Saturday 7 January 2012

ISLAM dan TIDUR

(gambar hiasan semata-mata)


Daripada Saidatina Aisyah r.anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar sedangkan sebenarnya dia (tidak sedar) sedang mencaci dirinya sendiri.” ( HR : Bukhari & Muslim )

Hadis ini menampakkan tentang kaitan di antara mengantuk dan penurunan kualiti amal serta produktiviti seseorang. Kesan Mengantuk Ke Atas Ekonomi Dan Juga Produktiviti. Banyak kes-kes kemalangan dilapurkan berpunca dari mengantuk dan kurang tidur.

Justeru itu kerana kepentingannya, Kerajaan Amerika telah menubuhkan sebuah yayasan yang bernama Yayasan Tidur Negara (National Sleep Foundation) untuk mengkaji tentang kesan tidur terhadap produktiviti kerana masalah ketiduran (insomnia and sleeping problems) telah memberikan banyak kesan negatif kepada manusia dan ekonominya.

Pada tahun 1995, Jabatan Pengangkutan Amerika telah melaporkan bahawa 100,000 kemalangan di jalan raya dan industri di Amerika adalah berkaitan dengan masalah tidur yang melibatkan kehilangan 1500 nyawa setahun.

(Dr. Stanley Coren; ‘Sleep Deprivation, Psychosis and Mental Efficiency,’ Psychiatric Times, March 1998)

Suruhanjaya khas untuk mengkaji tentang masalah ketiduran di Amerika telah melapurkan bahawa masalah ini telah menjejaskan produktiviti dan menyebabkan kerugian $100 – $150 billion setahun. (Dr. Stanley Coren; Ibid) Saintis-saintis dari Universiti Chicago telah mendapati bahawa kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran hormon, melemahkan kemampuan badan untuk memanfaatkan kabohidrat di dalam badan, dan mengujudkan keadaan yang seakan penyakit kencing manis.

(Rujukan: Tinker Ready (2000); ‘Naps: The Art of Snoozing’)

Seseorang yang tidur 3-4 jam kurang daripada kadar tidurnya yang biasa, akan mudah mengalami tekanan perasaan (stress) dan akan mudah dijangkiti kuman, disebabkan oleh sistem pertahanannya yang menjadi lemah. Penemuan ini telah dilapurkan di dalam majalah perubatan ‘Lancet’ pada pada bulan Oktober, 1999.

(Rujukan: Lancet: ‘Impact of Sleep on Metabolic & Endocrine Function)

Tidur Dan Kerehatan Yang Berpatutan Adalah Ibadah

Islam adalah satu agama yang seimbang. Ia mementingkan tidur dan kerihatan agar ibadah dan aktiviti akan dapat dilakukan dengan baik. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda’ yang, di antaranya, tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata:

“Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: “Benarlah Salman.” (Bukhari)

Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadis yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabipun terus mengeluarkan arahan:

“Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur.”
(Bukhari-Muslim)

Semua ini menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang. Tidur secara yang mansabah adalah merupakan salah satu cara untuk mengembalikan kecergasan diri.

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: “Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya.” Malah dalam sebuah hadis ada menyatakan tentang saranan Rasulullah supaya berqailullah. Rasulullah SAW bersabda :
"Berqailullahlah, kerana sesungguhnya syaitan tidak berqailullah". (HR : At-Tabrani, dalam Al-Sahihah 2647)

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor.”

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Jauhkan diri daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan wajah jadi kusam, keruh, lembap dan mengurangkan rezeki.

Tidur Rasulullah
(gambar hiasan semata-mata)


Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya tidur di atas lambung kanan. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila seseorang kamu ingin tidur, maka masuklah dalam kain selimut, kerana sesungguhnya ia tidak tahu apa yang ditinggalkan atasnya. Kemudian berbaringlah di atas lambung kanannya."

Hafsah binti Umar meriwayatkan:

"Nabi SAW apabila ingin tidur, baginda menjadikan tangan kanannya di bawah pipi kanannya."

(HR : At-Tabrani, dalam Sahih Al-Jami' 4523)

Berkenaan hikmah tidur  di atas lambung kanan, Imam Ibnu Qayyim menerangkan apakah rahsia Nabi SAW berbaring di atas lambung kanannya. Menurut beliau, hati manusia terletak di sebelah kiri, maka apabila dia tidur  di atas lambung kirinya, nescaya tidurnya akan menjadi terlalu nyenyak. Akan tetapi, jika tidur di atas lambung kanan, hatinya tidak akan tertindih, justeru tidak akan terlalu tenggelam dan nyenyak dalam tidurnya.

Islam melarang tidur secara meniarap, Nabi pernah melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas baginda bersabda,

"Inilah cara berbaring yang dibenci Allah." ( HR : At-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila kamu mahu tidur, berwudhuklah terlebih dahulu seperti mana kamu mahu bersolat, kemudian baringlah di sebelah(bahu/lambung) kanan." (HR : Bukhari & Muslim)

Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir.

Saintis juga mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher.

Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.

Muaz bin Jabal meriwayatkan sebuah hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Setiap Muslim yang tidur dengan membaca zikir dan dalam keadaan suci(berwuduk), lalu dia terjaga pada waktu malam, lantas dia berdoa kepada Allah memohon kebaikan  urusan dunia dan akhirat, pasti Allah akan mengurniakannya kepadanya." ( HR : Ahmad & Abu Daud, dalam Sahih Al-Jami' 5754)

Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda. Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah. Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan. Waallahua'lam..

Disediakan,
Abu Iqbal Al-Qaireen

Rujukan,
3) Nik Abd.Rahim & Zahazan Mohamed, Indahnya Saat Bersama-Mu



No comments: