Hasbunalah wa nik’mal wakil ialah peluru terakhir para pejuang Islam. Ungkapan yang penuh makna tersirat ini terkeluar dari mulut hamba-hamba Allah yang mempunyai iman yang teguh, pada saat yang getir dan dikelilingi pelbagai ancaman.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada sepupu Rasulullah SAW, Abdullah bin Abbas r.a. bahawa beliau telah berkata: “Ungkapan ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’ telah diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s. ketika dihumbankan (oleh kaumnya yang memusuhi dakwah baginda) ke dalam api yang marak menyala.”
Ungkapan ini juga disebut oleh Rasulullah SAW ketika dimaklumkan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka. Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’ (lihat surah ‘Ali Imran 3:173).” ( HR : Bukhari no. 4287)
Cukup Allah sebagai Penolong
Ðalam kitab ‘Umdah al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, diterangkan bahawa makna ungkapan ini adalah: “Cukuplah Allah bagi kita (sebagai Penolong) dan Ðialah sebaik-baik Wakil (untuk kita bertawakal).”
Inilah sebenar-benar hakikat penyerahan diri yang hanya kepada Allah. Setelah segala perangcangan dan strategi dakwah dilaksanakan, maka langkah terakhir adalah dengan berserah serta bergantung sepenuhnya kepada Allah terutama ketika ancaman sedang memuncak. Kebiasaannya, musuh memiliki kelengkapan yang hebat dan jumlah bala tentera yang besar. Mereka bergantung sepenuhnya kepada dua faktor ini.
Namun, bagi golongan Mukmin, walaupun kelengkapan materialnya lebih kecil jika dibandingkan dengan pihak musuh, tetapi pergantungan kepada Allah Yang Maha Kuasa telah memberi kelebihan kepada mereka. Malangnya, apabila golongan Islam kurang bergantung kepada Allah dan berasa cukup dengan senjata dan strategi yang diatur, maka ini menjadi punca kelemahan dan kekalahan.
Ungkapan yang menyelamatkan Nabi Ibrahim
Kisah Nabi Ibrahim terlalu banyak dinukilkan dalam al-Quran. Al-Syeikh Muhammad Fuad Abdul baqi menyatakan dalam kitab beliau; al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran bahawa Nabi Ibarahim disebut sebanyak 69 kali dalam 25 surah al-Quran.
Peristiwa Nabi Ibarahim yang ktia bincangkan di sini diabadikan dalam surah al-Anbiya’ bermula ayat 51 hingga 71. Ia berlaku pada awal zaman dakwah baginda iaitu di negeri Babil (Babylon).
Sepanjang menyampaikan ajaran Islam, baginda terpaksa berhadapan dengan ayahnya sendiri, masyarakat dan pemerintah ketika itu. Ayat-ayat dalam surah al-Anbiya’ merakamkan dialog dan hujah Nabi Ibrahim dengan mereka, yang kesemuanya berakhir dengan kemenangan hujah baginda. Menjadi lumrah golongan yang jahat dan busuk hatinya sepanjang sejarah kemanusiaan, apabila mereka tewas berhujah, maka kekasaran menjadi pilihan.
Nabi Ibrahim lalu ditangkap dan diheret ke suatu tempat yang telah dinyalakan api yang begitu marak. Baginda terpaksa berhadapan dengan lawan yang sangat ramai, dan sesuai dengan kudrat seorang manusia, baginda tidak mampu untuk menghadapinya. Api semakin mengganas, kaumnya bersorak kegembiraan kerana mereka bakal menyaksikan anak muda yang menongkah arus penyembelihan berhala dulu, kini dan selamanya akan hangus dibakar seketika nanti.
Namun, dalam keadaan getir inilah, terbukti pergantungan hati yang hebat kepada Allah lantas terkeluar dari mulut baginda ungkapan: ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’. Maka, Allah yang menjadikan api bersifat panas dan membakar, telah mmerintahkan api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar, lalu terselamatlah Nabi Ibrahim a.s. Pertolongan Allah muncul dengan cara yang tidak disangka-sangka!
Yakin dengan pertolongan Allah
Ungkapan ini juga disebut oleh Rasulullah SAW apabila Baginda diberitahu bahawa tentera Quraisy yang dikepalai oleh Abu Sufyan bersama-sama bala tentera yang ramai dan lengkap bersenjata sedang bersiap sedia untuk menyerang (lihat surah ‘Ali Imran 3:173).
Terdapat dua riwayat tentang peperangan tersebut. Riwayat pertama menyatakan bahawa ia adalah perang Hamra’ al-Asad yang berlaku sebaik sahaja perang Uhud berakhir. Riwayat kedua pula menyatakan ia berlaku dalam perang Badar al-Sughra yang tercetus setahun selepas perang Uhud. Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan hujah kedua-dua riwayat tersebut kerana perkara yang lebih penting di sini ialah teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika berhadapan dengan musuh dan propaganda-propaganda mereka.
Musuh Islam akan sentiasa menyebarkan serangan-serangan psikologi untuk melemahkan semangat umat Islam, sehingga ada kalanya berjaya menggoncang pendirian sebahagian umat Islam yang lemah imannya. Walaupun diuar-uarkan betapa ramainya bala tentera musuh dan hebatnya kelengkapan mereka, Rasulullah SAW dan golongan mukmin dengan penuh yakin menegaskan bahawa pertolongan Allah pasti mengatasi segalanya. Ðan ini terbukti seperti mana yang telah disebutkan dalam firman Allah SWT di atas.
Persiapan kita hari ini
Setiap mukmin yang peka dengan perkembangan Islam bahkan turut sama menggembleng tenaga serta wang ringgit untuk menyebarkannya, pasti akan berhadapan dengan musuh-musuh yang sentiasa berusaha emmadamkan cahaya Allah di atas muka bumi ini.
Musuh pada zaman moden kini pastinya lebih hebat dan canggih peralatan mereka. Mereka melakukan serangan pemikiran melalui media-media yang dikuasai, serangan ekonomi, persenjataan dan teknologi. Maka dalam situasi ini, setelah siap segala persiapan dan stragegi yang disusun rapi, golongan mukmin perlu senitasa mencontohi Nabi Ibrahim a.s. dan Rasulullah SAW yang berbekalkan peluru terakhir kita, ‘Hasbunalah wa nik’mal wakil’.
Pernikahan adalah suatu perkara yang amat indah dan diimpikan oleh setiap orang. Islam amat menggalakkan umatnya bernikah atau dalam istilah nusantara disebut sebagai berkahwin. Pernikahan atau perkahwinan ini amat dituntut oleh Islam, ianya dilambangkan sebagai sebahagian tuntutan yang perlu dilakukan bagi menjamin kesejahteraan hidup bagi individu, keluarga , mahupun masyarakat. Dalam Al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang menerangkan tentang pernikahan.
Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW. Baginda sering menasihatkan pemuda-pemuda supaya menyegerakan pernikahan. Ini kerana pernikahan itu membawa berbagai-bagai hikmah dan kebaikan. Antara hikmah pernikahan adalah sebagai wadah birahi manusia. Manusia yang tidak dapat mengendalikan nafsu birahi akan sangat mudah terjebak pada ajakan syahwat terlarang. Pintu pernikahan adalah cara yang tepat dalam mewadahi ‘aspirasi’ nulari normal seorang manusia.
Selain itu pernikahan juga dituntut bagi menjamin akhlak terpuji, memotivasikan semangat beribadah, membangunkan rumahtangga islamik, dan untuk mendapatkan zuriat penyambung keturunan. Islam melihat pernikahan ini sebagai suatu perkara yang penting dan perlu disegerakan. Di sini disertakan beberapa dalil yang menunjukkan betapa sesuatu pernikahan itu sangat-sangat dituntut oleh agama Islam yang mulia ini.
DALIL DARIPADA AL-QURAN
"Dan nikahkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (menikah) dari hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memberi rezeki kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) dan Maha Mengetahui." (Surah An-Nur : 32).
"Dan segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran Allah."(Surah Adz-Dzariyaat : 49).
"Maha Suci Allah yang telah menciptakan (hidupan) berpasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka sendiri, maupun dari apa yang tidak mereka ketahui." (Surah Yasiin : 36).
"Bagi kalian Allah menciptakan pasangan-pasangan (isteri-isteri) dari jenis kalian sendiri, kemudian dari isteri-isteri kalian itu Dia ciptakan bagi kalian anak cucu keturunan, dan kepada kalian Dia berikan rezeki yang baik-baik."(Surah An-Nahl : 72).
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Ar-Ruum : 21).
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi pelindung (penolong) bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."(Surah At-Taubah : 71).
"Wahai manusia, bertaqwalah kamu sekalian kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu satu diri, lalu Dia jadikan daripadanya (diri itu) jodohnya, kemudian Dia kembang-biakkan menjadi lelaki dan perempuan yang banyak sekali." (Surah An-Nisa' : 1).
"..Maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja..". (Surah An-Nisa’ : 3).
"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukminah apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah berbuat kesesatan yang nyata.(Surah Al-Ahzaab : 36).
"Janganlah kalian mendekati zina, kerana zina itu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra : 32).
"Dialah yang menciptakan kalian dari satu orang, kemudian darinya Dia menciptakan istrinya, agar menjadi cocok dan tenteram kepadanya." (Surah Al-A’raf : 189).
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Surah An-Nur : 26)
DALIL DARIPADA HADIS
Rasulullah SAW bersabda: "Nikah itu sunnahku, barangsiapa yang tidak suka pada sunnahku, maka dia bukan golonganku."(HR : Ibnu Majah, dari Aisyah r.anha).
"Empat macam yang termasuk di antara sunnah-sunnah para Rasul iaitu berkasih sayang, memakai wangian, bersiwak dan menikah." (HR : Tirmidzi).
Dari Aisyah, "Nikahilah olehmu kaum wanita itu, maka sesungguhnya mereka akan mendatangkan harta (rezeki) bagi kamu." (HR : Hakim & Abu Daud).
Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa diberi Allah seorang isteri yang solehah, sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya. Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah untuk separuh lainnya.”(HR : Baihaqi).
Dari Amr Ibnu Asr, Rasulullah SAW bersabda: "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah." (HR : Muslim, Ibnu Majah & An-Nasa'i)
“Dunia ini dijadikan Allah penuh perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan hidup adalah isteri yang solehah”. (HR : Muslim)
“Tiga golongan yang berhak ditolong oleh Allah iaitu orang yang berjihad (berperang) di jalan Allah, budak yang menebus dirinya dari tuannya, dan pemuda/i yang menikah kerana mahu menjauhkan dirinya dari yang haram.” (HR : Tirmidzi, Ibnu Hibban & Hakim)
“Wahai pemuda-pemuda! Bila di antaramu sudah mampu menikah hendaklah ia (segera) nikah, kerana (dengannya) mata akan lebih terjaga, kemaluan akan lebih terpelihara.”(HR : Bukhari & Muslim dari Ibnu Mas’ud r.a.).
Rasulullah SAW bersabda: "Kawinlah dengan wanita yang mencintaimu dan yang mampu beranak. Sesungguhnya aku akan membanggakan kamu sebagai umat yang terbanyak". (HR : Abu Daud).
"Saling menikahlah kamu, saling membuat keturunanlah kamu, dan perbanyaklah (keturunan). Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya jumlahmu di tengah umat yang lain."(HR : Abdurrazak & Baihaqi).
"Solat 2 rakaat yang diamalkan orang yang sudah berkeluarga lebih baik, daripada 70 rakaat yang diamalkan oleh jejaka (atau perawan)." (HR : Ibnu Ady dalam kitab Al Kamil dari Abu Hurairah r.a.).
"Rasulullah SAW bersabda: "Seburuk-buruk kalian, adalah yang tidak menikah, dan sehina-hina mayat kalian, adalah yang tidak menikah." (HR : Bukhari).
"Diantara kamu semua yang paling buruk adalah yang hidup membujang, dan kematian yang paling hina adalah kematian orang yang memilih hidup membujang."(HR : Abu Ya'la & Thabrani).
Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh kepala salah seorang diantara kamu ditusuk dengan jarum dari besi lebih baik, daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (HR : Thabrani & Baihaqi).
"Sesungguhnya, apabila seorang suami memandang isterinya (dengan kasih & sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan kasih & sayang), maka Allah akan memandang keduanya dengan pandangan kasih & sayang. Dan apabila seorang suami memegangi jemari isterinya (dengan kasih & sayang) maka berjatuhanlah dosa-dosa dari segala jemari keduanya” (HR : Abu Sa’id).
"Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu untuk bernikah, maka hendaklah dia bernikah. Kerana dengan bernikah itu lebih dapat menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu dapat menjadi perisai baginya." (HR : Bukhari & Muslim).
Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berdua-duaan), sebab syaitan menemaninya. Janganlah salah seorang di antara kita berkhalwat, kecuali wanita itu disertai mahramnya." (HR : Bukhari & Muslim dari Abdullah Ibnu Abbas r.a.).
Rasulullah SAW bersabda: "Jika datang (melamar) kepadamu orang (lelaki) yang engkau senangi agama dan akhlaknya, maka segerakanlah (pernikahan). Jika kamu tidak menerima (lamaran)-nya nescaya terjadi malapetaka di bumi dan kerosakan yang luas." (HR : At-Tirmidzi)
“Barangsiapa yang menikahkan (putrinya) kerana silau akan kekayaan lelaki meskipun buruk agama dan akhlaknya, maka tidak akan pernah pernikahan itu dibarakahi-Nya, Siapa yang menikahi seorang wanita kerana kedudukannya, Allah akan menambahkan kehinaan kepadanya. Siapa yang menikahinya kerana kekayaan, Allah hanya akan memberinya kemiskinan. Siapa yang menikahi wanita kerana bagus nasabnya, Allah akan menambahkan kerendahan padanya, Namun siapa yang menikah hanya karena ingin menjaga pandangan dan nafsunya atau kerana ingin mempererat kasih sayang, Allah senantiasa memberi barakah dan menambah kebarakahan itu padanya." (HR : Thabrani).
"Janganlah kamu menikahi wanita kerana kecantikannya, mungkin saja kecantikan itu membuatmu hina. Jangan kamu menikahi wanita kerana harta (kedudukannya) mungkin saja harta (kedudukannya) membuatmu melampaui batas. Akan tetapi nikahilah wanita kerana agamanya. Sebab, seorang budak wanita yang solehah (baik), meskipun buruk wajahnya adalah lebih utama." (HR : Ibnu Majah).
Dari Jabir r.a., sesungguhnya Nabi SAW. telah bersabda : "Sesungguhnya perempuan itu dinikahi orang kerana agamanya, kedudukan, hartanya, dan kecantikannya, maka pilihlah yang beragama." (HR : Muslim & Tirmidzi).
p/s : HADIS-HADIS DI ATAS DINILAI SAHIH dan SEBAHAGIANNYA BERSTATUS HASAN
Salahuddin al-Ayyubi berketurunan Kurdi. Dia bukanlah berketurunan Arab sebagaimana yang cuba diselewengkan oleh sebahagian penulis. Namanya Salahuddin bin Ayyub bin Syazi. Dia dilahirkan pada 532 H/ 1137 M di kota Tikrit, berhampiran Baghdad.
Bapanya NAJMUDDIN AYYUB dan bapa saudaranya SYIRKUH datang dari Daywin di sempadan Azerbaijan. Kerajaan Bani Seljuk melantik bapanya sebagai pemerintah di Tikrit dan adik bapanya iaitu Syirkuh sebagai pembantu oleh seorang pegawai tinggi polis Bani Seljuk di Baghdad iaitu MUJAHIDUDDIN BAHRUZ.
MELARIKAN DIRI DARI TIKRIT
Suatu yang menarik, Salahuddin dilahirkan pada hari bapa dan bapa saudaranya diarahkan keluar dari Tikrit. Bahruz sendiri datang menemui mereka dan mengarahkan mereka pergi. Mereka terpaksa pergi kerana Syirkuh telah membunuh seorang pegawai keselamatan yang cuba memperkosa seorang wanita. Dikhuatiri para pengawal lain akan membalas dendam.
Dalam perjalanan pada malam itu, Najmuddin Ayyub pernah cuba membunuh Salahuddin yang baru lahir itu kerana membuat bising di sepanjang perjalanan. Nasib baik salah seorang pengikutnya berjaya menasihati Ayyub. Jika tidak, riwayat Salahuddin tamat pada hari lahirnya, di tangan bapanya sendiri.
KEHIDUPAN DI MAUSUL
Mereka lari ke Mausul. Di sana mereka disambut baik oleh IMADUDDIN ZANKI, pemerintah Mausul. Imaduddin Zanki terhutang budi kepada Ayyub dan Syirkuh kerana pernah menyelamatkannya dari dibunuh oleh Bani Seljuk. Mereka dihadiahkan sebidang tanah malah diamanahkan mengurus hal ehwal ketenteraan di Mausul.
Ketika kota Ba’albak jatuh ke tangan Imaduddin Zanki, Ayyub dijadikan gabenor kota itu. Di kota inilah Salahuddin dibesarkan.
PERANAN AWAL SALAHUDDIN
Imaduddin Zanki digantikan oleh anaknya NURUDDIN ZANKI. Nuriddin memberikan jawatan Ketua Polis Damsyik kepada Salahuddin. Salahuddin berjaya membersihkan Damsyik daripada jenayah.
Pada zaman itu Mesir diperintah oleh Kerajaan Fatimiyyah. Pada tahun 558 H, SYAWAR AS-SA’DI memberontak ke atas Kerajaan Fatimiyyah. Dia minta bantuan Nuruddin Zanki. Sekiranya menang, Syawar berjanji akan menghadiahkan 1/3 daripada cukai tanaman Mesir kepada Nuruddin. Nuruddin Zanki menghantar panglimanya SYIRKUH (bapa saudara Salahuddin) ke Mesir dan berjaya menguasainya.
Selepas mendapat kekuasaan, Syawar memungkiri janji. Malah Syawar berpakat dengan Raja Baitul Maqdis untuk mengetepikan Nuruddin Zanki. SYIRKUH dihantar menyerang Mesir dan berjaya memperolehi kemenangan. Syirkuh melantik SALAHUDDIN sebagai wakil Nuruddin Zanki di Mesir. Kerajaan Fatimiyyah pun melantik Salahuddin sebagai menteri. Sepanjang tugasnya itu, Salahuddin pernah mengalahkan tentera salib Peranchis yang cuba memasuki Mesir.
KONSPIRASI MENJATUHKAN SALAHUDDIN
Oleh kerana Salahuddin masih muda, ramailah orang yang iri hati dengannya. Ada 3 konspirasi besar yang cuba menjatuhkannya.
KONSPIRASI PERTAMA – Setiausaha khalifah Fatimiyyah bernama NAJAH, seorang yang dikasi. Pada 564 H, dia berpakat dengan sebahagian rakyat Mesir untuk mengundang Peranchis mengalahkan Salahuddin. Menurut rancangannya, pasukan Najah akan menyerang Salahuddin dari belakang ketika tentera Peranchis menyerang Mesir.
Najah mengutus sepucuk surat rahsia kepada tentera Peranchis. Surat itu dimasukkan ke dalam sepasang kasut baharu dan diberikan kepada pengawalnya. Pengawal Salahuddin terjumpa surat itu tetapi Salahuddin tidak mengambil tindakan drastik kerana khuatir para penyokong Najah akan memberontak. Lagi pun Najah berada dalam istananya yang sukar ditembusi. Salahuddin mahu bersedia sepenuhnya sebelum membuat perhitungan terakhir.
Pada suatu hari, Najah keluar dari istananya. Peluang ini diambil oleh Salahuddin. Dia mengerahkan orangnya membunuh Najah. Pembunuhan Najah menyebabkan 50,000 tentera khalifah Fatimiyyah berbangsa Sudan mengangkat senjata memerangi Salahuddin, namun ia berjaya dipatahkan oleh Salahuddin.
KONSPIRASI KEDUA – Imarah al-Yamani ialah seorang ahli sejarah. Dia bercadang untuk menurunkan Salahuddin dari jawatannya lalu menggantikannya dengan anak khalifah. Oleh itu dia mula mengumpul pengikut dan seterusnya meminta bantuan tentera Peranchis. Dengan kuasa Tuhan, salah seorang pengikutnya membocorkan rahsia kerana mahukan ganjaran. Salahuddin menangkap Imarah dan kesemua pengikutnya lalu dibunuh.
KONSPIRASI KETIGA – Kanz ialah gabenor Aswan dan Sudan. Askar-askarnya membunuh 10 orang amir yang dilantik oleh Salahuddin. Salahuddin menghantar tentera di bawah pimpinan saudaranya Al Malikul Adil dan mendapat kejayaan.
PERANG DENGAN TENTERA PERANCIS
Tentera Peranchis di Syam, Sepanyol dan Sicily bergabung lalu menyerang dan menguasai Dimyat pada 568 H. Mereka melakukan kekejaman di sana. Salahuddin terpaksa meminta bantuan NURUDDIN ZANKI. Tentera Peranchis ketakutan lalu berundur dari Dimyat. Mereka dapat bermaharajalela di Dimyat selama 50 hari sahaja.
Tentera Peranchis dari Sicily cuba serang Iskandariah pada 569 H. 1500 askar marin dan 30,000 tentera lainnya dikerahkan. Tentera marin mendarat dan membunuh 7 orang Islam serta menenggelamkan kapal-kapal tentera Islam di pantai. Kemudian mereka mendirikan 300 buah khemah di tepi pantai. Salahuddin bergegas ke sana dan berjaya mengalahkan mereka.
PEMERINTAHAN SALAHUDDIN
Banyak rakyat Mesir pada zaman itu taksub kepada ahlul bait yang berada dalam Kerajaan Fatimiyyah. Kebanyakan mereka terpengaruh dengan ajarah Syiah yang ekstrem. Salahuddin yang berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah berusaha membetulkan fahaman rakyat lalu mengasaskan dua institusi pendidikan iaitu Madrasah An-Nasiriyyah dan Madrasah Al-Kamiliyyah.
Salahuddin juga menukarkan doa dan pujian kepada kerajaan Fatimiyyah dalam khutbah Jumaat kepada kerajaan Abbasiyyah. Hal ini selaras dengan kehendak NURUDDIN ZANKI yang bernaung di bawah kekhalifahan Abbasiyyah.
Ketika khalifah kerajaan Fatimiyyah iaitu Khalifah Al-Adid gering, Nuruddin desak Salahuddin kumpulkan orang-orangnya agar bermesyuarat tentang perubahan isi doa dan pujian dalam khutbah tersebut. Semua orang khuatir kalau-kalau perubahan itu nanti tidka dapat diterima oleh rakyat Mesir. Seorang yang bergelar Al-Amir Al-Alim bangun dan menyatakan kesanggupannya untuk menajdi pengkhutbah pertama melakukannya. Mengejutkan, rakyat menerima perubahan itu dengan tenang.
Apabila Khalifah Al-Adid meninggal dunia pada 567 H/ 1171 M, berakhirlah era kerajaan Fatimiyyah. Salahuddin pun diterima sebagai pemerintah sebenar Mesir. Dia memberikan layanan yang baik kepada keluarga khalifah Fatimiyyah.
Seterusnya Raja Salahuddin mengarahkan agar doa dan pujian dalam khutbah turut diberikan kepada NURUDDIN ZANKI selain kepada Khalifah Abbasiyyah. Dia juga sering menghantar hadiah kepada Nuruddin. Jelaslah bahawa hubungan Salahuddin dengan tuannya Nuruddin sangat baik.
Namun begitu ada pihak yang iri hati cuba menjadi batu api antara Salahuddin dengan Nuruddin. Hampir-hampir tercetus peperangan anatara mereka. Salahuddin tetap memberikan wala’nya (kesetiaan) terhadap Nuruddin sehinggalah Nuruddin meninggal dunia pada 569 H/ 1173 M.
SELEPAS KEMATIAN NURUDDIN ZANKI
Ketika Nuruddin Zanki meninggal dunia, anaknya AS-SALIH ISMAIL yang baru berusia 11 tahun. Pemangku yang dilantik oleh Nuruddin bernama SYAMSUDDIN AL-MIQDAM, malangnya dia tidak pandai mentadbir. Orang-orang kanan Nuruddin pula masing-masing hendak menjadi pemerintah Syam. Keadaan ini mencetuskan konflik politik di Syam.
Seorang anak saudara Nuruddin bernama SAIFUDDIN (Gabenor Mausul) memulakan kempennya. Dia berjaya menguasai wilayah-wilayah yang pernah berada di bawah Nuruddin. Namun beberapa orang amir minta bantuan Peranchis untuk mendapatkan kekuasaan.
Salahuddin faham akan situasi ini tapi dia tidak bertindak terburu-buru. Dia berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Dia mengakui ketuanan anak Nuruddin iaitu Raja Al-Salih Ismail dan terus menempa matawang yang tertera nama As-Salih Ismail serta meneruskan doa dan pujian khutbah terhadapnya.
SALAHUDDIN DATANG KE SYAM
Pemangku raja iaitu SYAMSUDDIN AL-MIQDAM berusaha untuk menyekat kekuasaan SAIFUDDIN (anak saudara Nuruddin Zanki) lalu meminta bantuan Raja Baitul Maqdis. Penduduk Damsyik cemas melihat bunga-bunga perang besar ini lalu meminta Salahuddin datang ke Syam untuk mencari penyelesaian. Salahuddin dan tenteranya pun datang ke Syam.Kehadiran Salahuddin berjaya menenangkan keadaan. Dia diberi kepercayaan oleh Syamsuddin untuk menguruskan Damsyik, pusat Syam ketika itu. Apabila keadaan sudah teratur, Salahuddin meninggalkan pentadbiran Damsyik kepada saudaranya iaitu Sauful Islam Taghtakin. Sepanjang berada di Syam, Salahuddin berjaya mengalahkan beberapa kawasan pemberontak Syiah.
Banyak pihak dengki akan Salahuddin. Oleh itu beberapa percubaan membunuhnya dilakukan tetapi semuanya gagal. Pernah satu ketika 3 orang lelaki menyamar sebagai pengawal peribadi Salahuddin dan berjaya masuk ke khemahnya. Salahuddin ditikam tapi diselamatkan oleh pakaian perangnya.
Kamasytakin ialah Gabenor wilayah Halab. Dia meminta bantuan Peranchis dalam usahanya menjatuhkan Salahuddin. Tentera Peranchis datang dengan diketuai oleh Raymond III. Tentera lari pulang kerana tidak mahu mengambil risiko.
Anak Nuruddin Zanki iaitu Raja Al-Malik Salih iri hati akan kejayaan-kejayaan Salahuddin. Dia berpakat dengan beberapa orang amir malah meminta bantuan SAIFUDDIN GHAZI (sepupunya) di Mausul. Peperangan antara mereka dengan Salahuddin tidak dapat dielakkan. Akhirnya Salahuddin memperolehi kemenangan pada 570 H.
Salahuddin mengepung Halab dalam usahanya menamatkan penentangan musuh-musuhnya. Anak perempuan NURUDDIN ZANKI yang masih kecil datang menemui Salahuddin. Salahuddin melayannya dengan sangat baik. Abangnya iaitu Raja Al-Malik As-Salih memohon damai lalu diberkenankan oleh Salahuddin yang berhati mulia.
Salahuddin pun pulang menuju Mesir. Dalam perjalanan, dia mendapat berita kematian Al-Malik As-Salih yang baru berusia 19 tahun. Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa Raja Salahuddin al-Ayyubi merupakan pemerintah sebenar Mesir dan Syam.
LANGKAH-LANGKAH SALAHUDDIN YANG LAIN
SELATAN - Tercetus perang saudaar di Yaman. Ada pula seorang yang mengakui dirinya sebagai Al-Mahdi. Salahuddin mengutuskan saudaranya, TAURAN SYAH ke Yaman. Tauran Syah berjaya membawa kedamaian. Kerajaan Ayyubiyyah memerintah Yaman selama hampir 80 tahun.
BARAT – Salahuddin sendiri membuka Barqah, Tripoli dan Kabus pada 569 H.
PUSAT – Pada 579 H, Salahuddin mengumpulkan kesemua pemerintah utama dalam muktamar Islam di Damsyik, Syam. Tujuannya ialah untuk menyatukan gerak kerja. Semua pihak bersetuju kecuali wakil Mausul. Salahuddin terpaksa menghantar tenteranya mengepung Mausul. Akhirnya pemerintah Mausul meminta damai.
Sungguhpun sudah menjadi raja besar, tetapi Salahuddin tetap mengakui ketuanan Khalifah Ababsiyyah di Baghdad, sebagaimana pada zaman Nuruddin Zanki juga. Oleh itu Salahuddin menghantar hadiah kepada Khalifah Al-Mustadi’ di Baghdad. Khalifah sangat gembira dan mengiktiraf segala kejayaan-kejayaan Salahuddin.
PERIBADI RAJA SALAHUDDIN AL-AYYUBI
Salahuddin seorang yang mudah mengalirkan air mata kerana Allah. Kerana terlalu sibuk memperjuangkan kesejahteraan umat, dia tidak sempat mengerjakan ibadah haji walaupun dia seringkali mengungkapkan kerinduannya untuk mengerjakan haji.
Salahuddin amat mementingkan ilmu pengetahuan. Dia sendiri mengajarkan pelajaran akidah kepada anak-anaknya. Dirinya sendiri mahir dalam sejarah, dunia dan sastera. Dia mampu memberikan kritkan terhadap syair-syair yang dibacakan di hadapannya. Dia berpesan kepada para pengawalnya agar menjemput masuk para ilmuwan dan ahli tasawuf yang melintas ke dalam khemahnya kerana kasihnya dia akan golongan ini.
Dikatakan Salahuddin tidak pernah meninggalkan solat berjemaah kecuali dalam 3 hari terakhir hayatnya kerana dia tidak sedarkan diri.
Raja Salahuddin Al-Ayyubi tidak punya harta. Sebab itu dia tidak pernah mengeluarkan zakat, kerana memang tidak punya harta untuk dizakatkan. Raja besar ini juga mati dalam keadaan tidak punya harta. Pernah suatu ketika Salahuddin menegaskan : “Mungkin ada dalam kalangan manusia, orang yang melihat harta dan tanah sama sahaja baginya.” Menurut Ibnu Syaddad, kata-kata ini sebenarnya ditujukan kepada dirinya sendiri.
Kita pula bagaimana??
BIBLIOGRAFI :
“Pejuang Pembaharuan – Salahuddin Al-Ayyubi” karya Abdullah Nasih Ulwan, terjemahan Basri Ibrahim, Darul Nu’man 1999
Nama sebenar beliau ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam, lahir pada tahun 63H (682M) dan meninggal dunia pada 101H (720M). Beliau adalah pemimpin @ khalifah kepada Bani Umaiyyah yang ke 6, dan telah memerintah selama 2 tahun 5 bulan.
Ayahnya adalah Abdul-Aziz bin Marwan, gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik. Ibunya adalah Ummu Asim binti Asim. Umar adalah cicit kepada Khulafa Ar-Rasyidin kedua Umar bin Khattab.
Umar bin Abdul Aziz dibesarkan di Madinah dengan bimbingan Ibnu Umar, iaitu salah seorang sahabat nabi yang paling banyak meriwayat hadis. Umar telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi serta bergaul dengan para pemuka ahli feqah dan ulama. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.
Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik (sepupunya).
Sifat-Sifat Peribadi
Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar bin Al-Khattab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.
Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.
Umar bin Abdul Aziz Sebagai Khalifah
Beliau dibai'ah / dilantik menjadi Khalifah pada tahun 98H (717M) setelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik atas wasiat khalifah tersebut. Padahal sebenarnya dia tidak mahukan jawatan itu.
Oleh kerana itu dia mengumpulkan orang-orang di masjid untuk solat berjamaah lalu berpidato. Setelah menyampaikan pujian kepada Allah dan bersalawat kepada Nabi, dalam pidatonya dia mengatakan,
“Wahai manusia! Saya telah diuji untuk menjalankan tugas ini tanpa diminta pendapat, permintaan dari saya, atau musyawarah kaum Muslimin. Maka sekarang ini saya membatalkan bai'ah yang kalian berikan kepada diri saya dan untuk selanjutnya pilihlah khalifah yang kalian suka!”
Tetapi orang-orang yang hadir dengan serempak mengatakan, “Kami telah memilih engkau wahai Amirul Mukminin. Perintah lah kami dengan kebahagiaan dan keberkatan!”
Setelah itu dia lalu menyuruh semua orang untuk bertakwa, untuk tidak menyukai dunia dan menyukai akhirat, kemudian berkata, “Wahai manusia! Barang siapa mentaati Allah, wajib ditaati, siapa yang mendurhakai-Nya tidak boleh ditaati oleh seorang pun. Wahai manusia! Taatilah saya selama saya mentaati Allah dalam memerintahmu dan jika saya mendurhakai-Nya tidak ada seorang pun yang boleh mentaati saya.” Lalu dia turun dari mimbar.
Kenyataan Khalifah Abdul Aziz yang terakhir di atas iaitu agar taat kepadanya selagi dia taat pada Allah, dan jangan taat padanya jika dia tidak taat kepada Allah, adalah sama sepertimana yang diucapkan oleh Saidina Abu Bakar ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Kata-kata Saidina Abu Bakar seperti berikut;
".....Patuhilah aku selama aku mematuhi Allah dan rasulnya. tetapi jika aku tidak mematuhi keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku......" (Al Bidayah Wan Nihayah - Imam Ibnu Katsir, mengatakan sanadnya adalah sahih).
Maka kita tanya diri kita sekarang, adakah kerajaan dalam negara kita sekarang ini mematuhi Allah? Sedangkan Hukum Hudud yang wajib dan diperintahkan di dalam AlQuran pun satu habuk kita tidak laksanakan.
Hari kedua dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum. Dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad s.a.w dan tiada kitab selepas alQuran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah”
Beliau kemudian duduk dan menangis "Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku" sambung Umar Ibn Abdul Aziz.
Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau menjawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ (orang-orang fakir) kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah s.a.w." Isterinya juga turut mengalirkan air mata.
Setelah mengambil-alih tampuk pemerintahan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem feudal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :
1) Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali bin Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran
2) Merampas kembali harta-harta yang disalah-gunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal
3) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalah-gunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah
4) Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.
Selain daripada itu, beliau amat mengambil-berat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.
Beliau juga amat menitik-beratkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjamaah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan para Khulafa' Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad bin Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Suryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.
Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab, yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.
Hari-hari terakhir Umar bin Abdul Aziz
Ketika menjelang sakaratul mautnya, umat Islam datang berziarah melihat kedhaifan hidup khalifah sehingga ditegur oleh menteri kepada isterinya, "Gantilah baju khalifah itu", dibalas isterinya, "Itu saja pakaian yang khalifah miliki".
Apabila beliau ditanya “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mau mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?”
Umar Abdul Aziz menjawab: "Apa yang ingin kuwasiatkan? Aku tidak memiliki apa-apa."
"Mengapa engkau tinggalkan anak-anakmu dalam keadaan tidak memiliki?"
"Jika anak-anakku orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak mahu meninggalkan hartaku di tangan orang yang mendurhakai Allah lalu menggunakan hartaku untuk mendurhakai Allah."
Pada waktu lain, Umar bin Abdul Aziz memanggil semua anaknya dan berkata: "Wahai anak-anakku, sesungguhnya ayahmu telah diberi dua pilihan, pertama: menjadikan kamu semua kaya dan ayah masuk ke dalam neraka, kedua: kamu miskin seperti sekarang dan ayah masuk ke dalam syurga (kerana tidak menggunakan wang rakyat). Sesungguhnya wahai anak-anakku, aku telah memilih syurga." (beliau tidak berkata : aku telah memilih kamu susah)
Anak-anaknya ditinggalkan tidak berharta dibandingkan anak-anak gabenor lain yang kaya. Setelah kejatuhan Bani Umayyah dan masa-masa selepasnya, keturunan Umar bin Abdul Aziz adalah golongan yang kaya berkat doa dan tawakkal Umar bin Abdul Aziz.
Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. Menurut riwayat, beliau meninggal kerana dibunuh (diracun) oleh pembantunya.
2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan, tetapi Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat. Kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri.
Semua ini adalah jasa Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini. Hanya dalam masa 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredhai Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman. satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan orang yang benar-benar ikhlas!
Kesimpulan
Marilah sama-sama kita berusaha untuk melantik Perdana Menteri yang berjiwa seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, yang mana tidak KEDUNIAAN , ZUHUD serta TAWADHU'. Dan membahagikan kekayaan negara sama rata di kalangan rakyat. Adakah anda rasa itu mustahil? Tidak sama sekali sebenarnya. Janji ada kehendak, doa dan usaha, kemudian tawakkal pada Allah s.w.t.
Sedangkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz boleh lakukan di zamannya, mengembalikan kegemilangan zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, apa lagi kita di zaman sekarang yang penuh kemudahan dan teknologi. Yang menjadi masalah ialah semangat dan keyakinan kita saja yang kurang. Adakah kita hanya mahu menjadi PEMBACA kepada kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz tanpa mahu mengambil iktibar dan cuba lakukan sedemikian juga?
Ingatlah, jika kekayaan dibahagi sama rata, maka tidak akan wujud hasad dengki, rompakan, curi, ragut, pecah rumah, bunuh-membunuh kerana harta dan seumpamanya. Tidakkah anda nampak itu aman seamannya? Dan kepada golongan kaya raya yang makin mahu menambah kekayaan, untuk apa kamu mahu bertambah kaya lagi? Untuk menunjuk-nunjuk hebat di dunia yang sementara ini? Adakah kamu boleh hidup selamanya di atas dunia ini? Berapa tahun sangat umur kamu dapat bertahan? Sedarlah dan jelirlah kepada bisikan-bisikan syaitan yang menghasut nafsu kita agar tidak pernah puas dengan kekayaan yang sedia ada.
Buat apa kaya-raya sedangkan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan? Bimbang harta dirompak, diragut, dirampas, anak kena culik, isteri kena culik, dikhianat dan sebagainya.
Jika kita teruskan dengan konsep dan kaedah yang ada sekarang ini, maka orang kaya akan terus bertambah kaya, dan yang miskin akan tersepit dan makin terkepit. Dan apabila disebut agar berusaha agar rakyat sama kaya semuanya, akan ada lah mulut-mulut 'mengada' yang mengatakan "tu nak suruh rakyat agar malas berusaha lah tu". Atau pun "ini nak suruh kerajaan beri subsidi selalu lah ni". Orang yang cakap begitu biasanya hanya fikir tentang 'perut' sendiri tetapi tidak menghayati dan memahami kesusahan yang dialami oleh saudara-saudara kita yang miskin dan susah di luar sana.
“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadith Riwayat Bukhari)
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” (Hadith Riwayat Bukhari)
Sedarlah, tidak semestinya semua usaha lebih dan rajin itu akan menjadi kan seseorang itu KAYA. Kadang-kadang, orang yang berusaha lebih, dia tetap miskin. Kadang-kadang orang berusaha sikit saja, tapi dia dah jadi kaya raya. Adakalanya orang-orang bawahan dia yang penat lelah mengkayakan dia.
Sedarlah, kekayaan dan kemiskinan itu adalah REZEKI dan UJIAN dari Allah s.w.t. Dia mahu uji dan tengok kita setakat mana kesabaran dan ketahanan kita digoda oleh harta benda. Hinggakan ada kalanya manusia merasakan harta benda itu dia sendiri yang punya, hingga langsung tidak sedar banyaknya AMANAH yang ada dalam hartanya yang nanti akan dipersoalkan di Hari Kiamat kelak.
“Ketahuilah oleh kalian, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kalian serta berbangga-banggaan dengan banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang kerananya tumbuh tanam-tanaman yang membuat kagum para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning lantas menjadi hancur, dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya, dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadid : Ayat 20)