Monday 18 July 2011

RAMADHAN AL-MUBARAK

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.. Alhamdulillah,segala puja dan puji hanya untuk Allah,Tuhan Pentadbir sekalian alam. Dikesempatan yang diberikan Allah kepada saya pada hari ini,saya ingin menulis tentang bulan Ramadhan,bulan kesembilan dalam kalendar Hijriah.

Pada bulan Ramadhan,seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah,ayat ke 183.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa,sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu,agar kamu bertakwa”. (Al-Baqarah : 183)

Puasa dari segi istilahnya ialah, menahan diri dari lapar dan dahaga,serta perkara-perkara yang membatalkan puasa,bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Namun begitu,puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi umat Islam dituntut untuk turut menjaga akhlak dan tingkah laku mereka. Bulan Ramadhan juga disebut sebagai bulan tarbiyah kerana pada bulan ini,umat Islam berpeluang memperbaiki diri dengan menjaga mata,percakapan mahupun perbuatan dalam seharian. Malah setiap amalan yang dilakukan akan dilipat gandakan pahala mereka.



Melihat Anak Bulan Ramadhan(Hilal)

Ada dua cara untuk menentukan kedatangan Ramadhan,ianya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda “Berpuasalah kamu dengan melihat hilal dan berbukalah kamu dengan melihatnya. Jika awan menutup kamu, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban 30 hari”. 
( HR : Bukhari & Muslim )


Daripada hadis di atas, dapat difahami dengan jelas bahawa cara menentukan ketibaan Ramadhan adalah :
1)Melihat anak bulan
2)Hisab (kiraan hari)

Setiap Muslim diperintahkan untuk mengetahui masuknya bulan Ramadhan secara pasti. Diantara cara mengetahuinya ialah dengan melihat masuknya hilal. Hilal ialah anak bulan Ramadhan yang terlihat di kaki langit seperti alis mata. Kadangkala hilal ini tidak dapat dilihat dengan mata atau dengan alat teropong kerana tertutup oleh awan atau hujan yang terlalu lebat. Jika terjadi perkara seperti ini, maka kaum Muslimin yang mana di tempat mereka tidak dapat melihat hilal itu diperintahkan untuk menggenapkan bilangan bulan Sya’ban(bulan sebelum bulan Ramadhan) menjadi 30 hari.

Cara lain untuk mengetahui masuknya bulan Ramadhan adalah dengan hisab. Hisab ialah menghitung peredaran bulan dan mengetahui posisi bulan pada setiap awal dan akhir bulan, sehingga dapat diketahui tibanya awal bulan Ramadhan. Cara hisab ini lebih mudah untuk mengetahui masuknya awal bulan Ramadhan daripada dengan melihat hilal.

Kedua cara tersebut boleh dipakai. Akan tetapi, cara dengan melihat hilal lebih diutamakan. Jika menurut perhitungan hisab tibanya awal Ramadhan lebih kemudian daripada terlihatnya hilal, maka kita wajib mengawali puasa berdasarkan kelihatan anak bulan. Misalnya,jika menurut perhitungan hisab awal Ramadhan untuk tahun 1998 jatuh pada 20 Disember, sedangkan pada malam hari 18 Disember hilal sudah dapat terlihat, maka kita wajib mengawali Ramadhan pada 19 Disember. Pemerintah perlu mengisytiharkan 1 Ramadhan bermula pada 19 Disember. Demikianlah,kerana yang menjadi dasar ukurannya adalah nampaknya hilal. Hilal sangat penting untuk memastikan dengan tepat waktu masuknya bulan Ramadhan. Ia untuk mengelakkan keraguan kerana kita dilarang untuk berpuasa pada hari yang masih diragukan.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis : “Barangsiapa berpuasa pada hari yang masih diragukan,maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Abu Qasim SAW(Rasulullah SAW)”. (HR : Ahmad,Nasa’I,Tirmidzi,Abu Daud & Ibnu Majah)

Hadis ini disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban. Yang dimaksudkan dengan hari yang diragukan ialah hari yang belum diketahui apakah masih dalam bulan Sya’ban atau sudah masuk bulan Ramadhan ketika anak bulan tidak kelihatan kerana hujan ataupun ditutupi awan. Bila keadaan seperti itu berlaku, maka hari tersebut dikatakan sebagai hari yang diragukan dan kita dilarang mengawali Ramadhan pada hari seperti itu.



Puasa dan Niat

Sebagaimana ibadah atau amalan-amalan yang lain, puasa juga wajib dimulakan dengan niat,iaitu sebelum terbitnya fajar,atau dalam erti kata lain sebelum masuknya waktu subuh.


Dari Hafshah,sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar(Subuh), maka tidak ada puasa baginya”. (HR: Ahmad,Nasa’i,Tirmidzi,Abu Daud & Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan bahawa setiap orang yang melakukan puasa Ramadhan wajib mendahuluinya dengan niat sebelum datangnya waktu Subuh. Hadis ini berisikan dua pengertian,iaitu:
1)Pada setiap malam sebelum waktu Subuh tiba,seseorang yang hendak melakukan puasa wajib menyatakan niatnya.
2)Pada awal Ramadhan sebelum datangnya Subuh,orang yang hendak berpuasa wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.
Dari dua pengertian ini, pengertian kedua lebih tepat,ringan dan mudah dilakukan. Islam berprinsip pada kemudahan dan keringanan. Oleh sebab itu,seseorang yang akan berpuasa selama satu bulan Ramadhan cukup menyatakan niatnya satu kali pada malam pertama Ramadhan sahaja. Namun perbuatan menyatakan niat pada setiap malam adalah sunat,digalakkan juga untuk melakukannya.



Sahur dan keberkatannya

Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sahurlah kamu, kerana dalam sahur itu ada berkah(keberkatan)”. (HR: Bukhari & Muslim)

Orang yang berpuasa disunatkan makan sahur. Makan sahur ini dinyatakan oleh Rasulullah sebagai makan yang membawa kebaikan dan keutamaan bagi yang melakukannya. Bagi orang yang makan sahur, ia mendapat keuntungan berlipat ganda, iaitu kenyang dan mendapat berkat yang akan Allah turunkan kepada dirinya sepanjang hari ia melaksanakan puasa.
Bahan makanan untuk sahur yang paling besar berkahnya dan paling baik adalah buah kurma. Buah kurma bukan sahaja untuk berbuka,tetapi juga sangat baik untuk bersahur. Bersahur dengan buah kurma adalah sunah Rasulullah, dan jika diamalkan sudah tentu sahaja akan beroleh pahala.

Dari Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma”. ( HR : Ibnu Hibban & Baihaqi )



Waktu sahur

Waktu sahur adalah waktu dimana umat Islam dibenarkan makan atau minum atau melakukan perkara-perkara lain yang tidak boleh dilakukan semasa berpuasa. Waktu sahur bermula selepas kita berbuka puasa, sehingga menjelang waktu Subuh keesokan harinya.


Dari Zaid bin Tsabit berkata : Kami sahur bersama Rasulullah SAW,kemudian kami berdiri solat(solat Subuh). Saya bertanya: “Berapa lama jarak antara keduanya itu?”. Baginda bersabda : “Lima puluh ayat Al-Quran”. (HR : Bukhari )

Waktu sahur yang paling baik dan afdhal ialah ketika menjelang Subuh,kira-kira sama dengan orang membaca 50 ayat Al-Quran. Lama seseorang membaca ayat Al-Quran sebanyak 50 ayat dengan baik dan ucapannya jelas dan tartil adalah lebih kurang 10 minit atau 15 minit. Maka, saat sahur yang paling baik adalah 10 atau 15 minit sebelum waktu Subuh. Waktu sahur juga disebut sebagai waktu imsak.



Puasa-Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga

Seperti yang kita semua ketahui, ibadah puasa bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, malahan ia menuntut lebih daripada itu. Kesabaran umat Islam dalam menunaikan ibadah puasa ini sangat diperlukan. Segala perbuatan,pandangan mahupun percakapan perlulah dijaga dengan sebaiknya. Jika tidak, puasa yang dilakukan akan menjadi sia-sia sahaja.

Dari Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan curang, maka Allah sama sekali tidak memerlukan amalannya meninggalkan makan dan minum(puasa)”. 
( HR : Bukhari )

Perkataan dusta yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah terikat kepada berbohong atau menipu semata-mata,malah ianya turut memberi maksud mengucapkan ‘perkataan sia-sia’ seperti mengumpat,memaki orang lain ataupun berbual kosong. Dan perbuatan curang pula membawa maksud segala perbuatan keji yang tidak disukai Allah yang mana ia membawa hukum haram dan berdosa. Sebagai contohnya, orang yang berpuasa itu mencuri harta orang lain, atau orang yang berpuasa tetapi meninggalkan solat. Kedua-dua perbuatan mencuri dan meninggalkan solat adalah perbuatan haram. Puasa yang semacam ini sama sekali tidak diredhai dan sia-sia sahaja di sisi Allah. Adapun puasa yang diredhai oleh Allah iaitu yang dilakukan dengan akhlak yang baik dan ucapan yang terpuji. Contoh ucapan yang tidak baik ialah melawak agar ditertawakan oleh orang lain. Melawak seperti ini adalah perbuatan sia-sia. Kerana itu,pahala puasanya menjadi hilang walaupun puasanya tidak batal. Jadi, alangkah ruginya kita berpuasa tanpa mendapat pahala dari Allah, malah mungkin akan menanggung dosa pula. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari di atas adalah sahih dan sangat kuat hujahnya. Hadis ini turut disokong oleh sebuah hadis yang lain :

Dari Abu Hurairah berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Tidaklah dikatakan berpuasa kerana tidak makan dan tidak minum. Akan tetapi, yang dikatakan berpuasa adalah kerana meninggalkan ucapan sia-sia dan perbuatan yang buruk. Kerana itu,jika ada yang memakimu atau berlaku jahil kepadamu,katakanlah(kepadanya) : “Aku sedang berpuasa, Aku sedang berpuasa.”. (HR : Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban & Hakim )

Orang yang sedang berpuasa tidak boleh melayani pertengkaran atau cercaan orang terhadap dirinya. Bahkan ia diperintahkan oleh agama agar mengatakan kepada orang tersebut bahawa ia sedang berpuasa. Tentangan atau cercaan orang jahil kepadanya janganlah dilayani agar puasanya terpelihara dari gangguan yang menghilangkan pahala puasa.



Berbuka

Waktu berpuasa yang ditetapkan oleh Islam bermula sejak tibanya waktu Subuh sampai terbenamnya matahari iaitu masuknya waktu Maghrib. Bila waktu Maghrib sudah tiba, disunatkan untuk menyegerakan berbuka. Dengan demikian, orang yang segera berbuka mendapat pahala lebih baik daripada orang yang menundanya. Perkara ini disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim :

Dari Sahl bin Sa’ad,sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Manusia sentiasa akan berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka”. 
 ( HR : Bukhari & Muslim )

Bila tiba saat berbuka puasa, hendaklah orang yang berpuasa mendahulukan berbuka daripada solat Maghrib. Dalam berbuka janganlah tergesa-gesa,tetapi hendaklah makan dengan tertib dan wajar dan dengan tempoh yang wajar pula, sehingga tidak menghabiskan waktu Maghrib. Bagi orang yang berbuka, sangat dianjurkan memakan hidangan yang telah tersedia daripada mendahulukan solat Maghrib. Hal ini juga disebutkan Rasulullah dalam sebuah hadis :

Dari Anas berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan sebelum solat Maghrib, dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan kamu”. ( HR : Bukhari & Muslim )



Berbuka dengan kurma

Sebaik-baik makanan yang dimakan ketika berbuka adalah kurma. Jika tidak ada kurma, maka hendaklah seseorang memulai berbuka dengan meminum air putih, kerana air putih atau air masak ini menjadi penawar dan sekaligus ubat bagi orang yang berpuasa. Kerana itu, orang yang berbuka dengan kurma atau air putih akanb mendapat pahala kerana melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : “Bila seseorang diantara kamu berbuka, hendaklah ia makan kurma. Jika tidak ada kurma, hendaklah ia berbuka dengan air, kerana air itu adalah pembersih”. (HR : Abu Daud & Tirmidzi ) 

Islam tidak melarang orang berbuka dengan makan nasi,kuih muih atau apa sahaja makanan yang halal. Akan tetapi, perbuatan ini tidak memdapat pahala tambahan seperti halnya kalau makan kurma dan minum air putih. Jadi, adalah lebih baik jika kita mendahulukan berbuka puasa dengan makan kurma atau minum air putih, kerana ianya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.


1.Abu Iqbal Al-Qaireen,Julai 2011,Taubat
2.Muhammad Thalib, 1999,Amalan Bulan Ramadhan,Darul Nu’man

Wednesday 13 July 2011

Kehebatan Syurga

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman), mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd : 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman : 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman : 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman : 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman : 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman : 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman : 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman : 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman : 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim : 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam : 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid : 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin : 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir : 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan : 76)

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.

Tuesday 12 July 2011

Khalid Al-Walid Pahlawan Teguh

Assalamualaikum..
Kali ini Taubat ingin berkongsi kisah mengenai seorang tokoh pahlawan handalan pada zaman Rasulullah S.A.W..

“ORANG seperti dia, tidak dapat tanpa diketahui dibiarkan begitu saja. Dia harus diincar sebagai calon pemimpin Islam. Jika dia menggabungkan diri dengan kaum Muslimin dalam peperangan melawan orang-orang kafir, kita harus mengangkatnya ke dalam golongan pemimpin” demikian keterangan Nabi ketika berbicara tentang Khalid sebelum calon pahlawan ini masuk Islam.

Khalid dilahirkan kira-kira 17 tahun sebelum masa pembangunan Islam. Dia anggota suku Banu Makhzum, suatu cabang dari suku Quraisy. Ayahnya bernama Walid dan ibunya Lababah. Khalid termasuk diantara keluarga Nabi yang sangat dekat. Maimunah, bibi dari Khalid, adalah isteri Nabi. Dengan Umar sendiri pun Khalid ada hubungan keluarga, yakni saudara sepupunya. Suatu hari pada masa kanak-kanaknya kedua saudara sepupu ini main adu gulat. Khalid dapat mematahkan kaki Umar. Untunglah dengan melalui suatu perawatan kaki Umar dapat diluruskan kembali dengan baik.

Ayah Khalid yang bernama Walid, adalah salah seorang pemimpin yang paling berkuasa diantara orang-orang Quraisy. Dia sangat kaya. Dia menghormati Ka’bah dengan perasaan yang sangat mendalam. Sekali dua tahun dialah yang menyediakan kain penutup Ka’bah. Pada masa ibadah Haji dia memberi makan dengan cuma-cuma bagi semua orang yang datang berkumpul di Mina.

Ketika orang Quraisy memperbaiki Ka’bah tidak seorang pun yang berani meruntuhkan dinding-dindingnya yang tua itu. Semua orang takut kalau-kalau jatuh dan mati. Melihat suasana begini Walid maju kedepan dengan bersenjatakan sekop sambil berteriak, “O, Tuhan jangan marah kepada kami. Kami berniat baik terhadap rumahMu”.

Nabi mengharap-harap dengan sepenuh hati, agar Walid masuk Islam. Harapan ini timbul kerana Walid seorang kesatria yang berani dimata rakyat. Kerana itu dia dikagumi dan dihormati oleh orang banyak. Jika dia telah masuk Islam ratusan orang akan mengikutinya.

Dalam hati kecilnya Walid merasa, bahawa Al Qur-’an itu adalah kalimat-kalimat Allah. Dia pernah mengatakan secara jujur dan terang-terangan, bahawa dia tidak bisa berpisah dari keindahan dan kekuatan ayat-ayat suci itu.

Ucapan yang terus terang ini memberikan harapan bagi Nabi, bahawa Walid akan segera masuk Islam. Tetapi impian dan harapan ini tak pernah menjadi kenyataan. Kebanggaan atas diri sendiri membendung bisikan-bisikan hati nuraninya. Dia takut kehilangan kedudukannya sebagai pemimpin bangsa Quraisy. Kesangsian ini menghalanginya untuk menurutkan rayuan-rayuan hati nuraninya. Sayang sekali orang yang begini baik, akhirnya mati sebagai orang yang bukan Islam.

Suku Banu Makhzum mempunyai tugas-tugas penting. Jika terjadi peperangan, Banu Muhzum lah yang mengurus gudang senjata dan gudang tenaga tempur. Suku inilah yang mengumpulkan kuda dan senjata bagi prajurit-prajurit.

Tidak ada cabang suku Quraisy lain yang bisa lebih dibanggakan seperti Banu Makhzum. Ketika diadakan kepungan maut terhadap orang-orang Islam dilembah Abu Thalib, orang-orang Banu Makhzumlah yang pertama kali mengangkat suaranya menentang pengepungan itu.

Latihan Pertama

Kita tidak banyak mengetahui mengenai Khalid pada masa kanak-kanaknya. Tetapi satu hal kita tahu dengan pasti, ayah Khalid orang yang kaya. Dia mempunyai kebun buah-buahan yang membentang dari kota Mekah sampai ke Taif. Kekayaan ayahnya ini membuat Khalid bebas dari kewajiban-kewajibannya.

Dia lebih leluasa dan tidak usah belajar berdagang. Dia tidak usah bekerja untuk menambah pencaharian orang tuanya. Kehidupan tanpa suatu ikatan memberi kesempatan kepada Khalid mengikuti kegemarannya. Kegemarannya ialah adu tinju dan berkelahi.

Saat itu pekerjaan dalam seni peperangan dianggap sebagai tanda seorang Satria. Panglima perang bererti pemimpin besar. Kepahlawanan adalah satu hal terhormat di mata rakyat.

Ayah Khalid dan beberapa orang pamannya adalah orang-orang yang terpandang dimata rakyat. Hal ini memberikan dorongan keras kepada Khalid untuk mendapatkan kedudukan terhormat, seperti ayah dan paman-pamanya. Satu-satunya permintaan Khalid ialah agar menjadi orang yang dapat mengatasi teman-temannya didalam hal adu tenaga. Sebab itulah dia menceburkan dirinya kedalam seni peperangan dan seni bela diri. Malah mempelajari keahlian mengendarai kuda, memainkan pedang dan memanah. Dia juga mencurahkan perhatiannya kedalam hal memimpin angkatan perang. Bakat-bakatnya yang asli, ditambah dengan latihan yang keras, telah membina Khalid menjadi seorang yang luar biasa. Kemahiran dan keberaniannya mengagumkan setiap orang.

Pandangan yang ditunjukkannya mengenai taktik perang menakjubkan setiap orang. Dengan gamblang orang dapat melihat, bahwa dia akan menjadi ahli dalam seni kemiliteran.

Dari masa kanak-kanaknya dia memberikan harapan untuk menjadi ahli militer yang luar biasa senialnya.

Menentang Islam

Pada masa kanak-kanaknya Khalid telah kelihatan menonjol diantara teman-temannya. Dia telah sanggup merebut tempat istimewa dalam hati rakyat. Lama kelamaan Khalid menanjak menjadi pemimpin suku Quraisy. Pada waktu itu orang-orang Quraisy sedang memusuhi Islam. Mereka sangat anti dan memusuhi agama Islam dan penganut-penganut Islam. Kepercayaan baru itu menjadi bahaya bagi kepercayaan dan adat istiadat orang-orang Quraisy. Orang-orang Quraisy sangat mencintai adat kebiasaannya. Sebab itu mereka mengangkat senjata untuk menggempur orang-orang Islam. Tunas Islam harus dihancurkan sebelum tumbuh berurat ber-berakar. Khalid sebagai pemuda Quraisy yang berani dan bersemangat berdiri digaris paling depan dalam penggempuran terhadap kepercayaan baru ini. Hal ini sudah wajardan seirama dengan kehendak alam.

Sejak kecil pemuda Khalid bertekad menjadi pahlawan Quraisy. Kesempatan ini diperolehnya dalam pertentangan-pertentangan dengan orang-orang Islam. Untuk membuktikan bakat dan kecakapannya ini, dia harus menonjolkan dirinya dalam segala pertempuran. Dia harus memperlihatkan kepada sukunya kwalitasnya sebagai pekelahi.

Peristiwa Uhud

Kekalahan kaum Quraisy didalam perang Badar membuat mereka jadi kegila-gilaan, karena penyesalan dan panas hati. Mereka merasa terhina. Rasa sombong dan kebanggaan mereka sebagai suku Quraisy telah meluncur masuk lumpur kehinaan Arang telah tercoreng dimuka orang-orang Quraisy. Mereka seolah-olah tidak bisa lagi mengangkat dirinya dari lumpur kehinaan ini. Dengan segera mereka membuat persiapan-persiapan untuk membalas pengalaman pahit yang terjadi di Badar.

Sebagai pemuda Quraisy, Khalid bin Walid pun ikut merasakan pahit getirnya kekalahan itu. Sebab itu dia ingin membalas dendam sukunya dalam peperangan Uhud. Khalid dengan pasukannya bergerak ke Uhud dengan satu tekad menang atau mati. Orang-orang Islam dalam pertempuran Uhud ini mengambil posisi dengan membelakangi bukit Uhud.

Sungguhpun kedudukan pertahanan baik, masih terdapat suatu kekhawatiran. Dibukit Uhud masih ada suatu tanah genting, dimana tentara Quraisy dapat menyerbu masuk pertahanan Islam. Untuk menjaga tanah genting ini, Nabi menempatkan 50 orang pemanah terbaik. Nabi memerintahkan kepada mereka agar bertahan mati-matian. Dalam keadaan bagaimana jua pun jangan sampai meninggalkan pos masing-masing.

Khalid bin alWalid memimpin sayap kanan tentara Quraisy empat kali lebih besar jumlahnya dari pasukan Islam. Tetapi mereka jadi ragu-ragu mengingat kekalahant-kekalahan yang telah mereka alami di Badar. Karena kekalahan ini hati mereka menjadi kecil menghadapi keberanian orang-orang Islam.

Sungguh pun begitu pasukan-pasukan Quraisy memulai pertempuran dengan baik. Tetapi setelah orang-orang Islam mulai mendobrak pertahanan mereka, mereka telah gagal untuk mempertahankan tanah yang mereka injak.

Kekuatannya menjadi terpecah-pecah. Mereka lari cerai-berai. Peristiwa Badar berulang kembali di Uhud. Saat-saat kritis sedang mengancam orang-orang Quraisy. Tetapi Khalid bin Walid tidak goncang dan sarafnya tetap membaja. Dia mengumpulkan kembali anak buahnya dan mencari kesempatan baik guna melakukan pukulan yang menentukan.

Melihat orang-orang Quraisy cerai-berai, pemanah-pemanah yang bertugas ditanah genting tidak tahan hati. Pasukan Islam tertarik oleh harta perang, harta yang ada pada mayat-mayat orang-orang Quraisy. Tanpa pikir panjang akan akibatnya, sebagian besar pemanah-pemanah, penjaga tanah genting meninggalkan posnya dan menyerbu kelapangan.

Pertahanan tanah genting menjadi kosong. Khalid bin Walid dengan segera melihat kesempatan baik ini. Dia menyerbu ketanah genting dan mendesak masuk. Beberapa orang pemanah yang masih tinggal dikeroyok bersama-sama. Tanah genting dikuasai oleh pasukan Khalid dan mereka menjadi leluasa untuk menggempur pasukan Islam dari belakang.

Dengan kecepatan yang tak ada taranya Khalid masuk dari garis belakang dan menggempur orang Islam dipusat pertahanannya. Melihat Khalid telah masuk melalui tanah genting, orang-orang Quraisy yang telah lari cerai-berai berkumpul kembali dan mengikuti jejak Khalid menyerbu dari belakang. Pemenang-pemenang antara beberapa menit yang lalu, sekarang telah terkepung lagi dari segenap penjuru, dan situasi mereka menjadi gawat.

Khalid bin Walid telah merobah kemenangan orang Islam di Uhud menjadi suatu kehancuran. Mestinya orang-orang Quraisylah yang kalah dan cerai-berai. Tetapi karena gemilangnya Khalid sebagai ahli siasat perang, kekalahan-kekalahan telah disunglapnya menjadi satu kemenangan. Dia menemukan lobang-lobang kelemahan pertahanan orang Islam.

Hanya pahlawan Khalidlah yang dapat mencari saat-saat kelemahan lawannya. Dan dia pula yang sanggup menarik kembali tentara yang telah cerai-berai dan memaksanya untuk bertempur lagi. Seni perangnya yang luar biasa inilah yang mengungkap kekalahan Uhud menjadi suatu kemenangan bagi orang Quraisy.

Ketika Khalid bin Walid memeluk Islam Rasulullah sangat bahagia, karena Khalid mempunyai kemampuan berperang yang dapat digunakan untuk membela Islam dan meninggikan kalimatullah dengan perjuangan jihad. Dalam banyak kesempatan peperangan Islam Khalid bin Walid diangkat menjadi komandan perang dan menunjukan hasil gemilang atas segala upaya jihadnya. Betapapun hebatnya Khalid bin Walid di dalam medan pertempuran, dengan berbagai luka yang menyayat badannya, namun ternyata kematianya diatas ranjang. Betapa menyesalnya Khalid harapan untuk mati sahid dimedan perang ternyata tidak tercapai dan Allah menghendakinya mati di atas tempat tidur, sesudah perjuangan membela Islam yang luar biasa itu. Demikianlah kekuasaan Allah. Manusia berasal dari Allah dan akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemauan-Nya

Al-Quran

Assalamualaikum..

Dari segi bahasa,kata Al-Quran bererti bacaan. Secara istilah Al-Quran adalah lafaz berbahasa Arab yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW,melalui malaikat Jibril yang sampai kepada kita secara mutawatir,ditulis dalam mushaf disusun mulai dari surat Al-Fatihah dan diakhiri surat An-nas dan membacanya adalah ibadah.

Secara etimologis, al-Qur’an merupakan Masdar dari kata kerja“Q o ro a ” yang bererti bacaan atau yang ditulis, sedang menurut Quraish Shihab berarti bacaan yang sempurna.

Sementara Al-Ghazali dalam kitabnya al-Mustasfa menjelaskan bahwa yang dimaksud al-Quran adalah firman Allah swt. Dalam huraian selanjutnya Al Ghazali menyebutkan bahawa al-Qur’an bukanlah perkataan Rasulullah, beliau hanya berfungsi sebagai orang yang menyampaikan apa yang diterima dari Allah SWT. Sedangkan Dawud al-Attar menyebutkan bahwa,Al-Qur’an adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad secara lafaz (lisan), makna serta gaya bahasa (uslub)-nya, yang termaktub dalam mushaf yang dinukil secara mutawatir.

Definisi di atas mengandung beberapa kekhususan sebagai berikut :

a. Al-Qur’an sebagai wahyu Allah, yaitu seluruh ayat Al-Qur’an adalah wahyu Allah, tidak ada satu kata pun yang datang dari perkataan atau fikiran Nabi.

b. Al-Qur’an diturunkan dalam bentuk lisan dengan makna dan gaya bahasanya. Ertinya isi maupun redaksi Al-Quran datang dari Allah sendiri.

c. Al-Qur’an terhimpun dalam mushaf, artinya Al-Qur’an tidak mencakup wahyu Allah kepada Nabi Muhammad dalam bentuk hukum-hukum yang kemudian disampaikan dalam bahasa Nabi sendiri.

d. Al-Qur’an dinukil secara mutawatir, artinya Al-Qur’an disampaikan kepada orang lain secara terus-menerus oleh sekelompok orang yang tidak mungkin bersepakat untuk berdusta karena banyaknya jumlah orang dan berbeda-bedanya tempat tinggal mereka.

Ditinjau dari sudut tempatnya, Al Quran turun di dua tempat iaitu:

1. Di Mekkah atau yang disebut ayat makkiyah. Pada umumnya berisikan soal-soal kepercayaan atau ketuhanan, mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, ayat-ayatnya pendek dan ditujukan kepada seluruh ummat. Banyaknya sekitar 2/3 seluruh ayat-ayat Al Quran.

2. Di Madinah atau yang disebut ayat madaniyah. Ayat-ayatnya panjang, berisikan peraturan yang mengatur hubungan sesama manusia mengenai larangan, suruhan, anjuran, hukum-hukum dan syari’at-syari’at, akhlaq, hal-hal mengenai keluarga, masyarakat, pemerintahan, perdagangan, hubungan manusia dengan hewan, tumbuh-tumbuhan, udara, air dan sebagainya.

Al-Qur'an sebagai kitab suci umat Islam adalah firman Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia hingga akhir zaman.(Saba' QS 34:28).
Seluruh mazhab dalam Islam sepakat bahwa al-Qur’an adalah sumber hukum yang paling utama, dengan kata lain, Al-Qur’an menempati posisi awal dari tertib sumber hukum dalam berhujjah. Sebagai sumber Ajaran Islam jug disebut sumber pertama dan utama atau Asas Pertama Syara'. Oleh karena itu hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Qur’an merupakan aturan-aturan yang wajib diikuti oleh seluruh umat Islam

Dengan melihat Al-Quran,kita perlu tahu dengan tegas apa yang mestinya kita lakukan. Kita tahu mana yang baik dan yang buruk,yang halal dan haram,mana yang boleh dilakukan dan mana yang terlarang.
    A. Kejelasan Makna Hukum dalam Al-Quran
    Dilihat dari kejelasan maknanya, Al-Quran dibagi menjadi dua bagian:
    1. Ayat muhkam,yaitu ayat yang jelas maknanya.
    2. Ayat mutashabih,yaitu ayat yang tidak pasti arti dan maknanya.
    B. Al-Quran sebagai Sumber Hukum
    Umat Islam sepakat bahwa Al-Quran sebagai sumber hukum Islam utama. Al-Quran merupakan pedoman paling otoritatif bagi umat islam sehingga hukum-hukumnya adalah undang-undang yang harus diikuti dan ditaati.

    Tanda-Tanda Taubat Diterima

    Assalamualaikum..

    Petanda seseorang itu bertaubat dan telah diterima taubatnya telah dijelaskan oleh Ibnu Qayyim rahimahullah. Antara tanda-tanda tersebut ialah:

    1. Setelah bertaubat, seseorang hamba itu lebih baik dari sebelumnya.

    2. Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata.

    3. Terlepas dari cengkaman dosa yang dilakukan kerana penyesalan dan rasa takutkan dosa.

    4 Lembut hatinya setelah bertaubat dengan kelembutan yang sempurna, sehingga tunduk kepada Allah walau dalam keadaan marah dan sentiasa dalam kekhusukan.[1]

    Allah Azza wa-Jalla telah menggambarkan ciri-ciri atau keadaan orang yang telah bertaubat di dalam firmanNya, bahawa mereka sentiasa beramal soleh dengan cara mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh berbuat baik dan melarang dari mengerjakan yang mungkar:

    اَلتَّآئِبُوْنَ الْعَابِدُوْنَ الْحَامِدُوْنَ السَّآئِحُوْنَ الرَّاكِعُوْنَ السَّاجِدُوْنَ اْلآمِرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ والنَّاهُوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُوْنَ لِحُدُوْدِ اللهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِيْنَ.
    “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang melawat (mencari ilmu, berjihad, berpuasa), yang menyuruh berbuat makruf dan menegah berbuat mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang mukmin”.[2]

    فَاِنْ تَابُوْا وَاَقَامُوْا الصَّلاَةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَاِخْوَانُكُمْ فِالدِّيْنِ.
    “Jika mereka bertaubat (mereka) mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-mara mu seagama”.

    Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang sikap mereka yang telah bertaubat dan ikhlas dalam taubatnya, bahawa mereka bertambah kuat iman dan amalnya, memperbaiki ibadahnya dengan cara banyak beramal soleh, belajar ilmu-ilmu agama, konsisten dan sentiasa beriltizam. Firman Allah:

    اِلاَّ مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَاُوْلَئِكَ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُوْنَ شَيْئًا.
    “Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga dan tidak dianiaya (dirugikan) sedikitpun”.[3]

    اِلاَّ الَّذِيْنَ تَابُوْا وَاَصْلَحُوْا واعْتَصَمُوْابِاللهِ وَاَخْلَصُوْا دِيْنَهُمْ للهِ فَاُوْلَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَسَوْفَ يُؤْتِ اللهُ الْمُؤْمِنِيْنَ اَجْرًا عَظِيْمًا.
    “Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) mereka kerana Allah. Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan kepada orang-orang yang beriman pahala yang besar”.[4]

    [1] - Lihat: Madarajus Salikin. Jilid 1.
    [2] - At-Taubah, 9:112.
    [3] - Maryam, 19:60.
    [4] - An-Nisa, 4:146.

    Monday 11 July 2011

    Taubat Dan Pengertiannya

    Assalamualaikum..

    Pengertian taubat menurut syara' ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hambaNya. Meninggalkan laranganNya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.

    Orang yang bertaubat amat beruntung kerana kembali menjalankan perintah Allah dan menjauhkan larangannya. Inilah hakikat taubat sehingga Allah memberi kejayaan dan pahala kepada sesiapa yang mentaati hakikat ini. FirmanNya:

    وَتُوْبُوا اِلَى اللهِ جَمِيْعًا اَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
    “Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan”.[1]

    Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Pengampun yang sentiasa mengampunkan segala dosa hambaNya yang mahu bertaubat. FirmanNya lagi:

    قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلَى اَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوْا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ اِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا اِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمِ ، وَاَنِيْبُوْا اِلَى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهُ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُوْنَ.
    “Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”.[2]

    Melalui Sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Pengampun, Allah menjanjikan rahmat dan pengampunan dari semua dosa kepada hambaNya yang bertaubat. Allah Subhanahu wa-Ta’ala pula bertanya mengapa kamu tidak mahu bertaubat sedangkan taubat adalah amalan yang mulia di sisiNya sebagaimana firmanNya:

    اَفَلاَيَتُوْبُوْنَ اِلَىاللهِ وَيَسْتَغْفِرُوْنَهُ وَاللهُ غَفُوْرٌرَحِيْمٌ.
    “Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.[3]

    وَرَبُّكَ الْغَفُوْرُ ذُوْ الرَّحْمَةِ
    “Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya”.[4]

    Oleh kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, melimpah-limpah rahmatNya dan mencintai hambaNya yang bertaubat, maka adalah suatu kesilapan bagi seseorang yang melambat-lambatkan taubatnya sehingga menunggu pada sesuatu masa yang tertentu, seperti menunggu di hari tua, setelah menunaikan haji, setelah bersara, setelah berilmu, setelah berjaya meninggalkan maksiat, setelah berkeluarga atau sebagainya. Maka melengah-lengahkan taubat seperti ini adalah suatu kejahilan dan kesilapan yang nyata. Sebenarnya Allah menyeru agar hambaNya sentiasa bersegera meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya sebagaimana firmanNya:

    وَسَارِعُوْا اِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَ
     “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”.[5]

    Allah SWT tidak akan membiarkan para hambanya bergelumang dengan berbagai dosa, oleh kerana itu Allah sentiasa membuka luas pintu taubat dan keampunannya kepada mereka yang mahu bertaubat. Allah memberikan contoh bahawa Nabi Adam dan Hawa telah bertaubat dari kesalahannya dan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang menerima taubat mereka. Allah berfirman:

    قَالاَرَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
     “Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi”.[6]

    فَتَلَقَّى آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ اِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ.
     “Kemudian Adam Menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.[7]

    ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَتَابَ عَلَيْهِ وَهَدَى
     “Kemudian Tuhan memilihnya (Nabi Adam ‘alaihis salam), maka Dia menerima taubatnya dan memberi petunjuk”.[8]

    [1] - An-Nur, 31.
    [2] - Az-Zumar, 53-54.
    [3] - Al-Maidah, 74.
    [4] - Al-Kahfi, 58.
    [5] - Ali-Imran, 133.
    [6] - Al-Baqarah, 23.
    [7] - Al-Baqarah, 37.
    [8] - Taha, 122.

    Kalam

    Assalamualaikum..
    Pertama sekali kami ingin mengucapkan syukur kepadaNya kerana kami di beri kesempatan ini untuk terus berkongsi ilmu bersama kalian semua..Blog ini merupakan kesinambungan daripada page TAUBAT kami di facebook..Seperti mana page TAUBAT itu dimuatkan dengan ilmu-ilmu agama, tafsir ayat-ayat Al-Quran, Hadis-hadis dan sebagainya yang berkaitan Islam, blog Taubat Al-Qaireen ini juga akan membawa tujuan dan pengisian yang sama..InsyaAllah..

    Kami ingin berkongsi ilmu-ilmu yang kami ada bersama kalian..Dan tidak salah sekiranya kalian juga ingin berkongsi ilmu, pendapat, pandangan, komen dan sebagainya bersama saya.. InsyaAllah, sebarang pekerjaan yang kita lakukan akan di berkati, rezeki yang kita dapat juga mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.. Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri supaya kita dapat memperbaiki diri kita demi kebaikan diri kita, keluarga dan juga masyarakat sekeliling.. 

    "Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dihendakiNya, (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan Hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya".
    (  Al-Baqarah : 269 )

    "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
    ( At-Tahrim : 8 )

    Sekian..