Monday 5 December 2011

MUHARAM dan KEISTIMEWAANNYA

Muharam adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib (sebelum namanya ditukar menjadi Madinah), kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Bagaimanapun kalendar hijrah yang sempurna mengikut bilangan hari dalam setiap bulan hanya mula diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab semasa beliau menjadi khalifah. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwah dan syiar Islam itu sendiri. Oleh itu, ianya dijadikan sebagai detik permulaan bagi memulakan ‘episod’ baru bagi perjuangan Islam ketika itu. Bulan Muharram merupakan salah satu dari empat bulan haram yang telah Allah muliakan. Secara khusus Allah melarangan berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya.

Allah Taala berfirman :
“Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.
( At-Taubah: 36 )

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah. Firman Allah :

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kepada Al-Quran yang diturunkan Allah". Mereka berkata: "Kami hanya beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami". Dan mereka kafir kepada Al-Quran yang diturunkan sesudahnya, sedang Al-Quran itu (Kitab) yang hak; yang membenarkan (peperangan) apa yang ada pada mereka.
( Al-Baqarah : 91 )

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Sebab wurud hadis tentang Puasa Asyura

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Abbas, sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Yathrib, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu pada 10 Muharam. Rasulullah SAW lalu bertanya kepada mereka:

“Berpuasa apakah kamu ini?”.

Jawab mereka,

“Hari ini hari besar, pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israil serta menenggelamkan Firaun dengan tentera-tenteranya. Maka Nabi Musa telah berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah, kerana itu kami pun berpuasa.”

Sabda Nabi SAW:
“Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu.”

Dari itu Nabi berpuasa dan menyuruh sahabat-sahabatnya berpuasa pada hari itu. ( HR : Muslim dari Ibnu Abbas r.a)

Walaubagaimanapun, umat Islam digalakkan berpuasa sehari sebelum atau selepas berpuasa Asyura. Puasa Asyura sebaiknya didahului dengan berpuasa pada Hari Tasu’a (9 Muharam) agar tidak menyerupai amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura sahaja.

Abdullah Ibnu Abbas r.anhuma berkata :
“Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa padanya, mereka menyampaikan; ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nashrani.’ Lalu baginda SAW bersabda; ‘Kalau begitu, pada tahun depan insya Allah kita berpuasa pada hari kesembilan’. Dan belum tiba tahun yang akan datang, namun Nabi SAW sudah wafat.”
( HR : Muslim )

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda :
"Berpuasalah kamu pada hari ke-9 dan 10 Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi."( HR : Baihaqi )

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
Puasalah kamu pada hari Asyura dan berbezalah dengan orang-orang Yahudi iaitu puasalah sehari sebelumnya dan sehari setelahnya.” ( HR : Ahmad & Baihaqi )

Kelebihan Puasa Asyura

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., puasa pada bulan Muharam adalah sangat digalakkan. Rasulullah SAW bersabda :
“Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram, dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat (sunat) pada malam hari.”
( HR : Muslim )

Daripada Abu Qatadah r.a. berkata :
“Bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Baginda menjawab: “Akan dapat mengampunkan dosa setahun yang lalu.”
( HR :  Muslim )

Kata Ibnu Abbas r.a. :
“Tidak pernah aku melihat Nabi SAW menanti-nanti puasa pada suatu hari yang diutamakan lebih daripada hari lain kecuali hari ini, iaitu hari Asyura (10 Muharam), dan bulan puasa iaitu bulan Ramadhan.” ( HR : Bukhari & Muslim )

Daripada hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sesungguhnya puasa Asyura sangat dituntut dalam Islam. Rasulullah amat menantikan puasa dibulan Muharam. Begitu juga para sahabat dan tabi’in serta alim ulama’. Kita sebagai umat Islam perlu meneruskan sunnah ini demi mencapai keampunan dan keredhaan Allah Taala.
Waallahua’lam.

Abu Izzah, TAUBAT 2011, Muharram 1433H.

No comments: