Saturday 17 September 2011

CARA MEMILIH SUAMI YANG SOLEH

Islam memberikan jaminan kebahagiaan bagi kaum wanita. Wanita juga berhak memilih haluan hidup yang berlandaskan syariat Islam. Agar beroleh kebahagian di dunia dan di akhirat. Begitu juga dalam memilih suami. Mereka diberikan hak-hak untuk menentukan sama ada menerima atau menolak calon suaminya. Kerana kehidupan berumahtangga tidak boleh didirikan atas paksaan.

Allah SWT akan mengurniakan rasa kasih sayang dan rahmat dalam setiap perkahwinan. Akan tetapi sudah tentu sahaja kasih sayang,cinta dan rahmat tidak akan ada jika perkahwinan itu dilaksanakan dengan paksaan. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW bersabda :

Mintalah pendapat kaum wanita dalam masalah mereka sendiri, janda menentukan dirinya sendiri, sedang diamnya gadis menandakan persetujuannya”.    ( HR : Thabrani )

Cara yang paling baik adalah dengan memerhatikan diri kita sendiri. Berusaha menjadi wanita yang solehah dan sentiasa cuba memperbaiki diri. Ini adalah perkara yang amat penting sekali untuk mendapatkan suami yang soleh. Bagaimana kita akan mendapat suami yang soleh jika kita sendiri terlalu buruk dalam akhlak dan segala aspek kehidupan.  Allah S.W.T berfirman :

 “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”        ( An-Nur':26)

Jadi kita harus berusaha untuk menjadi wanita yang baik dan solehah, bukan sahaja untuk mendapatkan suami yang soleh, malah juga mendapat redha daripada Allah.

Selain itu, cara yang tepat untuk memilih suami yang baik ialah dengan mengetahui latar belakang kehidupannya.  Sebab itu dalam Islam dibolehkan bertunang terlebih dahulu supaya memberi masa untuk saling mengenali, tapi bukan dengan cara yang salah seperti berdua-duaan dan sebagainya.  Hantarlah seseorang yang boleh dipercayai untuk menyelidiki serba sedikit tentang calon suami kita. Perhatikanlah aspek keimanan dan ketaqwaan yang dimiliki oleh calon suami kita. Jangan terlalu mengutamakan kedudukan dan harta, walaupun tidak dinafikan harta itu penting untuk menyara isteri dan keluarga. Kedudukan dan harta boleh lenyap bila-bila masa sahaja. Allah menjamin kebahagiaan hidup sesuatu keluarga di dunia ini jika mereka orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT :

Sesiapa yang melakukan amalan soleh baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan mereka beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan mereka kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” ( An-Nahl : 97 )

Cita-cita untuk memilih suami mithali atau suami teladan semestinya ada pada setiap wanita. Sama ada yang sudah berkahwin ataupun yang bakal berkahwin. Kerana kebahagiaan dan ketenangan dalam rumahtangga hanya dapat dirasakan bagi meraka yang mempunyai pemimpin rumahtangga yang baik. Kecemerlangan sesebuah masyarakat bergantung kepada kecemerlangan sesebuah keluarga, khususnya suami sebagai ketua keluarga. Untuk memperoleh keluarga yang cemerlang, calon isteri hendaklah memilih calon suami yang berwawasan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Pilihlah suami yang bertanggungjawab serta mampu mencurahkan rasa cinta kepada keluarga.

Impian untuk mempunyai suami yang baik itu tidak pernah padam daripada hati setiap wanita. Tentunya ada ciri-ciri tertentu yang harus menjadi pedoman bagi setiap wanita yang ingin menentukan pasangan hidupnya. Antara ciri-ciri tersebut iaitu :

  • 1.       Berakal, berilmu, beriman dan beramal soleh.
  • 2.       Mempunyai watak kepimpinan dan bertanggungjawab.
  • 3.       Tinggi akhlak dan keperibadiannya.
  • 4.       Lemah lembut dengan isteri.
  • 5.       Mempunyai pekerjaan yang halal bagi menjamin nafkah yang halal.
  • 6.       Sentiasa berlapang dada,rasional dan panjang pertimbangan.
  • 7.       Sanggup membimbing isteri dan keluarga.
  • 8.       Mampu mengawasi keselamatan dan keselesaan isteri dan keluarga.
  • 9.       Peribadi yang baik dan berakhlak mulia.
  • 10.   Pemaaf dan mudah meminta maaf serta tidak ego
  • 11.   Bersangka baik dengan pasangan hidupnya.
  • 12.   Berterima kasih atas setiap pengorbanan isteri.
  • 13.   Istiqomah dalam melayani karenah isteri/ tak mudah jemu.
  • 14.   Bertolak ansur dengan isteri.
  • 15.   Dihormati isteri,bukan ditakuti isteri.
  • 16.   Pandai bergurau serta pandai mengambil hati isteri.

Disediakan/Rujukan,
1. Abu Iqbal Al-Qaireen,Taubat, Sept 2011.
2. Damia Zahra Zainuddin,Taubat,Sept 2011.
3. Habsah Md. Nor, Isteri Teladan, 1994.

1 comment:

sarah mohamad said...

info yg menarik. InsyaAllah, akan menjadi panduan bagi saya.