Friday, 28 October 2011

NIKAH dan PERKAHWINAN(2)

Jenis-jenis perkahwinan
* Poligami adalah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita. Ia diamalkan oleh hampir kesemua bangsa di dunia ini. Mereka mengamalkan poligami tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di negara China yang membolehkan perkahwinan sehingga 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, poligami dibenarkan tanpa batas dan menurut Islam, poligami hanya dibenarkan sehingga empat orang isteri dengan syarat-syarat yang tertentu.

* Poliandri merupakah perkahwinan yang berlaku antara seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki (konsep songsang dari poligami). Perkahwinan ini sangat jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan masyarakat jahiliah Arab. Contohnya masyarakat Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, wanita itu menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini merujuk kepada kitab Mahabhrata.

* Monogami merupakan cara perkahwinan tunggal iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja. Sesetengah agama seperti Kristian mengamalkan perkahwinan jenis ini kerana menganggap perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah untuk sepanjang zaman. Oleh kerana itulah penceraian tidak diiktiraf sama sekali (seperti mazhab Katolik).

Pernikahan yang sah menurut syarak adalah pernikahan yang cukup rukun dan syaratnya. Rukun nikah terbahagi kepada lima perkara iaitu :
1.     Suami
2.     Isteri
3.     Wali
4.     Dua orang saksi (lelaki yang adil )
5.     Akad ( Ijab dan Qabul )

Syarat akad nikah pula ialah :
1.     Ijab dan qabul berlaku dalam satu majlis.
2.     Ucapan qabul tidak menyalahi ijab.
3.     Bahasa yang digunakan jelas maksudnya dan difahami oleh wali, bakal suami dan dua orang saksi.
4.     Di antara ijab dan qabul tidak diselangi dengan kata-kata yang lain.
Hukum Berkahwin


Hukum berkahwin atau nikah boleh berubah-ubah demi menjaga maslahah tertentu. Hukum berkahwin ini terbahagi kepada lima iaitu :

* Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

* Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

* Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

* Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, samaada ia kaya atai tiada nafsu yang kuat.

* Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.


Rujukan, 

1. Aimi Bin Hamzah, Mohd Haidir Bin Haji Mohd Isa, Mohd Shah Bin Ujang, Buku Teks Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 5, KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Iqbal Al-Qaireen, Taubat, Oktober 2011.

NIKAH dan PERKAHWINAN


Nikah atau perkahwinan adalah sesuatu yang dikatakan sebagai ikatan untuk menyatukan sepasang lelaki dan perempuan, dan seterusnya dapat hidup bersama. Adapun nikah juga dibahagikan kepada dua maksud iaitu maksud dari segi bahasa, dan maksud dari segi istilah syarak.

Maksud dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.

Maksud dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

Nikah atau perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW dan digalakkan dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :


Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golongan umatku". ( HR : Ibnu Majah )

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mengeluarkan belanja pernikahan(memberi nafkah untuk isteri dan anak-anak), maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa tidak mampu menikah maka berpuasalah, kerana hal itu baginya adalah pelemah syahwat.” .
( HR : Bukhari & Muslim )

Justeru daripada kedua-dua hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa nikah atau perkahwinan adalah satu perkara yang amat dituntut oleh syarak. Ini demi menjaga maruah diri dan Islam, disamping menambahkan bilangan umat dengan lahirnya anak-anak kelak. Bahkan Allah SWT menjamin kebahagiaan hidup untuk mereka yang bernikah kerana mengikut perintah-Nya dan memenuhi sunnah Rasul-Nya.


Firman Allah SWT :

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki, dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An-Nuur, 24: 32)

Imam Ibnu Khatsir rahimahullah memetik perkataan Ali bin Abi Thalib ra. ke dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa:
“Allah memberi galakkan kepada manusia untuk bernikah. Allah memerintahkan nikah kepada orang-orang yang berstatus merdeka mahu pun hamba sahaya. Allah berjanji kepada mereka akan memberikan kecukupan atau kemampuan untuk menikah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Khatsir)

Bahkah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. , Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka, iaitu orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya, hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya (kerana Allah), orang yang berperang di jalan Allah.”
( HR : Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

HIKMAH PERNIKAHAN

Pernikahan yang amat dituntut oleh syarak semestinya mempunyai banyak hikmah, sama ada kepada individu, keluarga mahupun masyarakat. Antara hikmah-hikmah pernikahan adalah :

1. Dapat menyalurkan naluri seksual dengan cara sah dan terpuji. Bagi manusia, naluri tersebut sangat kuat dan keras, serta menuntut adanya penyaluran yang baik. Jika tidak, dapat mengakibatkan kegoncangan dalam kehidupannya. Dengan perkahwinan, kehidupan manusia menjadi segar dan tenteram serta terpelihara dari perbuatan keji dan zina.


2. Memelihara dan memperbanyak keturunan dengan terhormat, sehingga dapat menjaga kelestarian hidup umat manusia.

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
 ( Surah An-Nisa' : 1)

“Allah menjadikan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat Allah?".
 ( Surah An-Nahl : 72)


3. Naluri keibuan dan kebapaan akan saling melengkapi dalam kehidupan rumahtangga bersama anak-anak. Hubungan itu akan menumbuhkan rasa kasih sayang, sikap jujur, dan keterbukaan, serta saling menghargai satu sama lain sehingga akan meningkatkan kualiti hidup seorang manusia. 


4. Melahirkan organisasi (team) yang mantap dengan pembahagian tugas/tanggungjawab tertentu, serta melatih kemampuan bekerjasama. Tugas mengatur rumahtangga termasuk memelihara dan mendidik anak yang umumnya menjadi tugas utama suami dan tentunya harus bekerjasama dengan isteri. Mencari nafkah yang menjadi kewajiban suami juga dapat dibantu oleh isterinya, pengelolaan kewangan yang sebaiknya menjadi bahagian dari isteri, namun dengan izin suami dalam pembelanjaannya. Ini semua meningkatkan sikap disiplin, rajin, kerja keras, syukur, sabar, dan tawakal. 


5. Terbentuknya tali kekeluargaan dan silaturahim antara keluarga, sehingga memupuk rasa tanggungjawab sosial dan dapat membentuk masyarakat yang kuat serta bahagia. 



Rujukan, 

1. Aimi Bin Hamzah, Mohd Haidir Bin Haji Mohd Isa, Mohd Shah Bin Ujang, Buku Teks Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 5, KBSM, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abu Iqbal Al-Qaireen, Taubat, Oktober 2011.

Wednesday, 26 October 2011

Wajah Mayat Menjadi Himar

"Dalam terik panas mentari yang memancar menyinari tanah Baitul Haram, seorang ulama zuhud yang bernama Muhammad Abdullah al-Mubarak keluar dari rumahnya untuk menunaikan ibadah haji. Di sana dia leka melihat seorang pemuda yang asyik membaca selawat dalam keadaan ihram. Malah di Padang Arafah dan di Mina pemuda tersebut hanya membasahkan lidahnya dengan selawat ke atas Nabi. "Hai saudara," tegur Abdullah kepada pemuda tersebut. "Setiap tempat ada bacaannya tersendiri. Kenapa saudara tidak membanyakkan doa dan solat sedangkan itu yang lebih dituntut? Saya lihat saudara asyik membaca selawat saja."

"Saya ada alasan tersendiri," jawab pemuda itu. "Saya meninggalkan Khurasan, tanahair saya untuk menunaikan haji bersama ayah saya. Apabila kami sampai di Kufah, tiba-tiba ayah saya sakit kuat. Dia telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya sendiri. Dengan kain sarung yang ada, saya tutup mukanya. Malangnya, apabila saya membuka semula kain tersebut, rupa ayah saya telah bertukar menjadi himar. Saya malu. Bagaimana saya mahu memberitahu orang tentang kematian ayah saya sedangkan wajahnya begitu hodoh sekali?

"Saya terduduk di sisi mayat ayah saya dalam keadaan kebingungan. Akhirnya saya tertidur dan bermimpi. Dalam mimpi itu saya melihat seorang pemuda yang tampan dan baik akhlaknya. Pemuda itu memakai tutup muka. Dia lantas membuka penutup mukanya apabila melihat saya dan berkata, "Mengapa kamu susah hati dengan apa yang telah berlaku?" "Maka saya menjawab, "Bagaimana saya tidak susah hati sedangkan dialah orang yang paling saya sayangi?"

"Pemuda itu pun mendekati ayah saya dan mengusap wajahnya sehingga ayah saya berubah wajahnya menjadi seperti sediakala. Saya segera mendekati ayah dan melihat ada cahaya dari wajahnya seperti bulan yang baru terbit pada malam bulan purnama. "Engkau siapa?" tanya saya kepada pemuda yang baik hati itu. "Saya yang terpilih (Muhammad)." "Saya lantas memegang jarinya dan berkata, "Wahai tuan, beritahulah saya, mengapa peristiwa ini boleh terjadi?"

"Sebenarnya ayahmu seorang pemakan harta riba. Allah telah menetapkan agar orang yang memakan harta riba akan ditukar wajahnya menjadi himar di dunia dan di akhirat. Allah telah menjatuhkan hukuman itu di dunia dan tidak di akhirat. "Semasa hayatnya juga ayahmu seorang yang istiqamah mengamalkan selawat sebanyak seratus kali sebelum tidur. Maka ketika semua amalan umatku ditontonkan, malaikat telah memberi tahu keadaan ayahmu kepadaku. Aku telah memohon kepada Allah agar Dia mengizinkan aku memberi syafaat kepada ayahmu. Dan inilah aku datang untuk memulihkan semula keadaan ayahmu."

Sumber :
Kisah teladan

Sunday, 23 October 2011

SAJAK : Jantung Agama

Tuhan,
Kau ciptakan jantungku dan jantungnya sebegini.,
Kau jadikan jantungku dan jantungnya sebegini,
Kau biarkan jantungku dan jantungnya sebegini..,

Tuhan,
Kau biarkan ia berdegup lemah,
Membawa darah yang mengandung beribu hikmah,
Sebagai daie yang menjunjung amanah...,

Tuhan,
Jangan biarkan kami,
Jangan biarkan kami,
Jangan biarkan kami......,
Berikan kami kekuatan,
Berikan kami kasih sayang,
Berikan kami halawah iman..

Ya Tuhan, Ya Tuhan, Ya Tuhan...,
Rintihan hamba penyejuk jiwa,
Melupakan seketika hati yang lara,
Hamba ini banyak berdosa,
Hamba ini banyak berdosa,
Hamba ini banyak berdosa,
Kelak hamba akan binasa...
Allah, Allah, Allah....,
Selamatkanlah hamba...

Allah....,
Aku ini sangatlah lemah,
Tidak mampu memikul amanah,
Lalu Kau bawa aku ke makam Hamzah,
Yang jantungnya habis dilapah,
Dek Hindun si musuh ummah,
Demi menegakkan kalimah Allah!!

Rabbi, Rabbi, Rabbi...,
Jangan biarkan aku sebegini,
Lemah lagi, lagi dan lagi,
Bekalkan hamba kekuatan diri,
Buat menempuh hari demi hari,
Hingga bertemu pada-Mu Ilahi...

(Abu Al-Qaireen, Uhud, Madinah, 23 Ramadhan 1432H, 0430)

Thursday, 13 October 2011

ZIKRULLAH

Apa maksud Zikrullah?

Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Antara perkara yang termasuk di dalam Zikrullah ialah : 

1. Menuntut ilmu, untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah, mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan, makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.

Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.

Faedah Zikrullah (mengingati Allah)

Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;

“Maka ingatlah kepada-Ku nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. ( Al-Baqarah: 152 )

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berpesan;

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. ( HR : Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah SWT berfirman,maksudnya :

“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. ( Ar-Ra’d : 28 )

Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis : 

مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. ( HR : Bukhari, dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Kerana pentingnya mengingati Allah, maka Al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah : 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. ( Al-Munafiqun: 9 )

Kesan zikrullah terhadap hati

Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah :


 “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. 


Maksud beliau ialah, ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati, hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata : 


“Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)

Berkata Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepada-Nya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaan-Nya. Hati selamanya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).





Disediakan,
1. Abu Iqbal Al-Qaireen daripada Syeikh Ahmad Adnan, Taubat, Oktober 2011.

Sunday, 9 October 2011

HAKIKAT PENYAKIT HATI

Allah menerangkan tentang golongan orang munafik dalam Al-Quran pada ayat-ayat berikut :

Dalam hati mereka ada penyakit syak wasangka, lalu Allah menambahkan penyakit tersebut ke atas mereka”. ( Al-Baqarah : 10 )

Firman-Nya lagi :

Supaya dia menjadikan halangan syaitan itu, sebagai ujian bagi orang-orang yang di dalam hatinya terdapat penyakit”. ( Al-Hajj : 53 )

Firman Allah dalam menasihati kaum wanita, maksudnya :

Hai perempuan-perempuan Nabi(isteri-isteri Nabi), kamu bukan seperti seorang di antara perempuan-perempuan lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu terlalu lemah lembut ( dalam mengucapkan) perkataan, nanti orang-orang yang di dalam hatinya terdapat penyakit ragu-ragu akan terangsang syahwatnya kepada kamu.” ( Al-Ahzab : 32 )

Dalam ayat tersebut Allah melarang kepada kaum wanita agar tidak melembutkan suara sehingga menimbulkan ransangan syahwat kepada kaum lelaki. Dalam pada itu lelaki yang mudah terangsang nafsunya terhadap wanita sekalipun hanya melalui suaranya telahpun digolongkan sebagai orang yang menderita penyakit hati. Allah berfirman lagi :

“Demi jika orang-orang munafik dan orang-orang yang dalam hati mereka terdapat penyakit dan orang-orang yang menyiarkan khabar bohong dalam perkataan mereka (mereka semua berhenti dari memfitnah kamu), nescaya kami kuasakan untuk mengusir mereka..”. (Al-Ahzab : 60 )

Terdapat satu ayat lagi yang Allah menerangkan tentang orang-orang yang dijangkiti penyakit hati. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Kami tidak adakan penjaga mereka itu melainkan(dengan mengutus) malaikat-malaikat, dan Kami tidak jadikan bilangan mereka melainkan untuk ujian terhadap orang-orang kafir, dan supaya ahli kitab bertambah yakin, dan orang-orang yang beriman bertambah keimanannya, sehingga mereka tidak ragu-ragu lagi, dan agar orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir berkata : ‘Apakah maksud Allah membuat contoh ( bilangan malaikat yang Sembilan belas) ini?’.” (Al-Mudassir : 31 )

Dengan ayat di atas Allah menerangkan tentang hikmah-hikmah disebalik Dia menjadikan malaikat-malaikat penjaga neraka(19 jumlahnya). Di dalamnya terdapat 5 hikmah iaitu sebagai ujian(fitnah) ke atas orang kafir,kerana dengan demikian mereka tidak percaya sama sekali,bahkan bertambah keingkaran dan kesesatan mereka. Kedua, bertambah kuat keyakinan ahli kitab, kerana berita tersebut juga sama seperti apa yang telah disampaikan oelh nabi-nabi mereka yang terdahulu dalam kitabnya masing-masing. Ketiga,keimanan kaum mukmin bertambah kuat,dan keempat, hilanglah keraguan dalam hati orang-orang mukmin dan ahli-ahli kitab.
Adapun hikmah yang kelima adalah satu kebingungan pada orang kafir dan juga orang-orang yang di dalam hatinya terdapat penyakit , terhadap tujuan Allah menciptakan 19 malaikat yang menjaga neraka. Mereka ini tidak dapat memahami tujuan Allah. Bahkan mereka bertambah sesat.

Sehubungan dengan hati yang menderita sakit, Allah SWT telah menunjukkan cara-cara untuk mengubatinya sehingga menjadi sihat dan hidup dalam ketenangan. Allah berfirman :

Wahai sekalian manusia, sesunguhnya telah dating kepadamu satu pengajaran(nasihat) dari Tuhanmu dan menyembuhkan apa-apa(penyakit) dalam dada(hati), ianya juga merupakan petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” ( Yunus : 57 )

Nasihat yang dating iaitu Al-Quran adalah satu-satunya ubat bagi penyakit-penyakit hati, yang mungkin berupa kejahilan dan kesesatan. Ini kerana kejahilan itu adalah salah satu jenis penyakit, dan ubatnya adalah ilmu pengetahuan(tauhid) dan hidayah. Kesesatan juga adalah penyakit,dan penawarnya adalah petunjuk. Dan Al-Quran adalah ubat yang paling baik kerana di dalamnya penuh dengan ilmu dan petunjuk(hidayah).
Dengan demikian, Allah SWT telah menjadikan kalam-Nya(Al-Quran) sebagai penasihat bagi sekalian manusia. Dia menjadikannya sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang yang mengimaninya, dan Dia juga menjadikannya sebagai ubat penyembuh bagi semua jenis penyakit hati. Sesiapa yang menggunakan Al-Quran sebagai ubat, nescaya akan sembuh dari penyakitnya dan sihatlah hatinya. Ini sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud :

Kami turunkan di antara Al-Quran sesuatu yang menyembuhkan(penyakit hati) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, tetapi yang demikian tiada berkesan terhadap orang-orang yang zalim melainkan hanya menambahkan kerugian”. ( Al-Isra’ : 82 )

Rujukan.

1. Dipetik daripada kitab Ighasatul Lahfan Mim Masoyidis Syaitan, karya Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah ( 691-751H), diterjemah oleh Muhammad Al-Qaireen dan Muhammad Al-Husni.

Saturday, 1 October 2011

RIWAYAT HIDUP RINGKAS UMAR AL-KHATTAB

Nama sebenar Umar Al-Khattab ialah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah Bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin Adi bin Kaab. Beliau berketurunan Arab Quraisy dari kabilah Bani Adi. Umar Al-Khattab terkenal dengan sikap bengisnya. Beliau terkenal kejam dan dilantik sebagai duta kaumnya untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Pengikut dari kabilah lain juga amat takut pada Umar. Malah,sebelum memeluk Islam, Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Ini adalah pengakuan beliau sendiri kepada para sahabat setelah beliau memeluk Islam.

Nabi berdoa supaya Islam dikuatkan oleh salah seorang dari 2 Umar

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian Rasulullah SAW. Pada waktu itu beliau berumur 27 tahun. Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar adiknya,Fatimah membaca Al-Quran,Surah Toha ayat 1-9 (sesetengah riwayat mengatakan Surah Toha ayat 1-5). Walau bagaimanapun, tindakan Umar memeluk Islam benar-benar telah menggemparkan masyarakat Quraisy. Ini disebabkan sebelumnya Umar adalah antara penentang kuat kepada ajaran Islam, bersama dengan Abu Jahal yang memang tidak dinafikan kebenciannya pada Islam. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Berkat doa Rasulullah SAW, Umar telah diberikan hidayah untuk menerima Islam.

Rasulullah SAW berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Amr bin Hisyam( Umar bin Hisyam@Abu Jahal)".( HR : At-Thabarani)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Thabrani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab".

Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar".

Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?"

Jawab Rasulullah SAW : "Benar"
Aku berkata lagi : "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?"
Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua saf, satu aku dan satu lagi Saidina Hamzah. 



Maka semua orang kafir Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq.

Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Umar mencabar kafir Quraisy menghalangnya dari berhijrah ke Madinah.

Ketika perintah Allah supaya umat Islam yang ketika itu dipulaukan oleh penduduk kafir Quraisy berhijrah ke Yathrib, ramai dikalangan umat Islam takut untuk berhijrah. Ada yang tidak mahu meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang tidak sanggup berpisah dengan sanak saudara. Dan paling ramai kerana takut dibunuh kafir Quraisy yang menghalang disetiap sempadan negeri Makkah. Jika ada umat Islam yang keluar pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar sendiri berhijrah secara sembunyi. Namun keberanian Umar Al-Khattab mengatasi segalanya. Beliau dengan nekad akan menyahut seruan Nabi SAW untuk berhijrah ke Yathrib.

Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya. Kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati,apalagi untuk bertanya sesuatu kepada Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat. Selesai solat, Umar berdiri di sisi Makam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kafir Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini”. 

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata. 

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajak mereka beradu senjata. 

Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan. 

Umar menjadi khalifah

Pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi, Saidina Umar Al-Khattab telah dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua. Pelantikannya telah dicadangkan sendiri oleh Abu Bakar sebelum meninggal dunia. Para sahabat yang lain mengikut cadangan Abu Bakar kerana Umar sememangnya pilihan yang tepat untuk menjadi pemimpin Islam. Islam begitu gemilang di bawah pemerintahan Umar. Jajahan takluk Islam juga begitu luas sehingga ke Eropah dan melebihi separuh dari dunia.

Selama pemerintahan Umar, kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat. Islam mengambil alih Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari tangan dinasti Sassanid serta mengambil alih Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia dari pemerintahan Romawi (Byzantium).

Sejarah mencatat banyak pertempuran besar yang menjadi awal penaklukan ini. Pada pertempuran Yarmuk, yang terjadi di Damaskus pada tahun 636 M, 20 ribu pasukan Islam mengalahkan pasukan Romawi yang mencapai 70 ribu dan mengakhiri kekuasaan Romawi di Asia Kecil bahagian selatan. Pasukan Islam lainnya dalam jumlah kecil mendapatkan kemenangan atas pasukan Parsi dalam jumlah yang lebih besar pada pertempuran Qadisiyyah (tahun 636M), di sungai Eufrat. Pada pertempuran itu, jeneral pasukan Islam yakni Sa`ad bin Abi Waqqas mengalahkan pasukan Sassanid dan berhasil membunuh jeneral Parsi yang terkenal, Rustam Farrukhzad.

Pada tahun 637M, setelah pengepungan yang lama terhadap Yerusalem, pasukan Islam akhirnya mengambil alih kota tersebut. Saidina Umar diberikan kunci untuk memasuki kota oleh pendeta Sophronius dan diundang untuk solat di dalam gereja (Church of the Holy Sepulchre). Umar memilih untuk solat ditempat lain agar tidak membahayakan gereja tersebut. 55 tahun kemudian, Masjid Umar didirikan ditempat beliau solat.

Pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Jabatan-jabatan penting telah ditubuhkan. Beliau juga telah mewajibkan zakat ke atas kuda. Kalendar Islam telah diperkenalkan oleh Umar mengikut Tahun Hijrah. Malah pengumpulan nasakh Al-Quran juga bermula pada zaman ini,kerana Umar menyedari semakin ramai hafiz yang gugur syahid di medan perang. Begitu banyak kemajuan yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar.

Saidina Umar, berjalan di malam hari untuk mengetahui derita rakyatnya.

Pada suatu malam, ketika Umar berjalan melihat keadaan rakyatnya bersama seorang pembantu melalui lorong-lorong kota Madinah, mereka bertemu dengan seorang wanita dan anak-anaknya duduk mengelilingi periuk besar di atas api. Anak-anak itu mengeluh kelaparan. Lalu Khalifah Umar mendekati keluarga itu bertanya kepada ibu itu apa yang terjadi, maka ibu itu menjawab anak-anaknya kelaparan kerana sudah 2 hari mereka tidak makan, yang dimasaknya hanyalah air dan batu supaya anak-anaknya boleh menunggu hingga tertidur. Umar bertanya kepada ibu tadi kenapa tidak diberitahu kepada Khalifah Umar?. Maka berkatalah ibu tadi: “Seharusnya dialah yang tahu keadaan kami, dia punya kuda dan juga ribuan tentera, seharusnya dia tidak boleh tidur nyenyak dirumahnya sementara rakyatnya seperti kami ini kelaparan dan kedinginan”, tanpa dia mengetahui orang yang ada dihadapannya adalah Khalifah Umar.

Mendengar jawapan itu Saidina Umar terus ke gudang menyimpan gandum dan mengambil satu karung gandum bersama minyak samin. Saidina Umar mengendong sendiri gandum dan minyak itu walaupun pembantunya melarang dan ingin membantunya membawa barangan tersebut. Umar berkata: "Apakah kamu ingin memikul dosaku di hari kiamat kelak?" , kemudian Umar ke tempat wanita itu membawa barangan tersebut dan menghidupkan api serta memasak gandum yang dibawa bersamanya. Kemudian Saidina Umar r.a meminta perempuan tersebut mengejut anak-anak nya untuk makan makanan yang telah dimasaknya,sebelum berlalu Saidina Umar meminta wanita itu datang ke pejabat khalifah untuk mendapatkan bantuan segera, pagi harinya wanita itu pergi ke pejabat khalifah dan dia sangat terkejut kerana orang yang membantunya semalam adalah Saidina Umar bin Al-Khattab.

Begitu juga kisah Umar berjalan di malam hari, pada suatu ketika Umar r.a sangat tertarik dengan seorang anak gadis yang enggan mencampurkan susu dengan air kerana takutkan Allah. Bahkan Umar melamar gadis itu untuk puteranya,Ashim bin Umar.

Tangisan Khutbah Saidina Umar, mimpi Saidina Umar dan kematiannya.

Pada suatu hari dalam tahun 23 Hijrah, Saidina Umar yang sedang memberikan khutbah Jumaat dengan tidak semena-mena menangis. Para sahabat kehairanan, namun membiarkan Umar menangis kerana tidak mahu mengganggu khutbah beliau. Selepas solat Jumaat, para sahabat bertanya kepada Umar kenapa beliau menangis secara tiba-tiba. Saidina Umar menceritakan perihal mimpinya kepada sahabat yang bertanya. Saidina Umar mengatakan dia akan sentiasa redha dengan apa yang akan berlaku. Kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama dengan orang yang bertakwa.

Pada suatu malam, Saidina Umar telah bermimpi kakinya dipatuk ular sebanyak 3 kali. Umar yang berasa pelik dengan mimpi itu lantas berjumpa dengan Jaafar bin Abi Talib r.a. kerana isteri Jaafar yakni Asma’ binti Umais terkenal dengan kebolehannya mentafsir mimpi.(Ada riwayat yang mengatakan ketika itu Asma’ adalah janda Jaafar,bukan isterinya). Mengikut tafsiran Asma’ binti Umais, Saidina Umar akan ditikam sebanyak tiga kali dan beliau mungkin akan terkorban kerana itu.

Umar pulang ke rumah setelah mendengar perkabaran itu. Pada keesokkan harinya, iaitu sabtu. Umar menjadi imam bagi solat subuh (pada zaman itu pemimpin negara adalah pemimpin dalam setiap solat). Pada hari sabtu, kebiasaannya Saidina Umar akan membaca Surah Yusuf pada rakaat pertama. Sehingga sampai pada ayat 84 yang berkisarkan kisah Nabi Ya’kub yang bersedih kerana kewafatan Yusuf yang terbunuh, Umar kembali menangis untuk beberapa ketika. Kemudian, Umar rukuk dan pada ketika inilah datangnya Abu Lukluk, seorang hamba yang baru dimerdekakan meluru ke arah Saidina Umar dan menikam sebanyak tiga kali. Hamba tersebut menikam belakang Saidina Umar. Crut! Tikaman yang pertama. ALLAHUAKBAR! Itulah lafaz yang keluar dari mulut Saidina Umar. Crut! Tikaman yang kedua. ALLAHUAKBAR! Crut! Tikaman yang ketiga. ALLAHUAKBAR! Umar tetap mengagungkan Allah walaupun dalam kesakitan.

Abu Lukluk melarikan diri, Umar cuba meneruskan solatnya. Sami’allahulimanhamidah. Umar cuba untuk bangun Iqtidal. Dan ketika itu Umar terus rebah. Abdul Rahman bin Auf yang solat dibelakangnya berijtihad untuk meneruskan solat, Abdul Rahman lantas mara kehadapan menggantikan Umar sebagai Imam pada pagi itu. Beberapa sahabat yang lain membatalkan solat mereka untuk membantu Umar, beberapa yang lain berusaha mengejar Abu Lukluk, tetapi Abu Lukluk berjaya melarikan diri.

Beberapa ketika sahabat yang lain cuba membantu Saidina Umar Al-Khattab, namun takdir Allah telah menentukan Saidina Umar meninggal dunia ketika itu juga. Begitulah syahidnya seorang pembela Islam yang unggul. Syurga menanti kedatangan, kerana jika beliau tidak syahid sekalipun, Saidina Umar sememangnya salah seorang sahabat yang dijamin masuk syurga. Subhanallah.

Rujukan,

1. Diceritakan oleh Mohamad Izwan Ismail dalam tulisannya (https://www.facebook.com/note.php?note_id=190465410998780) pada 08 April 2011.