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan
di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap
orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."
(Surah Luqman 18)
Sumber : Himpunan Tazkirah
No comments:
Post a Comment