Friday 30 September 2011

ADAB-ADAB PERSAHABATAN DALAM ISLAM

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menutup cela saudaranya, maka Allah akan menutup celanya di dunia dan di akhirat”. ( HR : Ibnu Majah )

Hubungan silaturrahim dan persabatan harus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Dengan adanya rasa timbang rasa dan harga menghargai antara satu sama lain,maka dapatlah dielakkan perkara yang tidak diingini dan perkara-perkara yang boleh melanggar batas-batas agama.
Setiap Muslim harus menjaga saudaranya seperti ia menjaga dirinya sendiri. Dalam persahabatan mesti ada sifat-sifat berikut :

1. Jujur

Sahabat yang paling menguntungkan adalah sahabat yang jujur, suka berterus terang dan tidak menyembunyikan sesuatu daripada anda, apatah lagi perkara itu boleh mendatangkan keburukan kepada diri anda. Dalam Islam memang dituntut setiap orang itu memuliakan saudaranya, lebih dari dirinya sendiri. Begitu jugalah dengan kepentingan diri anda sendiri. Anda harus mementingkan sahabat anda seperti anda lakukan terhadap diri anda juga. Seperti firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud :

Sudahpastilah kecintaan-Ku itu untuk orang-orang yang saling ziarah-menziarahi kerana Aku. Sudah pasti pula kecintaan-Ku untuk orang-orang yang saling cinta-menyintai kerana Aku, sudah asti pula kecintaan-Ku kepada orang-orang yang saling bantu-membantu kerana Aku. Juga sudah pastilah kecintaan-Ku untuk orang-orang yang tolong-menolong kerana Aku”. ( HR : Ahmad & Hakim )


2. Ikhlas

Sifat ikhlas akan memberikan kesegaran pada jiwa, ikhlas member dan menerima dalam apa jua bentuk pertolongan atau pemberian dari setiap individu Muslim itu. Setiap remaja harus menyemaikan sifat itu sejak awal lagi, kerana keikhlasan itu membuatkan hati kita gembira dan tenang dalam menghadapi sesuatu keadaan. Tiadanya sifat ikhlas akan membuatkan jiwa kita menjadi rosak dan berdendam. Keikhlasan bukan sahaja member kesegaran kepada jiwa, malahan akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Kebersihan hati boleh dicapai dengan iman dan takwa kepada Allah, secara lansung keikhlasan akan terbit dalam jiwa kita,dan akan lahir di setiap perbuatan kita. Lakukanlah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, berilah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, bukan dengan sebab lain.

3. Saling Memahami

Sifat faham-memahami adalah sifat yang terpuji yang harus ada pada setiap individu. Jika kawan-kawan anda berada dalam kesusahan atau masalah,bantulah mereka dengan ikhlas. Cubalah memahami masalah yang mereka lalui dan bantulah sedaya yang mampu. Jangan pula kita menekan mereka atau menjauhkan diri dari kawan-kawan yang mempunyai masalah, sebaliknya cubalah memahami mereka dan berilah keyakinan kepada mereka untuk menghadapi masalah yang mereka lalui. Sahabat sejati adalah sahabat yang akan bersama susah dan senang.

4. Saling Menghargai

Dalam apa jua keadaan anda harus menghargai sahabat anda, anda perlu menghormatinya sebagai individu yang harus diberi tempat di kalangan anda dan rakan-rakan anda yang lain. Jangan sesekali kita tak ambil kisah tentang kehadiran mereka, terutama jika ia berhadapan dengan anda, walaupun anda fikirkan kedudukan dirinya jauh lebih rendah daripada anda. Dalam Islam tidak ada insan yang lebih rendah atau tinggi kedudukannya,melainkan ketakwaannya kepada Allah. Mulianya seseorang itu bukan kerana sanjungan orang ramai, tetapi mulianya kerana dia lebih hamper dan takwa kepada Allah yang menjadikannya.


5. Bertimbang rasa


Bertimbang rasa terhadap teman, jika dia inginkan sesuatu dari anda, bantulah seberapa yang boleh. Jika dia berhutang dengan anda dan belum mampu membayarnya,berilah dia tempoh. Meringankan beban saudara anda bererti anda meringankan beban anda sendiri juga, saudara seagama itu adalah saudara anda dunia dan akhirat. Jangan anda bersikap tidak peduli dan bakhil terhadap mereka. Sifat ini akan merosakkan hubungan anda dengan saudara seagama anda sendiri. Lebih buruk lagi jika ia turut mengundang murka daripada Allah kerana sikap kita yang pentingkan diri sendiri.

6. Tolong-menolong

Tolong-menolong dalam soal agama memang digalakkan dalam Islam,jangan hendaknya anda tolong menolong dalam perkara-perkara yang mungkar. Dalam hal ini anda hendaklah segera member pertolongan kepada sahabat anda jika mereka memerlukan pertolongan tanpa menanti sahabat anda itu merayu meminta pertolongan. Barangkali sahabat anda itu malu atau segan untuk meminta pertolongan anda. Adalah lebih baik jika anda yang menawarkan diri untuk membantunya. Anda bukan sahaja dikasihi oleh sahabat anda itu, malah anda juga akan mendapat redha daripada Allah jika anda melakukannya dengan ikhlas.

7. Menghargai Perasaan Orang Lain

Jika sahabat anda berada dalam kesempitan atau ditimpa kemalangan segeralah anda menziarahinya. Kerana anda patut memberinya semangat atau bantuan yang perlu untuk sahabat anda itu. Memberinya nasihat dan menyuruh ia bersabar,jika ia kelihatan tidak tenteram ketika ditimpa kemalangan atau kematian orang-orang yang dikasihinya, berilah ia kata-kata yang menghiburkan hatinya, dengan mengatakan semua itu adalh proses hidup yang perlu diterima oleh setiap insan. Semuanya sudah ditakdirkan, dan kita yang hidup perlu meneruskan perjuangan dengan lebih matang dan bersemangat. Memang kita tahu bahawa saudara seagama itu seperti diri kita juga. Bagaimana jika anda berada dalam kesedihan sebegitu? Tentu anda juga perlukan teman yang boleh meredakahn kesedihan anda.

8. Jangan Prasangka Buruk dan Mencurigai

Setiap persahabatan yang terjalin hendaklah dengan ikatan tulus ikhlas. Anda harus menganggap baik setiap gerak geri sahabat anda itu. Jika ada sesuatu yang kurang menyenangkan, anda perlulah menegurnya dengan cara yang berhikmah dan berdiplomasi agar tidak menyinggung perasaannya. Tegur menegur adalah perkara yang dituntut agar sahabat kita dan diri kita sendiri tidak terjerumus dalam lembah kemurkaan. Lebih baik jika anda berterus terang daripada anda terus curiga dengan sikap sahabat anda, yang mungkin menimbulkan prasangka yang berpanjangan yang akhirnya merosakkan perasaan anda sendiri terhadap sahabat anda itu.


“Demi masa.Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
( Surah Al-Ashr : 1-3 )



  1. Al-Husni,Taubat, September 2011.
  2. Amina Hj. Noor, Remaja B3,1999.
  3. Al-Qaireen, Taubat, September 2011.

No comments: